Kalau anda pertama kali nak bercuti ke tempat-tempat menarik di Kelantan, saya yakin anda akan rasa apa yang saya rasa ketika pertama kali cuti-cuti ke Negeri Che Siti Wan Kembang ini.


Yang pertama, kalau makan di warung atau restoran di Kelantan, peniaga-peniaganya memang tidak kedekut gula. Dan yang kedua, senyuman yang leteren dari bibir-bibir orang Kelantan, pun tidak pernah kedekut dengan gula. Sentiasa manis dan loghat orang Negeri Kelantan memang seronok didengar.



Destinasi tempat menarik di Kelantan untuk shopping

 tempat-menarik-di-kelantan-pada-waktu-malam

Pasar Siti Khadijah – Destinasi pasar basah dan kering yang menjanjikan produk-produk menarik untuk dibeli sebagai ole-ole. Antara kategori menarik untuk diterjah di sini ialah pakaian-pakaian/kain wanita, alatan solat, barang kraftangan, makanan tradisional Kelantan, perkakasan hantaran perkahwinan dan juga yang paling unik ialah melihat gelagat-gelagat peniaga di sini tawar menawar yang rata-ratanya adalah dari golongan wanita.


Wakaf Che Yeh – Boleh dikatakan merupakan tempat menarik di Kelantan pada waktu malam yang paling ‘happening’ di Kota Bharu untuk dikunjungi. Pengunjung boleh membeli jersey, tudung, pakaian wanita, buah-buahan dan juga merasai makanan-makanan kegemaran orang Kelantan. Senang cerita, Wakaf Che Yeh ini ibarat satu pasar malam yang sangat besar.


Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor – Bukan sahaja di Langkawi atau di Padang Besar Perlis, di Kelantan pun ada tempat membeli yang bebas cukai. Pengkalan Kubor mula dibuka pada pukul 10 pagi sehingga petang dan di sini pelancong boleh cuci mata atau membeli barang-barang seperti periuk belanga, pinggan mangkuk, coklat, jersey, handbag, pakaian wanita dan juga terdapat beberapa gerai yang menyediakan makanan-makanan kegemaran orang Kelantan dan Thailand.


Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang – Seperti juga di Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor, di sini juga menjual barang-barangan seperti yang dinyatakan di atas dan yang membezakannya adalah dari segi harga dan juga pilihan yang ada. Rantau Panjang boleh dikatakan lebih besar dan banyak pilihan kalau nak dibandingkan dari Pengkalan Kubor.


Bazar Buluh Kubu – Bazar yang menempatkan khususnya peniaga batik dan kraftangan negeri Kelantan.


KB Mall – Bagi yang ingin membeli barangan berjenama seperti di mana-mana shopping mall, KB Mall merupakan destinasi yang paling tepat untuk dilawati. Banyak lot-lot kedai yang menjual pelbagai jenis barangan dan yang paling penting, di sini ada air cond.


Bazar Tok Guru – Merupakan syurga borong dan membeli belah khususnya untuk wanita yang baru dibuka pada tahun 2011 di Kota Bharu. Menempatkan lebih 300 lot kedai/bazar yang menjual produk-produk seperti kain ela, tudung, baju wanita, telekung solat dan sebagainya.


Tarikan Pantai di Kelantan

bercuti-ke-kelantan-menarik

Umumnya rata-rata pantai di Kelantan lebih sesuai untuk santai-santai dan agak tidak sesuai untuk mandi kerana ombaknya yang deras dan keadaan dasar pantainya. Kalau teringin nak snorkeling atau mandi manda, lebih menarik kalau bercuti ke pulau-pulau di Terengganu ataupun di Sabah.


Pantai Cahaya Bulan (PCB) – Satu tempat menarik di Kelantan tepi pantai yang paling dekat dengan Bandar Kota Bharu. Di sepanjang pesisiran pantai di PCB ini terdapat deretan warung-warung yang menyediakan makanan-makanan santai atau masakan panas. Sesuai untuk datang menghirup udara segar waktu petang atau bermain layang-layang. Tidak jauh dari Pantai Cahaya Bulan ini juga terdapat beberapa medan ikan bakar yang sesuai untuk makan malam.


Pantai Irama – Pantai yang terletak di Bachok dan kira-kira 30 minit perjalanan dari KB ini memang sangat menenangkan dan lapang. Kemudahan infrustruktur di sini juga sangat bagus seperti kemudahan masjid, gerai-gerai makan dan juga restoran fast food. Secara peribadi, bersantai pada waktu petang di Pantai Irama lebih menenangkan kerana lebih cantik dan lapang.


Pantai Sri Tujoh – Terletak di Tumpat dan hanya beberapa kilometer dari Kawasan bebas Cukai Pengkalan Kubor. Pantai ini juga boleh dikatakan lebih untuk mereka yang hanya ingin bersantai. Tiada aktiviti mandi manda di laut kerana ombak yang kuat. Di sini juga terdapat beberapa gerai makan dan juga restoran di atas laguna.


