Itinerari Santai 4H3M Batam & Bintan untuk Keluarga Besar

Itinerari Santai 4H3M Batam & Bintan

Table of Contents

Merancang percutian bersama keluarga besar kadangkala memerlukan destinasi yang sesuai untuk semua peringkat umur. Itinerari Santai 4H3M Batam & Bintan untuk keluarga besar ini direka khas untuk anda yang ingin menikmati percutian santai dengan gabungan tarikan budaya, lokasi bersejarah, tempat membeli-belah, pemandangan unik serta pengalaman tempatan yang menarik di Indonesia. 

Tanpa membuang masa, jom kita lihat itinerari santai 4H3M Batam & Bintan lengkap ini yang bakal membawa anda meneroka keindahan Batam dan Bintan yang cukup unik dan penuh pengalaman menarik!

Itinerari Santai 4H3M Batam & Bintan untuk Keluarga Besar Bermula di Batam


Hari 1: Ketibaan di Batam dan Jelajah Mercu Tanda Ikonik

Perjalanan bermula sebaik sahaja anda tiba di Terminal Feri Batam. Di sini, anda akan disambut oleh pemandu pelancong yang mesra sebelum memulakan pengembaraan. 

Lokasi pertama yang wajib dikunjungi ialah papan tanda terkenal “Welcome to Batam”.

papan tanda welcome to Batam
Kredit gambar: Instagram @dheena__dd_

Persinggahan ini menjadi peluang terbaik untuk anda mengabadikan gambar kenangan bersama keluarga sebagai tanda anda sudah berjaya menjejakkan kaki ke Batam. 

Selepas sesi bergambar, perjalanan akan diteruskan ke Masjid Agung Batam, sebuah masjid yang terkenal dengan seni bina moden dan suasana yang sangat-sangat tenang. 

Masjid Agung Batam terletak di tengah-tengah kota Batam berhampiran dengan pejabat kerajaan, Mega Mall Pusat Batam, dan terminal feri.

Masjid Agung Batam
Kredit gambar: Instagram @rahmat5158

Di masjid ini, anda boleh melihat bentuk kubah ikonik yang bergaya piramid yang dibina pada tahun 1999. 

Masjid ini dahulunya dikenali sebagai Masjid Raya Batam, namun selepas melalui proses penambahbaikan, ia kini ditukar nama sebagai Masjid Agung Raja Hamidah pada tahun 2024. 

Sehingga kini, masjid ini masih megah berdiri berlatarbelakangkan simbol abadi, kepercayaan, kisah perpaduan, budaya dan ketenangan yang terus memberi kehangatan serta inspirasi kepada setiap pengunjung. 

Menikmati Makanan Tempatan dan Keindahan Jambatan Barelang 

Selepas puas menikmati keindahan Masjid Agung Batam, tibalah masa untuk mengisi tenaga dengan menikmati hidangan tempatan di restoran sekitar Batam. Pelbagai pilihan makanan menarik boleh dicuba, termasuk Nasi Kebuli yang terkenal di restoran seperti Kebuli Saudi atau Nasi Liwet yang menjadi pilihan ramai pengunjung di Ikan Bakar Cianjur.

Ikan Bakar Cianjur
Kredit gambar: Instagram @ikanbakarcianjur

Selesai menikmati juadah tengah hari, perjalanan diteruskan ke Jambatan Barelang, mercu tanda ikonik yang wajib dikunjungi apabila bercuti di Batam.

Jambatan Barelang
Kredit gambar: TikTok @Pojok_Batam27

Jambatan yang menghubungkan beberapa buah pulau di Kepulauan Riau ini menawarkan pemandangan laut yang memukau serta menjadi lokasi popular untuk bergambar sambil menikmati suasana angin laut yang menyegarkan.

Jambatan Barelang
Kredit gambar: TikTok @Pojok_Batam27
Jambatan Barelang
Kredit gambar: TikTok @Pojok_Batam27

Lawatan ke Jambatan Barelang bukan sahaja memberikan pengalaman melihat keindahan kejuruteraan moden, malah turut membuka peluang untuk mengenali sisi lain Batam yang kaya dengan panorama alam dan budaya tempatan.

