Pinjaman Peribadi, Loan 10K, dapat 10K!

Promo Raya dgn Kadar Terendah!

7 Pulau di Terengganu Yang MENARIK Untuk Bercuti

Selain pulau di Sabah & pulau di Pahang, Terengganu juga mempunyai destinasi percutian di pulau-pulau yang sangat best & bertaraf dunia. Secara keseluruhannya, terdapat lebih 10 buah pulau di Terengganu, namun yang paling ideal untuk datang bercuti samaada untuk aktiviti snorkeling, scuba diving, honeymoon & sebagainya, hanya 7 sahaja. Baki pulau yang lain masih boleh dilawati tetapi mungkin agak terhad dari segi pengangkutan, kemudahan fasiliti & pilihan penginapan untuk pelancong.

Harus anda ingat, kepulauan di Terengganu ini terletak di Laut China Selatan & tidak digalakkan untuk ke sini pada musim tengkujuh yang selalunya berlaku antara Oktober – Mac setiap tahun. Ikuti perkembangan semasa cuaca di Jabatan Meteorologi Malaysia. Jom kita tengok satu persatu pulau-pulau di negeri Terengganu yang mana yang paling memenuhi kehendak anda untuk melancong samaada untuk snorkeling, menyelam (scuba diving) ataupun berbulan madu dengan yang tersayang.


1. Pulau Redang – Pulau di Terengganu yang Paling Popular

pulau di terengganu yang best

Pulau Redang terletak kira-kira 46 km dari pesisiran pantai Kuala Terengganu dan merupakan pulau terbesar daripada semua pulau yang ada di Laut China Selatan & dalam perairan negeri Terengganu. Kebiasaanya pelancong lebih gemar naik bot di jeti di Kuala Terengganu (Jeti Shah Bandar) yang berhampiran dengan Pasar Kedai Payang untuk ke Redang.

Pulau Redang menawarkan air laut yang sangat jernih dan banyak lokasi menyelam yang terbaik di Semenanjung Malaysia. Kalau snorkeling di sini anda boleh berjumpa dengan banyak hidupan marin dengan mudah. Pada waktu tengahari ketika cahaya matahari memancar menembusi laut, dari darat sudah boleh melihat batu karang di dasar laut & ikan-ikan yang berwarna warni berenang.

Pulau Redang sememangnya syurga bagi mereka yang kaki berenang, snorkeling, scuba diving, berkanu dan jungle trekking. Boleh dikatakan Pulau Redang merupakan pulau kegemaran bagi mereka yang bercadang untuk honeymoon di pulau di Terengganu. Harus ingat bahawa aktiviti memancing tidak dibenarkan di dalam 3.2km radius dari Pulau Redang kerana telah digazetkan sebagai taman marin yang terjaga.

Perairan di sekitar Pulau Redang juga mempuyai 2 tempat bersejarah kapal karam , iaitu H.M.S Price of Wales dan H.M.S Repulse yang karam ketika permulaan Perang Dunia Kedua dan era permulaan penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Bagi yang inginkan percutian di pulau di Terengganu yang paling popular, Pulau Redang adalah jawapannya. Selain itu, pilihan hotel di Pulau Redang terutamanya di kawasan tepi pantai juga lebih banyak & menarik.

Pakej Percutian Best | Tawaran Penginapan di Pulau Redang


2. Pulau Perhentian – Syurga Untuk Menyelam

pulau perhentian terengganu cantik

Pulau Perhentian di Terengganu ini terdiri daripada 2 pulau utama iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Nama Perhentian ini diberi kerana dahulunya pulau-pulau ini menjadi tempat perhentian para pedagang yang berlayar di antara Malaysia dan Bangkok.

Keindahan hidupan marin di sini juga setanding dengan yang ada di Pulau Redang dan juga merupakan destinasi wajib bagi setiap penyelam yang bercuti di pulau di Terengganu. Anda boleh ke Jeti Kuala Besut untuk menaiki bot untuk ke Pulau Perhentian.