Pantai Bisikan Bayu – Destinasi pantai yang tidak sibuk dan sangat menenangkan. Selain itu, pemandangan air lautnya lebih membiru dan cantik berbanding pantai-pantai ke sebelah utara negeri Kelantan. Sesuai sebagai destinasi rehat sekiranya memandu melalui Jalan Pantai Terengganu-Kelantan.


Pantai Tok Bali – Destinasi percutian yang sangat menenangkan di Kelantan. Terletak tidak jauh dari sempadan Negeri Terengganu dan di sini menempatkan beberapa buah resort/chalet dengan kemudahan kolam renang. Destinasi ini sesuai untuk santai-santai tepi pantai dan melihat suasana perkampungan yang menjadi tempat pendaratan ikan dari laut. Juga menjadi lokasi kegemaran pemancing terutamanya di sekitar jambatannya yang sangat tinggi.


Muzium dan tarikan bersejarah di Kelantan

tempat-menarik-di-kota-bharu kelantanMuzium Negeri – Seperti juga di muzium-muzium negeri lain, di sini adalah destinasi yang paling ideal untuk pelancong mengenali perjalanan masa mengenai negeri Kelantan. Terdapat pelbagai jenis artifak, infografik dan gambar yang sangat sesuai untuk lawatan sambil belajar.


Muzium Adat Istiadat ( Istana Jahar) & Balai Senjata – Muzium yang terletak di dalam bangunan yang lebih sedekat ini lebih tertumpu kepada kebudayaan dan adat orang negeri Kelantan, baik dari segi pakaian, perhiasan dan senibina.


Muzium Diraja Istana Batu – Bagunan muzium ini dibina pada tahun 1939 ketika era pemerintahan Sultan Ismail I sebagai hadiah perkahwinan kepada anak saudaranya iaitu Yahya Petra. Bagunan bersejarah ini kemudian ini diserahkan kepada negeri Kelantan dan dibuka kepada umum untuk melihat sendiri koleksi barangan dan kehidupan Diraja Negeri Kelantan pada zaman dulu-dulu.


Muzium Islam – Kelantan terkenal dengan jolokan serambi Mekah. Sesuai untuk lawatan bagi pelancong yang lebih ingin mendalami bagaimana agama Islam bertapak dan mula berkembang ke dalam sanubari rakyat Kelantan sehingga ke hari ini.


Muzium Perang Bank Kerapu – Bangunan ini pada awalnya dibina sebagai bank perdagangan dan ketika era penjajah Jepun ianya bertukar menjadi markas tentera Jepun. Pengunjung boleh melihat sendiri artifak peninggalan seperti barangan peperangan dan juga duit lama. Muzium ini dikenali dengan nama Bank Kerapu kerana permukaan dinding bangunannya yang agak kasar seperti ikan kerapu.


Muzium Kraftangan – Juga dikenali dengan nama Kampung Kraftangan merupakan sebuah tempat yang mempunyai beberapa struktur bangunan kayu yang sesuai untuk pelancong membeli barangan kraftangan seperti ukiran kayu, keychain, rotan dan sebagainya untuk dijadikan cenderahati. Di sini juga terletak Restoran Nasi Ulam Cikgu yang sangat tersohor di kalangan pelancong.


Gelanggang Seni – Di sinilah pelancong biasanya datang untuk melihat sendiri seni kebudayaan orang Kelantan seperti demo silat tari, demo penghasilan wau, permainan gasing (top spinning), persembahan muzik tradisional dan juga permainan wayang kulit.


Masjid Jubli Perak Sultan Ismail (Masjid Beijing) – Masjid yang menelan kos lebih RM 8 juta ini dan siap dibina pada tahun 2009 mempunyai senibina masjid yang sangat unik kerana berunsurkan senibina Cina bercirikan Islam. Terletak hanya 2 km dari Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang.


Masjid Muhammadi – Terletak di Kota Bharu dan merupakan masjid yang sangat ikonik di Kelantan. Masjid ini pada asalnya dibina pada tahun 1867 dengan hanya menggunakan kayu kayan sahaja dan kemudian melalui beberapa proses pengubahsuaian bagi menampung jemaah yang meningkat. Kubahnya yang keemasan dan struktur binaan yang sangat nostalgik menjadikan ia satu destinasi singgah yang wajib bagi umat Islam kalau berkunjung ke Kota Bharu.


Kota Sultan Ismail Petra – Merupakan mercu tanda yang sangat ikonik buat negeri Kelantan yang sering menghiasi poskad-poskad. Di sini jugalah terdapat sebuah pintu gerbang yang di atas tiangnya terdapat binaan rihal.


Statu Patung Buddha Tidur ( Wat Photiviham ) – Panjangnya 40 meter dan tingginya 10 meter membuatkan anda pasti kagum dengan patung ciptaan manusia ini. Terletak tidak jauh dari Chabang Empat, Tumpat.