Selepas itu, anda akan meneruskan lawatan ke Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah, salah satu masjid terbesar di Kepulauan Riau. Masjid ini terkenal dengan seni bina Islam yang mengagumkan serta kawasan yang luas dan mendamaikan. 

Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah
Kredit gambar: Instagram @niningindira

Anda pasti akan teruja tatkala melihat reka bentuk masjid ini yang benar-benar mengingatkan anda kepada masjid-masjid di Madinah. Masjid Sultan Mahmud Ri’ayat Syah ini selesai dibangunkan dan rasmi dibuka pada tahun 2019 setelah peletakan batu pertama yang dilakukan pada 30 April 2017. 

Dengan keluasan yang dimiliki, ia boleh memuatkan sehingga 25,000 jemaah dalam satu-satu masa. Masjid ini juga mempunyai menara setinggi 99 meter yang megah berdiri menambahkan lagi keserian yang ada..  

Membeli-belah dan Berehat Selepas Seharian Meneroka Batam 

Tak lengkap rasanya kalau berjalan-jalan tapi tak shopping kan? Untuk anda yang suka membeli belah, anda boleh meluangkan masa membeli-belah di DC Mall yang menawarkan pelbagai pilihan pakaian, cenderamata serta barangan tempatan.

Di sini anda akan menemui pelbagai barangan menarik yang dipengaruhi dengan seni dan kebudayaan Batam.

Selesai melakukan pelbagai aktiviti dan menerokai banyak tempat menarik di hari pertama, pada waktu malamnya pula, anda boleh menikmati makan malam di restoran tempatan. 

Bila dah seharian berjalan, tentunya badan rasa penat. Jadi sebelum pulang ke hotel dan beristirehat, anda boleh memanjakan diri dengan pengalaman urutan tradisional di beberapa pilihan spa terbaik di Batam untuk menghilangkan rasa penat.

The Spa Secret
Kredit gambar: Instagram @thespasecret.batam

Pilihan spa yang selalu menjadi kegemaran pelancong di Batam antaranya Spa Central Batam, The Spa Secret dan Spa Central Baloi (Penuin).

Ringkasan Aktiviti Hari Pertama

  • Ketibaan di Terminal Feri Batam
  • Bertemu pemandu pelancong
  • Bergambar di Welcome to Batam
  • Lawatan ke Masjid Agung Batam
  • Makan tengah hari di restoran tempatan (perbelanjaan sendiri)
  • Melawat Jambatan Barelang
  • Lawatan ke Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah
  • Membeli-belah di DC Mall
  • Makan malam di restoran tempatan (perbelanjaan sendiri)
  • Pengalaman urutan tradisional (perbelanjaan sendiri)
  • Daftar masuk hotel
  • Bermalam di Batam

Hari 2: Lawatan Sehari ke Bintan

Selesai merasai pengalaman menyeronokkan hari pertama di Batam, jom mulakan hari kedua anda dengan menikmati sarapan pagi di hotel sebelum bertolak ke Terminal Punggur untuk menaiki bot laju ke Pulau Bintan.

Pulau Bintan menawarkan suasana yang berbeza berbanding Batam dengan tarikan semula jadi, sejarah Melayu dan pemandangan yang jauh lebih tenang dan mendamaikan.

Terokai Keindahan Semula Jadi Gurun Pasir dan Tasik Biru

gurun pasir bintan
Kredit gambar: Instagram @gurunpasirbintan

Di Bintan, destinasi pertama yang bakal anda terokai ialah Gurun Pasir dan Tasik Biru. Kedua-dua lokasi ini sangat unik dan cukup terkenal dengan pemandangan padang pasir putih dan tasik berwarna biru yang memukau. 

