Isi Kandungan
Negeri Sarawak bukan sahaja kaya dengan budaya kaumnya yang berbilang malah mempunyai aneka pililhan makanan kebudayaan dan tradisional yang banyak contohnya kaum Iban.
Kalau anda bercuti ke Sarawak, jangan lupa untuk melihat dan mencuba makanan tradisional Iban yang sememangnya eksotik dan sedap. Berikut merupakan 8 makanan, kuih muih dan lauk tradisional kaum Iban yang popular di Sarawak. Jangan lupa untuk cuba ya.
Manuk Pansuh – hidangan lauk makanan tradisional Iban yang paling popular dan sangat sedap
Boleh dikatakan menu makanan Iban yang paling popular. Manuk Pansuh merupakan makanan kaum Iban yang sangat berpesonaliti dan kebiasaannya menjadi hidangan wajib ketika hari perayaan orang Iban seperti Hari Gawai.
Manuk Pansuh ini merupakan ayam yang dimasak di dalam buluh bersama dengan daun ubi sebagai penambah aroma.
Lauk manuk pansuh atau ayam pansuh ini memang sangat sesuai untuk dimakan bersama dengan nasi. Ingin cuba masak ayam mansuh pucuk ubi? Tengok video ini.
Midin Belacan
Sayur midin atau nama panjangnya Kemidin merupakan sejenis sayur yang sangat popular di Sarawak dan kebiasaanya sayur ini dimasak secara goreng belacan.
Sekali pandang sayur ini tidak ubah seperti sayur pucuk paku. Midin goreng belacan merupakan hidangan makanan yang juga tidak kurang popularnya di kalangan kaum Iban, yang berbeza hanya cara penyediaannya sahaja. Banyak kedai-kedai makan di Sarawak yang menyediakan menu makanan sayur midin dengan pelbagai cara masakan.
Pekasam Ensabi
Kalau di Korea terkenal dengan jeruk kobis Kimchinya, manakala di Sarawak terkenal dengan Pekasam Ensabi. Pekasam ensabi ini diperbuat daripada sayur dan bukannya ikan. Sayur yang digunakan akan diawet dengan bahan-bahan tertentu untuk menjadikannya seperti jeruk.
Sayur Pekasam Ensabi atau lebih sinonim dengan nama kasam ensabi ini kebiasaannya menggunakan sawi dan merupakan santapan kegemaran kaum Iban untuk dimakan bersama dengan nasi panas. Hidangan Pekasam Ensabi sememangnya satu makanan tradisional Iban yang sangat eksotik, klasik dan telah diwarisi sejak berkurun lamanya.
Kasam Ikan
Satu lagi hidangan ala jeruk yang digemari oleh orang Iban. Seperti juga ditempat lain, ikan yang digunakan untuk membuat kasam ikan akan diperap dengan ramuan tertentu sehingga sebulan lamanya dan kebiasaannya jenis ikan yang diguna ialah sepat, ikan baung, ikan semah dan juga ikan tengadak.
Memang sangat membuka selera dan sedap kalau dikenakan kasam ikan ini dengan nasi putih yang panas-panas.
Cakar Ayam
Seperti orang Melayu, setiap kali hari Raya Aidilfitri semestinya kuih semperit, batang buruk dan tat nanas yang menjadi hidangan kuih atau manisan untuk tetamu.
Bagi kaum iban, kuih atau manisan cakar ayam ini yang menjadi menu wajib setiap kali Hari Gawai.
Cakar ayam ini diperbuat daripada ubi keledek dan bersira dengan gula melaka, rasa dia pula sangat rangup dan berlemak manis.
Umai
Umai merupakan hidangan yang berasaskan ikan mentah dengan campuran beberapa bahan lain seperti bawang, cili, garam dan juga perahan air limau. Kalau di Semenanjung Malaysia, lebih sinonim dipanggil dengan nama kerabu.
Namun rasa dia memang lain daripada kerabu biasa dan ianya lebih pedas. Menu umai juga sangat popular di kalangan masyarakat kaum Melanau dan kini menjadi hidangan ikonik untuk orang negeri Sarawak umumnya. Apa-apa pun makan umai ini nampak lebih menyelerakan kalau nak dibandingkan dengan Kerabu Bronok di Langkawi selepas melihat rupa bronok yang sebenar.
Hinava Ginapan
Cara penyediaan makanan ini sama seperti Umai dan boleh dianggap seperti kerabu juga.
Cuma yang berbeza, isi ikan atau sotong yang digunakan akan dimasak terlebih dahulu sebelum digaul bersama dengan bawang, cili, limau kasturi dan garam.
Satu makanan tradisional Iban yang namanya sangat unik seolah-olah berasal dari Brazil.
Penganan
Penganan merupakan kuih tradisional kaum Iban yang sangat popular dan sering menjadi makanan wajib ketika perayaan hari Gawai.
Ianya diperbuat daripada tepung beras dan beberapa bahan lain sebelum dijadikan doh untuk digoreng. Anda boleh ke sini untuk melihat resepi membuat penganan.
Memang best kalau dapat mencuba makanan tradisional Iban yang asli dari Sarawak. Sekiranya anda ke Kuching, jangan lupa untuk singgah di kedai-kedai makan di sini untuk mencuba Pansuh Ayam dan sayur midin yang sememangnya sedap menjilat jari.
Sedap ni Dan sya dpat mengambil maklumat ini untuk kerja khusus sejarah
on ayam pansuh; pansuh adalah kaedah masakn seperti goreng, salai, rebus etc. ikan pansuh lagi best..