Pinjaman Peribadi, Loan 10K, dapat 10K!

Promo Raya dgn Kadar Terendah!

10 Lokasi Air Terjun Menarik di Negeri Sembilan

Negeri Sembilan terkenal dengan keunikan budaya Minangkabau dan pelbagai hidangan asli yang menyelerakan. Namun begitu, bukan itu sahaja yang menarik di sini. Negeri ini juga ada menawarkan beberapa lokasi air terjun yang mungkin tidak diketahui ramai. Cubalah singgah ke lokasi-lokasi yang dinyatakan di bawah, mana tahu, anda pasti ingin kembali lagi!

10 Lokasi Air Terjun Menarik di Negeri Sembilan – Anda pasti terpukau!


1. Jeram Toi

Air Terjun Best di Negeri SembilanSumber: NS Tourism, Outdoor & Sports

Lokasi air terjun pertama yang harus anda lawati ialah Jeram Toi yang terletak di Hutan Simpan Berembun. Anda boleh sampai ke sini dalam jarak 28 kilometer dari Seremban dan 12 kilometer dari pekan Kuala Klawang. Lokasi ini sememangnya popular dalam kalangan penduduk tempatan untuk mandi-manda dan beriadah bersama yang tersayang.

Antara keunikan Jeram Toi ialah air terjun 4 tingkat yang mengalir ke Sungai Batang Toi dan juga menjadi laluan jungle tracking ke Gunung Telapak Buruk. Terdapat pelbagai kemudahan telah disediakan di sini, antaranya ialah tandas awam, surau, tempat persalinan pakaian, tempat BBQ, gerai-gerai serta kolam dengan papan lungsur untuk kanak-kanak. Sekiranya anda ingin melakukan aktiviti perkhemahan di sini, ada tapak perkhemahan yang disediakan dengan kapasiti 50 orang pada satu-satu masa.

Jika anda sedang mencari lokasi air terjun di Negeri Sembilan, pastikan Jeram Toi ada dalam senarai anda!

Alamat: 86, 71600 Kuala Klawang, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari (7 AM – 6 PM)

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong 


2. Lata Dinding

Air Terjun Best Negeri SembilanSumber: Dzuriasikim Dzulkefli, Amir Zulhairi Md Yusof

Lata Dinding adalah lokasi air terjun yang wajib untuk anda singgah. Jika anda sukakan cabaran, lokasi ini sememangnya untuk anda! Terletak di Taman Alam Liar Negeri, Kenaboi, Negeri Sembilan, perjalanan untuk sampai ke air terjun Lata Dinding ini akan mengambil masa yang lebih lama.

Dari bandaraya Kuala Lumpur, lokasi ini terletak 83 kilometer dari arah timur. Anda boleh memilih untuk menggunakan laluan dari Hulu Langat atau Semenyih untuk sampai ke sini. Tapi, tidak bermakna anda akan terus nampak air terjun Lata Dinding ini ya! Anda perlu berjalan dari tempat letak kenderaan dalam jarak 10 kilometer untuk sampai ke Lata Dinding. Tapi, perjalanan anda ke sini pasti berbaloi kerana pemandangan air terjun Lata Dinding adalah antara yang tercantik di Negeri Sembilan!

Lata Dinding menyajikan panorama batu selebar 40 meter dengan berlatarbelakangkan air terjun dengan ketinggian 20 meter. Boleh terkedu anda apabila melihat panorama cantik di sini. Tidak ada tempat berendam di sini jadi anda hanya perlu duduk sahaja di bawah air terjun untuk merasakan kesegaran mandi-manda di sini.

Rugi kalau anda tak cuba untuk sampai ke Lata Dinding ini, pengalaman yang anda akan dapat di sini pasti berbaloi!

Alamat: Taman Alam Liar Negeri, Kenaboi, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Ulasan Pelancong 


3. Lata Kijang

Air Terjun Best Negeri SembilanSumber: The Tuan Tanah, jomwaterfall 

Lata Kijang adalah antara lokasi air terjun yang terkenal di Negeri Sembilan. Lokasi ini terletak sejauh 78 kilometer dari bandar Seremban dan 45 kilometer dari pekan Kuala Klawang. Air terjun Lata Kijang merupakan air terjun tertinggi di negeri ini dengan ketinggian 80 meter yang juga berkongsi tempat dengan Gunung Besar Hantu, Gua Semong dan Gua Harimau.