Anda boleh lihat pancaran cahaya pasir yang berkilauan tatkala terkena pantulan cahaya mentari panas. Apa yang lebih menaikkan panoramanya adalah bentuk muka bumi gurun itu sendiri yang membuatkan anda seolah-olah sedang berada di negara Timur Tengah. Apatah lagi apabila ia dihiasi panorama Tasik Biru yang betul-betul membuatkan pemandangan di gurun tersebut persis dalam alam fantasi. 

tasik biru bintan
Kredit gambar: Instagram @qmangmang

Dengan semua tarikan ini, maka tidak hairanlah mengapa Gurun Pasir dan Tasik Biru menjadi antara lokasi bergambar paling popular di Bintan.

Selepas menikmati pemandangan tersebut, perjalanan diteruskan dengan makan tengah hari di restoran pilihan sebelum menuju ke Pulau Penyengat.

Menyelami Sejarah Melayu di Pulau Penyengat 

Pulau Penyengat merupakan sebuah pulau kecil yang menawarkan nilai sejarah yang kaya dengan warisan budaya Melayu dan peninggalan Kesultanan Riau-Lingga. Di sini, anda boleh melawat beberapa tempat bersejarah terkenal seperti Masjid Raya Sultan Riau dan makam pujangga Raja Ali Haji. 

Suasana pulau yang lebih perlahan dan tenang ini mampu memberikan anda pengalaman berbeza terutama bagi anda yang ingin mengenali sejarah masyarakat Melayu di Kepulauan Riau. 

Bergambar di Dataran Gonggong Tanjung Pinang 

Sebelum kembali ke Batam, anda akan singgah bergambar sebentar di Dataran Gonggong, mercu tanda di Tanjung Pinang yang menjadi simbol Pulau Bintan.

Dataran Gonggong Tanjung Pinang 
Kredit gambar: Instagram @mzaim_unp

Lokasi wajib singgah di Tanjung Pinang ini mempunyai binaan ikonik berbentuk siput gonggong yang menjadi simbol makanan laut popular di Bintan. 

Di sini, anda boleh bergambar, bersiar-siar di taman yang menghadap laut, menikmati pemandangan Pulau Penyengat dari kejauhan atau sekadar berehat sambil melihat bot nelayan berulang-alik berhampiran pelabuhan. 

Menariknya lagi, kawasan ini juga menempatkan muzium, galeri dan ruang pameran, selain dikelilingi gerai makanan ringan yang mudah dinikmati. 

Suasana pada waktu pagi di dataran popular ini menawarkan udara yang segar manakala pada waktu malam pula anda boleh melihat kerdipan cahaya lampu yang menjadikan kawasan ini lebih memukau. 

Memang sangat berbaloi untuk dijadikan persinggahan sebelum anda kembali pulang ke Batam pada sebelah petang dengan menaiki feri kembali ke Batam, menikmati makan malam dan berehat di hotel.

Ringkasan Aktiviti Hari Kedua 

  • Sarapan pagi di hotel
  • Bertolak ke Terminal Punggur
  • Menaiki bot laju ke Bintan
  • Lawatan ke Gurun Pasir & Tasik Biru
  • Makan tengah hari di restoran tempatan (perbelanjaan sendiri)
  • Lawatan ke Pulau Penyengat
  • Bergambar di Gong Gong
  • Menaiki feri kembali ke Batam
  • Makan malam di restoran tempatan (perbelanjaan sendiri)
  • Kembali ke hotel

Hari 3: Jelajah Budaya, Kafe Menarik dan Pantai Santai di Batam

Selepas menikmati pengalaman menarik di Batam dan Bintan pada dua hari pertama, hari ketiga dalam itinerari santai 4H3M Batam & Bintan untuk keluarga besar ini memberikan suasana yang lebih santai. 

Hari ketiga di sini sesuai untuk anda meluangkan masa bersama keluarga sambil meneroka keunikan seni bina, budaya tempatan, lokasi kopi popular dan tempat berehat yang menarik.

