10 Tempat Menarik di Seremban Sesuai utk Hujung Minggu

Sedang merancang percutian ke Seremban, Negeri Sembilan tetapi masih buntu idea tentang tempat-tempat menarik yang ada di sana? Jangan risau, kami senaraikan 10 tempat terbaik yang boleh anda kunjungi di Seremban bersama keluarga, rakan-rakan dan juga insan tersayang. Seremban merupakan ibu kota kepada Negeri Sembilan, mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur. Jauh dari kesibukan dan kesesakan bandar raya, Seremban terkenal dengan sejarah budaya Minangkabau mereka, maka anda akan dapat melihat beberapa bangunan di Seremban bersenibinakan budaya Minangkabau, seperti Majlis Perbandaran Seremban, Wisma Negeri dan juga Muzium Negeri Sembilan. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih banyak destinasi-destinasi menarik di ibu kota Negeri Sembilan ini.


10 Destinasi Menarik di Seremban

1. Lorong Seni

10 Destinasi Menarik di Seremban

Anda suka bergambar atau berOOTD? Datanglah ke Lorong Seni Seremban! Terletak di tengah-tengah pusat bandar, Lorong Seni Seremban mempamerkan hasil seni yang kreatif dan gah yang dilukis oleh 6 orang artis berbakat. Salah seorangnya adalah pelukis majalah Ujang bernama Ciku, beliau merupakan seorang lagenda yang menaikkan nama industri seni di Malaysia dari dulu lagi! Inilah tempat untuk anda dan rakan-rakan bergaya seperti model dan mengadakan sesi photoshoot beramai-ramai kerana lihatlah sahaja betapa menonjolnya hasil seni di lorong ini. Lebih 30 mural dilukis di sepanjang Lorong Seni Seremban yang berukuran hampir 250 meter ini. Lukisan wajah penyanyi terkenal tanah air seperti Sudirman Haji Arshad dan Alleycats juga menjadi tarikan kepada peminat-peminat mereka untuk datang berkunjung.

Sudah penat berjalan, mestilah kita mencari makan pula. Pada waktu malam, terdapat 20 gerai makan yang boleh anda singgah untuk mengalas perut di hujung Lorong Seni Seremban ini (Benteng Walk). Sambil anda menjamu selera, bolehla anda menikmati pemandangan Lorong Seni Seremban yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni yang sangat cantik pada waktu malam. 

Alamat: 9, Jalan Dato Sheikh Ahmad, Bandar Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Dibuka 24jam

Lokasi | Ulasan Pelancong


2. Muzium Negeri Sembilan

10 Destinasi Menarik di Negeri Sembilan

Asyik berkunjung ke pusat membeli-belah sahaja, singgahlah di Muzium Negeri Sembilan yang terletak bersebelahan dengan lebuhraya PLUS ini pula. Bercirikan senibina Minangkabau, bentuk bumbung muzium ini dilihat seperti “tanduk kerbau”. Di muzium ini, anda dapat melihat pelbagai artifak sejarah berkenaan Negeri Sembilan, marilah kita mengenali budaya dan adat nenek moyang kita yang semakin dilupakan ditelan zaman. Bukan itu sahaja, anda juga akan dapat memperingati sejarah Negeri Sembilan dari segi budaya, asal-usul, susur galur pemerintahan dan perkembangan dari zaman ke zaman. Tahukah anda, keunikan Negeri Sembilan berbanding dengan negeri lain boleh dilihat dari cara mereka melantik pemimpin tertinggi?

Inilah masa yang sesuai untuk anda menambah ilmu pengetahuan tentang negeri bersejarah ini. Masuk adalah percuma, jadi anda bukan sahaja dapat menambah pengalaman baru malah anda tidak perlu mengeluarkan kos pun untuk meluangkan masa bersama keluarga di sini.

Alamat: 2021, Jalan Sungai Ujong, Kemayan Square, 70200 Seremban, Negeri Sembilan

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: 9.00am – 5.00pm. Isnin tutup.