Sekiranya anda suka aktiviti perkhemahan, lokasi ini sememangnya tepat buat anda kerana ada tapak perkhemahan yang disediakan di sini. Tapak perkhemahan ini dibahagikan kepada dua zon yang boleh menampung kapasiti 300 orang pada satu-satu masa. Kemudahan lain seperti tandas serta dewan serbaguna juga disediakan. Keindahan panorama di Lata Kijang sering menarik perhatian pencinta alam dan fotografi untuk datang ke sini. Buat para penyelidik, air terjun Lata Kijang yang terletak di Hutan Simpan Kenoboi menawarkan kepelbagaian spesis flora dan fauna yang sukar ditemui di tempat-tempat lain.

Jadi, ayuh ke air terjun Lata Kijang untuk menyaksikan keindahan panorama alam semulajadi. Pasti hilang segala stress anda!

Alamat: Taman Alam Liar Negeri, Kenaboi, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Laman Web | Ulasan Pelancong


4. Air Terjun Kampung Sungai Mahang

Air Terjun Best Negeri SembilanSumber: World Orgs

Air Terjun Kampung Sungai Mahang adalah sebuah lokasi air terjun yang unik untuk anda lawati di Negeri Sembilan. Lokasi ini terletak di Nilai dan berhampiran dengan perkampungan orang asli serta terletak di dalam kawasan ladang kelapa sawit. Jarang-jarang kan dalam ladang kelapa sawit pun boleh ada air terjun.

Anda boleh sampai ke sini dengan memandu kenderaan tapi anda perlu ingat jalan masuk ke lokasi ini adalah agak sempit dan mungkin sedikit sukar apabila ada kenderaan lain. Walaupun begitu, lokasi ini sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga jadi anda boleh datang ke sini dan sering menjadi pilihan penduduk tempatan. Suasana kampung serta keindahan pohon-pohon menghijau pasti membuatkan perjalanan anda ke sini berbaloi! Walaupun kawasan di sini semakin membangun, air terjun di sini masih terjaga dan menyegarkan buat para pengunjung. Kemudahan awam tidak disediakan di sini jadi anda perlu membawa kelengkapan secukupnya untuk keperluan asas.

Jangan lupa datang ke Air Terjun Kampung Sungai Mahang untuk merasai sendiri kesegaran air terjun di sini sambil menghabiskan waktu berkualiti bersama yang tersayang!

Alamat: Nilai, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Ulasan Pelancong


5. Ulu Serting Recreational Park

Air Terjun Best Negeri SembilanSumber: RosliThnin

Kalau anda sudah sampai di Negeri Sembilan, pastikan anda menjejakkan kaki ke Ulu Serting Recreational Park, salah satu lokasi menarik yang terletak dalam daerah Jempol. Anda pasti akan tertawan dengan pemandangan indah alam semulajadi dan suasana kampung dengan rumah-rumah dengan senibina Minangkabau menghiasi panorama sepanjang perjalanan anda ke sini.

Sampai saja ke sini, anda boleh segarkan diri dengan berendam di jeram Ulu Serting dengan airnya yang jernih dan menyegarkan. Lokasi di sini bersih dan dijaga oleh penduduk kampung. Jika anda suka aktiviti lasak, anda boleh berkhemah dan juga melakukan aktiviti mendaki di sini. Pelbagai kemudahan turut disediakan seperti pondok berkelah, tandas awam, surau, bilik persalinan dan gerai-gerai untuk para pengunjung. Anda juga boleh menginap di chalet yang disediakan di sini.

Kalau anda ingin menenangkan fikiran dan bersantai dalam suasana alam semulajadi dan merasai ketenangan kampung, rugi kalau anda tidak datang ke sini.