Statu Buddha Duduk ( Wat Machimmaram) – Setinggi 10 tingkat statu patung ini menelan kos binaan sehingga RM 4 juta. Dikatakan patung Buddha ini merupakan yang terbesar di Asia Tenggara.


Tarikan Pelancongan Air Terjun dan Alam Semulajadi di Kelantan

air-terjun-di-kelantan

Jeram Linang – Destinasi mandi air terjun yang sangat popular yang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, Machang, Kelantan. Di sini terdapat kawasan mandi manda yang sesuai untuk kanak-kanak dan kemudahan asas yang lengkap seperti surau, chalet, tapak perkhemahan, tandas dan gerai-gerai.


Air Terjun Jelawang – Terletak di Gunung Stong, Air Terjun Jelawang merupakan air terjun bertingkat yang tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.


Jeram Pasu – Destinasi ini terletak di Kampung Padang Pak Amat dan mudah diakses dengan kenderaan. Kemudahan seperti kolam buatan dan hiasan sekeliling yang cantik membuatkan ianya sesuai sebagai satu destinasi percutian air terjun di Kelantan bersama keluarga.


Lata Rek – Terletak di sekitar Kg. Laloh dalam 30km dari bandar utama Kuala Krai, Kelantan dan lokasi air terjun ini sesuai untuk pengunjung yang ingin bermandi-manda bersama keluarga dan anak-anak. Kedalaman air di sini juga cetek dan airnya yang sejuk dan bersih membuatkan Lata Rek sering dikunjungi pengunjung setempat terutamanya di hujung minggu (Jumaat).


Lata Beringin – Air terjun Lata Beringin memang sangat cantik dengan pemandangan air terjun yang bertingkat dan kawasan tadahannya di bawah yang lapang tidak berbatu yang sesuai untuk mandi dan berenang bagi dewasa. Namun lokasinya agak terpencil di Sungai Pas, Kuala Krai dan memerlukan melalui jalan yang agak mencabar untuk sampai ke sini. Bagi orang muda yang ingin berkhemah dengan suasana air terjun yang masih asli keindahannya, sangat dicadangkan untuk ke sini.


Lata Hujan – Air Terjun Lata Hujan di Tanah Merah yang terletak dalam Hutan Simpan Ulu Kusial ini sesuai untuk dikunjungi untuk aktiviti mandi manda dan rekreasi bersama keluarga. Air sungainya bersih dan kemudahan seperti surau, tandas, pondok rehat dan tapak perkhemahan juga disediakan.


Gunung Ayam – Salah satu tempat menarik di Kelantan yang sangat popular untuk mereka yang sukakan aktiviti mendaki gunung dan jungle trekking.


Gunung Stong – Selain popular dengan beberapa air terjun yang ada di sini, Gunung Stong juga boleh dikatakan gunung yang paling popular di Kelantan untuk para pendaki. Kemudahan track untuk pendaki disediakan termasuk tapak perkhemahan di atasnya (Kem Baha).


Tasik Pergau – Tasik buatan manusia yang terbina hasil Empangan Pergau ini memang sangat popular di kalangan kaki pancing kelah dan juga mereka yang sukakan percutian di kelilingi alam semulajadi yang masih asli dan terjaga.


Kolam Air Panas Tok Bok – Destinasi yang sangat popular di Machang bagi mereka yang ingin merasai kolam air panas semulajadi. Terletak di Kg Rengas Labok dan jarak dari bandar utama di Machang lebih kurang 20 km.


Taman Kelip Kelip – Bagi yang ingin melihat keindahan kelip-kelip pada waktu malam, bolehlah ke taman ini yang terletak di Kg Pulau di Kubang Kerian. Kebiasaannya pengunjung akan ke sini dan menyusuri sungai selepas pukul 8 mlm dan sebelum pukul 11 mlm.


Taman Negara Kuala Koh – Bagi yang inginkan percutian yang lebih lama di hutan, bolehlah ke Taman Negara Kuala Koh. Kemudahan penginapan ada di sini selain kaya dengan keindahan alam sekitar yang pasti membuatkan pencinta alam tersenyum puas. Di sini juga terdapat air terjun yang cantik untuk aktiviti mandi manda dan juga sering menjadi destinasi pilihan kaki pancing untuk menjinakkan ikan kelah.


Makanan best di Kelantan dan Tempat Makan Menarik di Kota Bharu

tempat-makan-menarik-di-kelantan-bestDan yang paling penting, negeri Kelantan memang sangat terkenal dengan pelbagai jenis makanan, masakan, kuih muih dan lauk pauk yang istimewa. Pastikan jangan lupa untuk mencuba. Boleh ke sini untuk melihat pilihan makanan tradisional Kelantan yang popular. Kalau anda mencari tempat makan menarik di Kelantan khususnya di area Kota Bharu, sila baca 6 tempat makan best di Kelantan Pilihan JJCM TV 3.

Semoga perkogsian destinasi tempat menarik di Kelantan di atas akan memudahkan anda bercuti di sini kelak. Selamat Cuti Cuti Satu Kelantan !