Keindahan Pulau Perhentian masih lagi terjaga dan bahkan kalau nak bersiar-siar di sini, hanya dengan menggunakan denai jalan kaki atau pun teksi bot. Di sini tidak mempunyai jalan raya seperti yang ada di Pulau Tioman atau Pulau Langkawi. Jungle trekking di sini juga agak menarik dan anda boleh melihat beberapa hidupan liar yang ada seperti biawak monitor, kelawar buah, tupai dan pelanduk. Aktiviti utama pelancong di sini sudah tentulah snorkeling dan scuba diving.

Pulau Perhentian juga antara pulau di Malaysia yang sering menjadi destinasi percutian backpacker dari dalam dan luar negara kerana di sini mempunyai banyak pilihan chalet bajet. Bagi yang inginkan keselesaan & percutian yang lebih eksklusif, di sini juga terdapat resort-resort yang mewah yang terbina di pesisiran pantai di Pulau Perhentian.

Pakej Percutian Best | Tawaran Penginapan di Pulau Perhentian


3. Pulau Kapas – Destinasi Pulau Yang Santai

pulau kapas terengganu menarik

Pulau Kapas pula terletak berdekatan dengan bandar Kuala Terengganu dan kalau nak ke sini anda perlu menaiki bot dari jeti di Marang. Pulau Kapas tidaklah sebesar Pulau Perhentian dan Pulau Redang, dan hanya 2 km panjang dan lebarnya pula sekitar 1 km.

Memandangkan Pulau Kapas ini tidaklah sepopular Pulau Redang dan Pulau Perhentian, maka kalau di musim cuti sekolah tidaklah terlalu sesak dengan kehadiran pelancong. Kebiasaanya pelancong ke sini lebih kepada nak releks-releks, berjemur di tepi pantai, diving dan juga snorkeling.

Terumbu batu karang di sini & ikan-ikan cantik tidak kurang menariknya untuk aktiviti snorkeling dan kalau anda nak bercuti di pulau di Terengganu yang tidak ramai dengan orang terutamanya di cuti sekolah, bolehlah ke Pulau Kapas. Pulau Gemia yang tidak kurang menariknya pula terletak hanya bersebelahan dengan Pulau Kapas.

Di sekitar perairan Pulau Kapas juga sering menjadi lokasi bot-bot nelayan untuk bercandat sotong terutamanya pada bulan Jun dan Julai. Setiap tahun, memang banyak badan kerajaan, NGO, badan korporat ataupun yang berkeluarga menyewa bot di jeti Marang untuk bercandat sotong di sekitar perairan Pulau Kapas.

Pakej Percutian Best | Tawaran Penginapan di Pulau Kapas


4. Pulau Lang Tengah – Pulau Kebanggaan Orang Dungun

pulau lang tengah best

Pulau Lang Tengah merupakan pulau kecil yang terpencil yang terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Pulau Lang Tengah berada kira-kira 40 km ke arah utara Kuala Terengganu dan kira-kira 22 km dari pesisiran pantai semenanjung.

Anda boleh ke sini dengan menaiki bot di Jeti Merang yang terletak dalam Daerah Besut ( Jangan terkeliru dengan jeti Marang di dalam Daerah Marang). Hanya terdapat dua perjalanan bot ke pulau dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan tengahari. Kebiasaanya orang ke sini lebih untuk honeymoon kerana Pulau di sini lebih kurang pengunjung kalau nak dibandingkan dengan Redang dan Perhentian. Aktiviti snorkeling untuk melihat coral dan hidupan marin sememangnya bertaraf dunia.

Kalau anda bercadang nak honeymoon ke Pulau Lang Tengah, seeloknya pergi selain musim tengkujuh. Waktu terbaik adalah di antara bulan May-Oktober. Kalau bernasib baik, anda boleh melawat tapak sarang penyu hijau yang bertelur pada bulan May – September setiap tahun.