Alamat: 72300 Simpang Pertang, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Ulasan Pelancong


6. Hutan Lipor Gua Batu Maloi

Air Terjun Best Negeri SembilanSumber: NS Tourism, Outdoor & Sports, Maria Z

Buat pencinta aktiviti lasak, anda harus datang ke Hutan Lipor Gua Batu Maloi. Lokasi ini terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Tampin dengan jarak 8 kilometer dari Pekan Johol. Tarikan utama di sini ialah laluan mencabar di dalam Gua Batu Maloi yang mempunyai batu-batu bertindih dan ruang laluan yang sempit untuk para pengunjung.

Sekiranya anda ingin datang ke sini, pastikan anda mendapatkan khidmat pengiring yang tahu selok-belok tempat ini. Bayaran masuk juga dikenakan kepada pengunjung di sini. Gua batu granit sejauh 2.3 kilometer menanti pengunjung yang harus mencuba untuk melepasi laluan sempit di antara celahan batu-batu besar di sini. Memang mencabar! Ada sesetengah lokasi dalam Gua Batu Maloi di mana anda perlu menyelam, berenang dan juga merangkak dan meniarap untuk melepasi laluan tersebut. Tapi, jangan risau, kerana pengiring di sini akan memilih laluan yang sesuai berdasarkan jumlah dan saiz fizikal pengunjung.

Apa tunggu lagi? Kalau anda mahukan lokasi untuk cabar kemampuan diri, Hutan Lipor Gua Batu Maloi adalah jawapannya!

Alamat: Pejabat Hutan Negeri Sembilan,73100 Johol, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Ulasan Pelancong


7. Air Terjun Gunung Berembun Pantai

Air Terjun Best di Negeri SembilanSumber: NS Tourism, Outdoor & Sports, WorldOrgs

Air Terjun Gunung Berembun Pantai sering menjadi lokasi pilihan penduduk dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan alam semulajadi di sini. Terdapat dua resort terkenal di sini iaitu The Dusun dan The Shorea yang sering menjadi pilihan pengunjung luar negara untuk menginap sebelum meneroka kawasan Gunung Berembun Pantai ini.

Lata Berembun menawarkan lokasi berkelah dan mandi-manda dengan air terjun yang cantik. Pengunjung juga dikenakan permit masuk sebanyak RM 5 untuk masuk ke hutan. Anda perlu melepasi dua sungai kecil sebelum sampai di Air Terjun Gunung Berembun Pantai. Keindahan panorama di sini dan jauh dari kesibukan bandar pasti membuatkan perjalanan anda ke sini berbaloi. Tiada kemudahan asas disediakan di sini jadi pastikan anda membawa kelengkapan asas secukupnya sebelum sampai ke lokasi air terjun. Kejernihan dan kesegaran air di sini pasti membuatkan anda lupa akan segala tekanan yang dirasai.

Jika anda mencari lokasi air terjun untuk aktiviti beriadah bersama yang tersayang, jadikan Air Terjun Gunung Berembun Pantai sebagai lokasi seterusnya.

Alamat: Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Ulasan Pelancong 


8. Hutan Lipur Jeram Tengkek

Air Terjun Best Negeri SembilanSumber: Muhd Faiz bin Abdul Manan

Hutan Lipur Jeram Tengkek boleh dikatakan lokasi yang kurang dikenali untuk pengunjung dari luar. Lokasi ini terletak agak jauh di dalam pedalaman daerah Kuala Pilah dan juga terletak berdekatan Perkampungan Orang Asli Kampung Guntur, Batu Kikir. Sekiranya anda ingin ke lokasi air terjun yang lebih terpencil dan tidak terlalu ramai pengunjung, di sinilah lokasi yang harus anda tuju.

Apa yang menarik di sini adalah anda perlu berjalan sekitar 1 kilometer dari tempat letak kenderaan untuk sampai ke tempat air terjun. Sebuah titi kayu dengan jarak 400 meter perlu anda tempuhi sebelum sampai ke lokasi air terjun. Jambatan kayu ini merentasi sungai, air terjun dan jeram jadi anda boleh menikmati pemandangan indah alam sebelum sampai ke tempat mandi-manda dan berkelah. Tiada bayaran dikenakan untuk anda masuk ke sini.  Lokasi ini juga sedang dalam proses naik taraf oleh pihak berwajib maka kemudahan sedia ada seperti tandas, pejabat, pondok rehat dan lain-lain akan dibaikpulih  untuk keselesaan pengunjung.