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Email | Phone: 06-763 1149


3. Jelita Ostrich Farm

10 destinasi menarik di Seremban

Bawa anak-anak anda bermain di Jelita Ostrich Farm bersama burung unta, kambing, rusa, itik dan juga burung bangau! Kenali pelbagai jenis binatang yang terdapat di Ladang Burung Unta pertama di Malaysia! Jelita Ostrich Farm bertempat lebih kurang 9 kilometer sahaja dari Bandar Seremban dan mereka menawarkan pelbagai aktiviti menarik di sini, sesuai untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Setibanya di sana, pengunjung dan pelancong akan diberi taklimat tentang latarbelakang, habitat dan penternakan burung unta di Jelita Ostrich Farm. Seorang pemandu pelancong akan ditugaskan untuk membawa rombongan pengunjung & pelancong mengelilingi ladang sambil menerangkan maklumat tentang binatang-binatang di Jelita Ostrich Farm dengan lebih lanjut.

Anda berpeluang untuk menyentuh dan memberi makan kepada binatang-binatang di ladang ini. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menunggang burung unta di sini! Sijil penghargaan akan diberikan kepada para pengunjung yang berani menunggang haiwan tersebut. Tahukah anda telur burung unta boleh menahan tekanan berat sehingga 100 kilogram? Pihak Jelita Ostrich Farm memberi peluang kepada anda untuk berdiri di atas telur burung unta tersebut, dan anda juga akan diajar cara untuk mengangkat telur burung unta dengan betul. Acara perlumbaan burung unta juga tururt diadakan di Jelita Ostrich Farm jika berminat.

Alamat: Lot 1504, Batu 6 Mukim Pantai, Jln Jelebu, 71770 Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: 9.00am – 5.00pm setiap hari

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 06-767 0707


4. Masjid Sri Sendayan 

10 destinasi menarik di Seremban

Masjid Sri Sendayan merupakan masjid terbesar di Negeri Sembilan. Begitu unik sekali reka bentuk dan seni bina masjid ini, sehinggakan digelar sebagai Taj Mahal, Masjid Nabawi, dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah oleh pengunjung yang datang melawat. Dibina dengan kos melebihi RM100 juta, hasil seni dan arkitek yang terlibat dalam penghasilan masjid ini datang sepenuhnya dari luar negara seperti Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China. Seni bina yang terdapat di Masjid Sri Sendayan ditempah khas, termasuk ukiran kayu pada dinding, tulisan khat serta penggunaan bongkah jubin sebagai dinding berhampiran mimbar.

Terletak hanya 10 minit dari Seremban, tempat ini menjadi hot spot untuk bakal pengantin baru bergambar. Tahukah anda, masjid ini diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain? Jangan terlepas peluang untuk singgah solat maghrib dan bergambar di Masjid Sri Sendayan apabila anda datang mengunjungi Seremban.

Alamat: Masjid Sri Sendayan, Persiaran Idaman Villa, Bandar Sri Sendayan, 71950 Siliau, Negeri Sembilan

Bayaran Masuk: Derma tabung masjid seikhlas hati

Waktu Operasi: 5.00am – 10.00pm setiap hari

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pengunjung | Phone: 019-6969871

Whatsapp Masjid Sri Sendayan


5. Centipede Temple 

destinasi menarik si seremban

Centipede Temple (Tokong Lipan) atau lebih dikenali sebagai Then Tze Koon Temple ini menawarkan pemandangan indah seluruh bandar Seremban untuk pengunjung yang datang! Tokong yang berusia 140 tahun ini bertempat di puncak Bukit Wu Gong (Bukit Jung). Kemashyuran dan kecantikan tokong ini menjadi daya tarikan utama pengunjung dari seluruh Malaysia, malah dari luar negara pun ada. Untuk menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di tokong ini, anda harus mendaki sebanyak 264 anak tangga sebelum tiba di Centipede Temple. 

Lagenda menceritakan bahawa pernah ada seorang pemuda yang meninggalkan rumahnya untuk mencari kemasyhuran dan kekayaan. Dia berjaya mencapai impiannya tetapi apabila dia pulang ke rumah, dia tidak menunjukkan rasa syukur malah dia derhaka kepada ibunya. Tuhan murka dengannya dan menghukum pemuda itu dengan mengubahnya menjadi sebuah ‘kapal batu’ yang tidak boleh berlayar dan menempatkannya di Bukit Jung. Kemudian, seekor lipan sentiasa kelihatan berkeliaran di sebelah batu tersebut dan orang ramai menganggap bahawa lipan ini adalah penjelmaan semula ibu lelaki muda itu. Sehingga ke hari ini, sesiapa yang dapat menemukan serangga lipan di sini dipercayai akan mendapat tuah dan juga kekayaan.

