Isi Kandungan
Batam cukup terkenal sebagai lokasi percutian keluarga yang santai, mudah diakses dan penuh aktiviti menyeronokkan. Terletak berhampiran Malaysia dan hanya mengambil masa singkat menaiki feri, destinasi ini cukup popular untuk weekend trip santai. Bajetnya mesra keluarga, makan mudah dicari dan paling penting pelbagai tempat menarik di Batam yang boleh anda terokai untuk mengisi cuti sekolah anak-anak dengan memori indah.
Kalau anda nak tahu apakah tempat menarik di Batam, ikut panduan ringkas tapi padat ini untuk rancang percutian anda. Jom lihat!
13 Tempat Menarik di Batam untuk Cuti Sekolah Bersama Keluarga
1. Panbil Nature Reserve


Tempat menarik di Batam wajib singgah yang pertama adalah Panbil Nature Reserve. Tempat mesra kanak-kanak di Batam ini sesuai untuk anak-anak anda yang ingin mengenali haiwan secara dekat, yang sukakan haiwan dan alam semula jadi.



Suasana di sini hijau dan tenang, sesuai untuk anak-anak anda melakukan aktiviti santai sambil belajar tentang alam semula jadi.

Di sini, mereka boleh berinteraksi dengan rusa, arnab, tikus belanda, burung kakak tua dan kura-kura seperti memberi makan. Kawasannya juga luas serta terjaga rapi walaupun berada di tengah bandar.



Selain berinteraksi dengan haiwan, boleh juga bawa anak-anak hiking. Panbil Nature Reserve menyediakan laluan pendakian yang merentasi lima puncak bukit serta anak sungai.


Jangan risau tentang keselamatan atau takut sesat kerana trek berjalan kaki ini dipandu oleh pemandu pelancong.

Perjalanannya pula mengambil masa kira-kira dua jam dan sesuai untuk keluarga yang aktif.


Setelah penat hiking, bolehlah menikmati kesejukan air terjun dengan keceriaan di tengah sejuknya Hutan Pelawan.
Bukan itu sahaja, pelbagai lagi aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di sini seperti, memanah, bermain paintball, menaiki ATV, High Rope, berkhemah dan lain-lain.




Alamat: Jl. Taman Golf Sukajadi No.113-127, Sukajadi, Kec. Batam Kota, Kota Batam, Kepulauan Riau 29444, Indonesia
2. Pantai Viovio

Pantai Viovio merupakan pantai bersih yang cukup terkenal dengan pasirnya yang putih dan sangat lembut. Pantainya yang landai menjadikan ia lokasi selamat untuk anak-anak anda bermain air. Ia juga merupakan antara pantai tercantik di kawasan Barelang.

Kedudukannya yang menghadap barat, membuatkan pantai ini lokasi terbaik untuk anda menikmati matahari terbenam.

Kemudahan seperti tandas, pancuran dan kafe dengan harga yang berpatutan juga turut disediakan di sini.Â
Dengan semua kemudahan yang tersedia ini, anak-anak dapat merasai lebih keseronokan masa bermain mereka manakala anda pula dapat menikmati keindahan panaroma laut yang terbentang luas.
Alamat: Sijantung, Galang, Batam City, Riau Islands 29485, Indonesia
3. Masjid Jabal Arafah
Jika anda mencari-cari tempat untuk menunaikan solat, jemput singgah ke Masjid Jabal Arafah. Ia terletak di pusat bisnes Kota Batam, di Lubuk Baja dengan keluasan 4.607 meter persegi.Â
Masjid ini sangat selesa untuk anda sekeluarga singgah solat.


Seni binanya cukup teliti dan anda boleh lihat lampu-lampu di siling masjid yang mengelilingi nama Allah dan Rasulullah S.A.W.
Kemudahan ruang untuk berwudhuk disediakan dengan baik dan lokasinya juga mudah untuk diakses.


Bukan sahaja anda dapat menunaikan solat, masjid ini turut menawarkan pemandangan yang nyaman dan berangin. Anda sekeluarga boleh duduk santai beristirehat di gazebo yang terletak di atas masjid ini.

Alamat: Jl. Jabal Arafah, Lubuk Baja Kota, Kec. Lubuk Baja, Kota Batam, Kepulauan Riau 29444, Indonesia
4. Pantai Nongsa

Selain pantai Viovio, anda juga boleh berkunjung ke pantai Nongsa. Pantai ini terkenal dengan pemandangan bangunan Singapura yang jelas kelihatan dari kejauhan.


Waktu paling cantik yang sentiasa dinantikan ramai pengunjung adalah ketika waktu matahari terbenam, sesuai untuk sesi anda bergambar bersama keluarga.
Alamat: Sambau, Nongsa, Batam City, Riau Islands 29465, Indonesia
5. Tebing Langit Bukit Dangas Sekupang

Nak cari tempat dengan view menarik dan sangat instagrammable? Tebing Langit Bukit Dangas Sekupang adalah jawapannya. Untuk sampai ke sini, anda perlu membuat pendakian. Trek mendaki mungkin sedikit mencabar tetapi pemandangan di atas kami jamin memang sangat berbaloi.


Lokasinya yang teduh juga membuatkan tempat popular ini digemari ramai pengunjung. Di sini juga terdapat banyak port-port bergambar yang boleh anda abadikan kenangan menjejak kaki ke sini.