Lokasi ini adalah pilihan tepat jika anda ingin mandi-manda dan berkelah dengan tenang bersama yang tersayang.

Alamat: 72200 Batu Kikir, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari

Lokasi | Ulasan Pelancong 


9. Hutan Lipur Ulu Bendul

Air Terjun Best Negeri SembilanSumber: Muhd Faiz bin Abdul Manan

Hutan Lipur Ulu Bendul adalah destinasi popular buat para pengunjung di daerah Kuala Pilah. Anda boleh sampai ke sini dalam jarak 18 kilometer dari bandar Seremban. Lokasi ini sering menjadi pilihan pengunjung untuk mandi-manda dan menghabiskan waktu berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan. Ada kolam buatan di sini di mana airnya datang dari Sungai Batang Terachi.

Ada pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan di sini. Antaranya ialah mandi-manda, perkhemahan, jungle-trekking, berkelah dan mendaki Gunung Angsi. Gunung Angsi terletak pada ketinggian 825 meter dari aras laut dan boleh didaki dengan menyusuri Sungai Batang Terachi. Anda juga boleh singgah di Taman Herba dan Taman Ular Sawa yang juga menjadi tarikan utama di sini. Pelbagai kemudahan ada disediakan di sini jadi anda tidak perlu risau untuk datang ke sini. Keindahan panorama di sini pasti membuatkan anda ingin kembali lagi ke sini.

Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh ke Hutan Lipur Ulu Bendul untuk pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan!

Alamat: 71500 Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari (7 AM – 7 PM)

Lokasi | Laman Web | Ulasan Pelancong


10. Loji Air Ulu Bendul

Air Terjun Best Negeri SembilanSumber: Tempat Menarik di Malaysia

Lokasi air terjun menarik yang terakhir harus anda kunjungi di Negeri Sembilan ialah Loji Air Ulu Bendul. Lokasi ini juga adalah sebahagian daripada kawasan Hutan Lipur Ulu Bendul. Anda boleh sampai ke sini dengan menggunakan laluan yang sama ke Hutan Lipur Ulu Bendul.

Anda tidak perlu khuatir akan kemudahan yang ada di sini kerana pelbagai jenis kemudahan seperti surau, tandas awam, tempat letak kenderaan, gerai-gerai, chalet dan tempat mandi ada disediakan di sini. Ramai pengunjung hadir ke sini untuk pelbagai aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan-rakan. Rata-rata pengunjung mandi-manda dan berkelah di sini kerana lokasinya yang juga sesuai untuk kanak-kanak. Airnya yang cetek dan jernih menjadikan lokasi ini tumpuan ramai orang terutamanya pada waktu hujung minggu.

Jika anda berkesempatan untuk datang mandi-manda air terjun, pastikan anda singgah ke Loji Air Ulu Bendul.

Alamat: Ayer Sejok, 71500 Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Sabtu & Ahad (Tutup), Isnin – Jumaat (11:30 AM –  3 PM)

Lokasi | Ulasan Pelancong


Alang-alang dah sampai ke Negeri Sembilan, singgahlah ke mana-mana lokasi yang dinyatakan di atas untuk pengalaman indah bersama yang tersayang. Apa-apa pun, pastikan jaga keselamatan dan sentiasalah berwaspada terutamanya di lokasi air terjun. Selamat berseronok!

3.7/5 - (4 votes)

Anda Mungkin Berminat

10 Tempat Hiking Yang TOP Di Negeri Sembilan

Aktiviti mendaki memang memberi pelbagai manfaat seperti meningkatkan kecergasan badan, mengurangkan rasa tekanan dan pelbagai lagi. Namun, sebelum memulakan pendakian banyak perkara yang anda...

50+ Tempat Menarik di Negeri Sembilan Paling POPULAR untuk Bercuti

Negeri Sembilan merupakan negeri beradat yang kaya dengan destinasi percutian menarik & menawarkan pelbagai produk eko-pelancongan yang pasti membuatkan para pencinta alam tidak sabar...
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Hubungi Kami

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x