Alamat: Jalan Temiang, 70200, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia, 70200 Seremban

Waktu Operasi: 8.00am – 6.30pm setiap hari

Lokasi | Facebook | Ulasan Pengunjung | Phone: 010-3105880

Whatsapp Centipede Temple


6. Bukit Putus 

destinasi menarik di seremban

Bagi pengunjung yang sukakan kisah mistik dan aktiviti paranorma, nama Bukit Putus ini pasti pernah didengari, bukan? Pada masa dahulu, Bukit Putus lebih dikenali sebagai jalan utama yang menghubungkan Kuala Pilah dengan Seremban & pernah juga digunakan sebagai jalan alternatif ke pantai timur. Tahukah anda akan sejarah ringkas tentang Bukit Putus ini? Bukit Putus pernah menjadi tempat pertempuran angkatan Yamtuan Antah dengan tentera Inggeris dalam peperangan yang berlaku pada tahun 1875 sekaligus membuktikan bahawa peristiwa penentangan jajahan British pernah berlaku di tempat ini. Jalan Bukit Putus yang dikelilingi hutan tebal dan gaung yang curam menambah faktor kegerunan apabila anda memandu kereta keseorangan di sini. Kami sarankan anda berhati-hatilah apabila memandu di sana pada waktu malam. Lagi pula, mustahillah anda belum pernah mendengar mana-mana kisah seram yang terjadi di sini, bukan?

Apabila jalan baru siap dibina maka jalan Bukit Putus tidak lagi kerap digunakan oleh orang ramai. Sekarang, aktiviti riadah seperti berjogging dan berbasikal sahaja yang banyak kelihatan di sini. Oleh sebab inilah, Bukit Putus dianggap sebagai salah satu tempat yang paling unik di Negeri Sembilan.

Alamat: 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Lokasi | Ulasan Pelancong 


7. Galeri Diraja Tuanku Jaafar 

destinasi menarik di seremban

Seperti namanya, Galeri Diraja Tuanku Jaafar merupakan sebuah muzium diraja mengenai bekas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar. Galeri ini mengandungi pameran berkaitan dengan pemerintahan Tuanku Ja’afar selama 42 tahun baginda ditabalkan sebagai Sultan Negeri Sembilan sehinggalah kematiannya pada 2008 ketika baginda berusia 86 tahun. 

Pameran Galeri Diraja Tuanku Ja’afar berkonsepkan “Perjalanan Biografi Kehidupan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman” dengan 8 ruang pameran iaitu (1) Sejarah Negeri Sembilan & Raja-Raja Negeri Sembilan, (2) Mengenali DYMM Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, (3) Zaman Membesar Baginda, (4) Kerjaya Awal Baginda, (5) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 (Tahun 1967-2008), (6) Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-10 (Tahun 1994-1999), (7) Permaisuri baginda DYMM Tunku Ampuan Tuanku Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, dan (8) Keluarga Diraja.

Bayaran masuk pameran yang dikenakan kepada orang dewasa adalah RM10, manakala pelajar, OKU dan warga emas 55 tahun dan keatas masing-masing RM5 sahaja. Masuk percuma untuk kanak-kanak berumur 6 tahun dan kebawah. Anda boleh berjalan dari Stesen KTMB Seremban ke Galeri Diraja Tuanku Jaafar kerana lokasinya bersebelahan sahaja.

Alamat: Jalan Taman Bunga, Taman Tasek Seremban, 70100 Seremban, Negeri Sembilan

Bayaran Masuk: Dewasa RM10, Pelajar OKU dan Warga emas RM5.

Waktu Operasi: 10.00am – 4.30pm, Isnin tutup

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 06-761 9102


8. Taman Rekreasi Air Seremban

destinasi menarik di seremban

Sudah puas melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah di Seremban, kini tibalah pula masa untuk beriadah bersama keluarga di petang hari. Taman Rekreasi Air Seremban, yang dahulu dikenali sebagai Taman Tasik Seremban, merupakan hasil usaha Majlis Bandaraya Seremban menaiktaraf taman tersebut untuk kemudahan penduduk dan pengunjung yang datang. Kerajaan negeri telah mengeluarkan modal sebanyak RM340,000 untuk pembaharuan taman itu dengan tujuan menggalakkan aktiviti beriadah sekaligus menjadi daya tarikan untuk pelancong luar yang datang ke Malaysia. Taman Rekreasi Air Seremban menawarkan 7 jenis permainan air untuk dicuba seisi keluarga seperti Swam Pedal Boats, Duck & Swam, Becha, Water Bike & Kayak. Permainan-permainan ini sangat sesuai untuk para ibu bapa yang ingin membawa anak kecil yang suka bermain, di sambil meluangkan masa berkualiti bersama. 