Mulakan hari ketiga di Batam dengan sarapan pagi yang menyelerakan di hotel sebelum meneruskan pengembaraan. Walaupun perjalanan hari ini mungkin lebih santai, beberapa lokasi menarik sudah menanti untuk diterokai, termasuk masjid ikonik yang mempunyai seni bina unik dan menjadi kebanggaan masyarakat setempat.

Masjid Tanjak Batam: Seni Bina Moden dengan Sentuhan Budaya Melayu 

Destinasi pertama ialah Masjid Tanwirun Naja atau lebih dikenali sebagai Masjid Tanjak, sebuah masjid moden yang cukup menarik perhatian kerana reka bentuknya yang diinspirasikan daripada tanjak Melayu. 

Masjid Tanjak
Kredit gambar: Instagram @tedybacai

Terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, masjid ini mudah dikenali dengan bentuk bumbungnya yang menyerupai tanjak tradisional Melayu yang merangkumi simbol kehormatan, kepimpinan dan identiti budaya Melayu.

Keunikan masjid ini bukan sahaja terletak pada reka bentuk luarnya, malah konsep pembinaannya turut menampilkan suasana yang terbuka dan mesra alam. 

Anda boleh lihat reka bentuk binaannya yang menggunakan cermin jernih untuk membolehkan cahaya semula jadi masuk dengan sempurna. Bukan itu sahaja,  pembinaan ruang terbuka yang terletak di bahagian hadapan dan belakang juga membantu pengaliran udara segar masuk ke dalam ruangan masjid. 

Gabungan seni bina moden dan elemen budaya Melayu menjadikan lokasinya cukup unik dan tempat terbaik untuk anda bergambar kenangan sambil menikmati keindahan seni bina tempatan.

Membeli Buah Tangan di Kedai Kek Lapis Batam 

Selepas mengagumi keindahan masjid, jangan lepaskan peluang singgah membeli buah tangan istimewa di kedai berhampiran. 

Batam bukan sahaja dikenali dengan keunikan bangunan dan seni binanya, tetapi turut terkenal dengan pelbagai pilihan kek lapis, kuih-muih tradisional dan makanan tempatan yang sering menjadi pilihan pelancong untuk dibawa pulang. 

Di sini, anda boleh mendapatkan pelbagai variasi kek lapis dengan rasa yang menarik untuk dijadikan hadiah buat rakan-rakan dan sanak-saudara.

Antara pilihan popular pelancong ialah Alya Layer Cake dan Lamoist yang terkenal dengan variasi kek lapis yang menarik dan sesuai dijadikan cenderamata.

Itinerari Santai 4H3M Batam & Bintan
Kredit gambar: Instagram @lamoist.batam

Aktiviti membeli-belah makanan tempatan ini pastinya menyeronokkan, terutama bagi anda sekeluarga yang ingin membawa pulang kenangan daripada percutian di Batam.

Masjid Cheng Ho Batam: Gabungan Seni Bina Cina dan Islam 

Perjalanan anda kemudiannya akan diteruskan ke Masjid Cheng Ho, salah satu lokasi paling unik di Batam. Dari pandangan pertama, bangunan berwarna merah terang dengan seni bina bercirikan budaya Cina ini mungkin membuatkan ramai menyangka ia sebuah kuil.

Namun, sebenarnya ia merupakan sebuah masjid yang menggabungkan elemen seni bina Cina dengan suasana rumah ibadah yang penuh ketenangan.

Itinerari Santai 4H3M Batam & Bintan
Kredit gambar: Instagram @nurainrosdii

Masjid Cheng Ho menawarkan pengalaman yang berbeza kerana anda dapat melihat gabungan dua elemen budaya dalam satu reka bentuk yang harmoni. Masjid ini memberikan anda panorama dengan keindahan seni reka yang berwarna-warni dalam suasana yang bersih, selesa dan mendamaikan. 

Lokasinya yang strategik juga memudahkan anda untuk singgah sama ada untuk menunaikan solat atau sekadar mengabadikan kenangan bergambar bersama insan tersayang. 