Memandangkan perairan di Pulau Redang dan Lang Tengah adalah sama, maka anda boleh menjangkakan keindahan di sini juga setanding dengan Pulau Perhentian. Resort tepi pantai yang ada di Pulau Lang Tengah cuma 4 iaitu Sari Pacifica Hotel & Spa, Summer Bay Resort, D’coconut Lagoon dan Lang Sari Resort.

Pakej Percutian Best | Tawaran Penginapan di Pulau Lang Tengah


5. Pulau Tenggol – Hidupan Marin Bertaraf Dunia

pulau tenggol dungun terengganu

Pulau Tenggol merupakan satu lagi pulau yang sangat cantik yang hanya terletak kira-kira 50 minit perjalanan dari jeti Kuala Dungun. Sekiranya anda ke jeti Kuala Dungun, jangan lupa untuk singgah di atas Jambatan Baru Dungun untuk melihat keindahan muara sungai Dungun.

Walaupun pulaunya hanya sepanjang 3 km sahaja, namun Pulau Tenggol sering menjadi destinasi untuk mereka yang nak menyelam di perairan yang cantik. Dahulunya pulau ini tidak popular dan tidak berpenghuni namun kini mempunyai beberapa hotel dan resorts tepi pantai yang selesa untuk pelancong. Berdasarkan sejarah, dahulunya Pulau Tenggol merupakan penempatan sementara orang Vietnam yang terperangkap selepas Perang Vietnam.

Bagi yang sukakan cabaran jungle trekking dan mendaki bukit, anda boleh menaiki bukit di tengah Pulau Tenggol ini yang setinggi 800 kaki dan yang paling best, boleh bergambar & menikmati keindahan sekeliling pulau dari puncak.

Sekiranya anda kaki menyelam, anda patut mencuba scuba diving di Pulau Tenggol yang dianggap setara dengan lokasi menyelam bertaraf dunia yang lain.

Selain batuan terumbu karang yang indah di dasar lautan, anda juga boleh berjumpa dengan hidupan marin yang menarik seperti humphead parrotfish, giant stingray, leopard sharks, bat fishes, whale sharks dan schooling jacks. Kalau bernasib baik, Whale Shark juga boleh kelihatan di sesetengah tempat di sini daripada bulan Ogos-Oktober pada setiap tahun.

Pakej Percutian Best | Penginapan Berdekatan Pulau Tenggol


6. Pulau Gemia – Destinasi Honeymoon Pulau di Terengganu yang Lebih Privasi

pulau tenggol dungun terengganu

Pulau Gemia merupakan pulau persendirian yang terletak 800 m ke arah utara Pulau Kapas. Perairan di Pulau Gemia juga tidak kurang hebatnya dengan pantai yang cantik dan dikelilingi terumbu batu karang. Hanya terdapat satu resort di sini iaitu Gem Wellness Spa & Island Resort. Bagi anda yang nak percutian yang lebih privasi di pulau yang terpencil, bolehlah ke Pulau Gemia.

Destinasi Pulau Gemia sangat ideal untuk mereka yang lebih sukakan ketenangan tanpa kesibukan pelancong yang terlalu ramai. Kebiasaannya pelancong yang datang bercuti di Pulau Gemia lebih sukakan aktiviti yang santai & untuk berehat menenangkan fikiran tanpa aktiviti-aktiviti lasak di air. Namun, sekiranya pelancong nak lakukan aktiviti snorkeling atau berkayak, Pulau Gemia tetap ada kawasan menarik di sekitar untuk diterokai. Sangat sesuai untuk dijadikan sebagai destinasi berbulan madu bersama pasangan anda.