Alamat: 4X92+9R2, Jl. Ir. Sutami, Tj. Pinggir, Kec. Sekupang, Kota Batam, Kepulauan Riau 29424, Indonesia
6. Masjid Agung Raja Hamidah


Masjid Agung Raja Hamidah merupakan sebuah masjid besar, bersih dan lengkap dengan penghawa dingin. Tempat letak kereta juga luas dan mudah untuk diakses pengunjung.
Alamat: 43G2+CVC, Jl. Engku Putri, Tlk. Tering, Kec. Batam Kota, Kota Batam, Kepulauan Riau 29444, Indonesia
7. Marina Kebun Jambu


Kawasan rekreasi keluarga yang menghijau dan menyegarkan mata yang sesuai untuk anda sekeluarga duduk bersantai.

Tempat menarik Batam ini juga mempunyai pelbagai tarikan dan aktiviti menarik seperti memetik buah jambu dan minum jus jambu segar, menunggang kuda, memanah, memberi makan haiwan seperti ikan, kambing, dan arnab serta boleh belajar menanam padi di sawah.



Anak-anak boleh belajar banyak perkara sambil bermain dengan selamat sementara anda menikmati suasana nyaman di salah satu tempat best Batam ini.
Alamat: 3WPV+F5M, Jl. Raya Marina City, Tj. Riau, Kec. Sekupang, Kota Batam, Kepulauan Riau 29425, Indonesia
8. Jembatan 5 Barelang


Destinasi menarik di Batam, Indonesia yang seterusnya adalah Jembatan 5 Barelang
yang merupakan ikon terkenal Batam dan lokasi wajib jika anda gemar bergambar.Â

Jambatan ikonik ini sering menjadi kegemaran pelancong tempatan dan asing. Pada waktu petang pula kawasan ini sangat berangin dan sesuai untuk anda duduk bersantai.
Alamat: Q5MG+69M, Jl. Trans Barelang, Sembulang, Galang, Kota Batam, Kepulauan Riau 29481, Indonesia
9. Sekilak Beach Tourism Batam

Sekilak Beach Tourism Batam merupakan tempat yang bagus untuk bersantai dan bermain air. Ia juga lokasi terbaik jika anda suka memancing dan berenang.


Kawasan pantainya pula cantik dan bersih dan banyak tempat-tempat untuk bergambar terutama di kawasan berbatu yang sangat unik.

Di sini juga turut disediakan kemudahan tempat untuk mandi.
Alamat: 44RW+XXQ, Batu Besar, Nongsa, Batam City, Riau Islands 29466, Indonesia
10. Tangga 1000 Taman Habibie



Tangga 1000 Taman Habibie dilengkapi dengan kemudahan seperti astaka, meja, dan bangku di pelbagai sudut.



Sambil duduk santai, anda boleh melihat pemandangan pantai indah ditemani angin yang menderu.Â

Selain daripada pemandangan yang indah dan kemudahan gazebo, di sini juga terdapat kemudahan lain seperti permainan paintball berbayar.
Sekiranya anda ingin bermain, anda perlu membuat tempahan terlebih dahulu. Anda juga boleh melakukan aktiviti perkhemahan di sini.
Alamat: 4WVX+W8V, Tanjung Pinggir, Sekupang, Batam City, Riau Islands, Indonesia
11. Batam Zoo Paradise
Untuk menambah pengetahuan dan pengalaman anak-anak, anda boleh cuba membawa mereka melawat Batam Zoo Paradise.






Zoo ini sesuai untuk anak-anak kecil bagi mengasah pengetahuan dan pembelajaran mereka.Â

Di sini, anda dan anak-anak boleh melakukan aktiviti memberi makan haiwan, bergambar dan menunggang kuda. Menariknya lagi, zoo ini juga terdapat taman air dan kafe untuk anda mengisi perut.
Alamat: Sadai, Bengkong, Batam City, Riau Islands 29461, Indonesia
12. Air Terjun Tiban
Tempat menarik di Batam yang seterusnya adalah air terjun Tiban. Air terjun dengan suasana hijau berbukit-bukau yang tenang ini sesuai untuk rehatkan minda sambil menikmati alam semula jadi. Airnya yang cukup jernih dan sejuk boleh menyegarkan badan dan membuat anda lebih relaks.
Alamat: 4X3Q+69M, Jl. Tiban I, Patam Lestari, Kec. Sekupang, Kota Batam, Kepulauan Riau 29424, Indonesia
13. Tanjung Bemban


Destinasi best di Batam yang terakhir adalah Tanjung Bemban. Kedudukan tanjung ini menghadap Malaysia dan menjadi kawasan rekreasi popular penduduk tempatan dan asing. Sesuai untuk santai dan nikmati angin laut.


Lokasi rekreasi ini sesuai untuk anda berkelah bersama keluarga bagi meluangkan waktu bersama ditemani keindahan panorama laut.
Alamat: Batu Besar, Nongsa, Batam City, Riau Islands 29466, Indonesia
Secara keseluruhannya, Batam sememangnya destinasi terbaik dan lengkap untuk percutian keluarga. Semuanya tersedia dalam satu destinasi dan pastinya setiap tempat-tempat tersebut mempunyai keunikan tersendiri yang penuh menyeronokkan.Â
Jadi tidak hairanlah mengapa Batam sering menjadi pilihan ketika cuti sekolah dan wajib dipilih sebagai lokasi percutian keluarga anda!
Baca juga:Â Tempat Menarik di Bandung Indonesia – Yang WAJIB Kunjungi