Bersantai di Kafe dan Menikmati Suasana Batam 

Anda akan berkunjung ke Golden City (GTS) atau Coffee Fahrenheit, lokasi popular untuk bersantai sambil menikmati suasana santai Batam.

Itinerari Santai 4H3M Batam & Bintan
Kredit gambar: Instagram @70fahrenheitkoffie

Jika anda pencinta kopi, Coffee Fahrenheit memang wajib masuk dalam senarai! Di sini, anda bukan sahaja dapat menikmati kopi yang segar, malah berpeluang menyertai lawatan kilang secara percuma untuk melihat sendiri proses penghasilan kopi dari awal hingga siap. 

Itinerari Santai 4H3M Batam & Bintan
Kredit gambar: Instagram @70fahrenheitkoffie

Menariknya, anda juga akan diperkenalkan dengan pelbagai jenis kopi seperti kopi luwak, kopi luwak jantan dan betina, selain dapat menikmati sampel kopi ais yang dicampur santan. 

Gabungan rasa kopi yang kaya dengan tekstur santan yang berkrim memang cukup unik dan sukar ditemui di tempat lain.

Suasana kafe yang santai menjadikannya lokasi sesuai untuk anda berehat bersama keluarga selepas penat melakukan aktiviti lawatan.

Bluefire Pink Beach: Lokasi Santai untuk Keluarga

Pada sebelah petangnya pula, anda akan duduk bersantai di Bluefire Pink Beach, salah satu lokasi yang semakin popular dalam kalangan pelancong. 

Walaupun pasir merah jambu ikonik yang sebenar hanya boleh ditemui di Taman Nasional Komodo dan Lombok, kawasan ini tetap menawarkan konsep pantai bertemakan Pink Beach yang sangat cantik untuk bergambar dan bersantai.

Bluefire Pink Beach
Kredit gambar: TikTok @Fitri’s_Diary

Bluefire Pink Beach menggabungkan suasana pantai, kolam renang dan ruang santai yang sesuai untuk seisi keluarga mahupun rakan-rakan. Anda boleh berehat di tepi kolam sambil menikmati makanan dan minuman yang lazat pada harga yang sangat berpatutan. 

Pada waktu tertentu, suasana menjadi lebih meriah dengan persembahan kugiran secara langsung yang menambahkan lagi pengalaman bercuti. Setiap sudut di sini juga direka dengan dekorasi yang menarik, menjadikannya lokasi terbaik untuk merakam gambar dan mengisi galeri Instagram anda.

Menjelang malam, nikmati makan malam di restoran tempatan sebelum kembali ke hotel untuk berehat dan bersedia meneruskan pengembaraan pada hari berikutnya.

Ringkasan Aktiviti Hari Ketiga

  • Sarapan pagi di hotel
  • Lawatan ke Masjid Tanjak
  • Membeli-belah di kedai Kek Lapis
  • Lawatan ke Cheng Ho
  • Makan tengah hari di restoran tempatan
  • Lawatan ke GTS atau Coffee Fahrenheit
  • Masa bebas di Bluefire Pink Beach
  • Makan malam di restoran tempatan (perbelanjaan sendiri)
  • Kembali ke hotel

Hari 4: Membeli-belah dan Pengalaman Terakhir di Batam 

Walaupun masa semakin suntuk, masih terdapat satu lokasi menarik yang sesuai dikunjungi sebelum anda bergerak pulang ke terminal feri iaitu Pasar Penuin

Tempat menarik yang terakhir ini merupakan salah satu lokasi membeli-belah popular di Batam yang paling sesuai untuk anda yang ingin merasai sendiri suasana kehidupan masyarakat tempatan di Batam. 

Itinerari Santai 4H3M Batam & Bintan
Kredit gambar: Instagram @abitoftravels

Walaupun saiznya tidak terlalu besar, Pasar Penuin mempunyai tarikan tersendiri. Suasana Pasar Penuin yang cukup meriah dan penuh warna-warni bakal membuatkan anda menghabiskan masa berjam-jam tanpa sedar.