Pakej Percutian Best | Tawaran Penginapan di Pulau Gemia


7. Pulau Bidong – Galeria Penyelam di Dasar Laut Terengganu

pulau bidong terengganu island

Pulau Bidong yang terletak di Setiu merupakan destinasi pulau yang sangat terkenal di kalangan penyelam. Dari segi sejarahnya, Pulau Bidong dahulunya pernah menjadi tempat pelarian orang Vietnam ketika era peperangan dahulu. Untuk ke Pulau Bidong, pelancong perlu menaiki bot laju dari Jeti Merang.

Di Pulau Bidong, tiada penginapan yang yang dibangunkan mungkin kerana kawasannya yang terlalu berbatu. Namun kalau anda ingin menikmati keindahan dasar laut di Pulau Bidong, anda boleh cari pakej pulau di Terengganu atau organizer menyelam untuk guide & bawa anda menyelam di sini.

Perairan Pulau Bidong mempunyai banyak kawasan terumbu karang yang menarik. Terdapat 15 lokasi menyelam di perairan Pulau Bidong yang sering menjadi kunjungan mereka yang selalu scuba diving. Percaya atau tidak, anda boleh berjumpa dengan kepala lori ayam di dasar lautan di Pulau Bidong. Untuk memudahkan anda bertolak ke Pulau Bidong di awal pagi, sebaiknya cari penginapan berdekatan dengan Jeti Merang.

Tawaran Penginapan di Jeti Merang


Itulah dia 7 pulau di Terengganu yang boleh anda bercuti dengan keluarga dan rakan-rakan. Tarikan tempat pelancongan di Terengganu adalah lebih tertumpu kepada pulau-pulau dan pantai-pantai yang menarik seperti di atas. Kebanyakan pulau di Laut China Selatan di Malaysia seperti pulau di Terengganu, pulau di Johor & pulau di Pahang akan suram apabila waktu musim tengkujuh. Jadi rancang waktu percutian anda sebelum ke sini pada waktu yang terbaik. Semoga rangkaian kepulauan di Terengganu seperti di atas yang cantiknya bertaraf dunia memberi anda inspirasi untuk melancong di dalam Malaysia samaada untuk aktiviti snorkeling, scuba diving atau sebagai destinasi untuk berbulan madu anda.

4.6/5 - (48 votes)

Anda Mungkin Berminat

41+ Tempat Menarik di Terengganu YANG FEMES & BEST Untuk Dilawati

Negeri Terengganu Darul Iman merupakan satu negeri destinasi percutian yang sering menjadi tumpuan pelancong terutamanya untuk pelancong yang sukakan aktiviti-aktiviti yang lebih dekat dengan...

10 Tempat “Hiking” Di Terengganu Dengan Pemandangan Yang Memukau!

Aktiviti hiking atau mendaki ini telah menjadi satu aktiviti yang ramai digemari oleh setiap lapisan masyarakat. Bagi mereka yang betul-betul minat dalam aktiviti lasak...

10 Air Terjun Best di Terengganu – “Konfem” Rugi Kalau Tak Datang!

Terengganu sememangnya dikenali ramai kerana kaya dengan keindahan alam semulajadi seperti pantai dengan pasir memutih serta pulau-pulau yang tersergam indah. Namun, negeri ini juga...

10+ Chalet Best Sekitar Pantai di Terengganu – Pastinya memberikan kenangan abadi!

Terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, negeri Terengganu Darul Iman merupakan antara negeri di dalam Malaysia yang mempunyai banyak tarikan dan keistimewaan yang tersendiri....

Senarai Pantai di Terengganu – Yang BEST dan TIDAK !

Terengganu memang tidak dapat dipisahkan dengan pantai. Dan memang banyak pantai-pantai di Terengganu yang menarik dan ada juga yang biasa-biasa je. Terpulang kepada anda...

Nasi Dagang Terengganu Yang Sebenar

Pagi ini CD sempat bersarapan dengan menu nasi dagang Terengganu yang sebenar di salah sebuah kedai sarapan pagi yang popular di Kuala Terengganu iaitu...
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Hubungi Kami

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x