Di sini, anda boleh melihat penduduk tempatan menjalani rutin harian sambil meneroka deretan gerai yang menjual hasil laut segar, daging, sayur-sayuran serta pelbagai makanan tempatan yang menyelerakan pada harga yang berpatutan. 

Menariknya lagi, Pasar Penuin bukan sekadar tempat membeli-belah. Anda juga boleh menemui kedai gunting rambut, beberapa pengurup wang dengan kadar pertukaran yang kompetitif serta pelbagai kedai lain yang menjual barangan harian dan cenderamata. 

Pilihan makanan halal juga sangat mudah didapati, menjadikannya lebih mesra untuk pelancong Muslim. Jadi, bagi anda yang suka food hunting, jangan lepaskan peluang mencuba pelbagai aneka hidangan panas termasuk makanan tempatan yang terkenal di kawasan ini.

Lokasi Membeli-belah Strategik untuk Lengkapkan Percutian 

Lokasinya yang strategik turut menjadi kelebihan kerana Grand Batam Mall terletak hanya di seberang jalan. Selepas puas berjalan di pasar, anda boleh terus menyambung aktiviti membeli-belah di pusat beli-belah moden tanpa perlu bergerak jauh. 

Sama ada anda datang seawal pagi untuk menikmati suasana pasar yang meriah atau pada waktu petang untuk mencari makanan tempatan, Pasar Penuin pasti memberikan pengalaman yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar masyarakat Batam.

Jangan tergesa-gesa! Nikmati masa lapang untuk berjalan santai, membeli cenderamata terakhir atau sekadar merasai suasana kehidupan tempatan Batam sebelum anda bergerak ke Terminal Feri Batam untuk perjalanan pulang dengan membawa pelbagai kenangan manis sepanjang percutian. 

Ringkasan Aktiviti Hari Keempat 

  • Sarapan pagi di hotel
  • Daftar keluar hotel
  • Lawatan ke Pasar Penuin
  • Masa bebas
  • Pemindahan ke Terminal Feri Batam
  • Tamat lawatan

Itinerari santai 4H3M Batam & Bintan untuk keluarga besar anda ini menawarkan gabungan pengalaman yang sesuai untuk pelbagai golongan umur. Daripada mercu tanda ikonik, masjid-masjid yang tinggi nilai sejarah, lokasi membeli-belah, tarikan alam semula jadi sehinggalah tempat santai bersama keluarga, percutian anda di Batam dan Bintan ini mampu memberikan anda keseimbangan antara aktiviti dan masa berehat.

Batam dan Bintan menawarkan pengalaman dan suasana percutian yang sangat berbeza daripada destinasi biasa yang anda kunjungi. 

Bagi memudahkan dan melancarkan lagi percutian anda tanpa membuang masa mengatur perjalanan, anda boleh semak pakej-pakej percutian menarik yang sangat berbaloi dan menyeronokkan di SINI!

Dengan adanya itinerari santai 4H3M Batam & Bintan yang lengkap ini, percutian anda akan menjadi kenangan istimewa bersama insan tersayang. Selamat bercuti!

Baca juga: 13 Tempat Menarik di Batam untuk Percutian Keluarga Musim Cuti Sekolah

Rate this post
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Baca Lagi

  • 28 Nov, 2024
Taiwan tidak hanya terkenal dengan keindahan alam dan kemajuan teknologi, tetapi juga merupakan destinasi yang mesra untuk pelancong...
  • 19 Dec, 2024
Perjalanan travel seorang diri mungkin kelihatan menakutkan, tetapi ia sebenarnya memberi peluang untuk menikmati kebebasan sepenuhnya. Anda dapat...
  • 20 Dec, 2024
Melancong ke luar negara buat kali pertama boleh menjadi pengalaman yang mendebarkan, namun ia juga memerlukan persiapan yang...
  • 30 Dec, 2024
Bercuti adalah satu pengalaman yang dinanti-nantikan oleh ramai orang. Namun, bagi pengembara Muslim, terdapat beberapa perkara penting yang...
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x

Find Your Next Destination