SOP yang ketat juga dijalankan kepada pengunjung yang datang ke Taman Air Rekreasi Seremban. Sebelum anda membeli tiket masuk, pastikan anda sudah menerima suntikan vaksin lengkap dan check-in MySejahtera dahulu. Pemakaian jaket keselamatan juga adalah wajib kepada pengunjung yang ingin bermain permainan air di sini. 

Alamat: Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan

Bayaran Masuk: Mengikut senarai harga permainan air

Waktu Operasi: 3.00pm – 7.00pm, Sabtu & Ahad 9.ooam – 7.00pm

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 011-1008 9049


9. IJM Hillpark 

destinasi menarik di seremban

Anak anda seorang peminat tegar dinosaur? Marilah singgah sebentar ke IJM Hill Park Seremban 2 di S2 Heights, Seremban, Negeri Sembilan. Taman ini dibina oleh pemaju projek perumahan S2 Heights, IJM Land untuk menggalakkan pengunjung yang datang amalkan gaya hidup sihat. Pemandangan seluruh bandar Seremban 2 dapat dilihat dari IJM Hillpark ini, jadi tempat ini sangat sesuai untuk anda dan keluarga menikmati pemandangan pada waktu senja apabila matahari mula beransur turun. Untuk makluman anda, pihak IJM Land tidak menyediakan parking kereta berdekatan dengan taman, maka anda harus berjalan lebih kurang 1 kilometer untuk sampai ke taman tersebut. Anda disarankan untuk memakai pakaian yang tidak terlalu tebal dan kasut yang bersesuaian seperti kasut sukan. Jangan lupa untuk membawa bekal air minuman dan makanan juga, bolehlah anda berkelah bersama anak-anak di sini.

Waktu yang disyorkan untuk anda datang ke IJM Hillpark adalah diantara 7am – 9am pada waktu pagi dan 5pm – 7pm pada waktu petang memandangkan cuaca tidaklah panas sangat pada waktu ini. Pelbagai jenis dinosaur yang berbeza spesies boleh didapati di IJM Hillpark antaranya adalah stegosaurus, triceratop, giganotosaurus, baryonyx, dan macam-macam lagi.

Alamat: S2 Heights, Seremban, Negeri Sembilan

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: 6.30am – 9.00pm setiap hari

Lokasi | Ulasan Pelancong 


10. Jeram Toi 

destinasi menarik di seremban

Tidak lengkaplah aktiviti percutian anda jika tidak menyinggah di Air Terjun Jeram Toi, Kuala Klawang! Air Terjun Jeram Toi terletak di Hutan Simpang Berembun, 28 kilometer dari Seremban dan 12 kilometer dari Pekan Kuala Klawang. Sesudah sahaja anda sampai di sini, tempat yang wajib anda kunjungi adalah Air Terjun 4 Tingkat (Sungai Batang Tol) yang merupakan tarikan utama di Jeram Toi. Bagi anda yang suka mendaki, laluan tracking ke Gunung Telapak Buruk juga ada di sini.

Lebih menarik lagi, terdapat tapak perkhemahan di Jeram Toi yang boleh memuatkan sehingga 50 orang peserta! Air Terjun Jeram Toi serba-serbi lengkap dengan kemudahan seperti tandas, surau, dan bilik persalinan untuk orang awam. Pengusaha gerai-gerai makanan juga ada di sini, jadi anda tidak perlulah risau apabila perut anda mula berkeroncong setelah puas bermandi-manda.

Alamat: 71600 Kuala Klawang, Negeri Sembilan

Bayaran Masuk: Percuma

Waktu Operasi: Sentiasa dibuka

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong


Kesimpulannya, ibu kota Negeri Sembilan ini menawarkan pelbagai tempat yang berbaloi untuk anda menghabiskan waktu hujung minggu anda. Rehatlah sebentar dari kesibukan pekerjaan harian anda, dan rebutlah peluang ini untuk terokai lebih banyak tempat menarik di tanah air sendiri. Anda tidak perlu bercuti sehingga ke luar negara untuk menikmati pengalaman di tempat baru, malah percutian ke luar negara memakan lebih banyak kos dan juga masa dari kehidupan anda. Kami berharap perkongsian artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu anda membuat keputusan tentang tempat yang akan ada lawati sesudah sahaja anda menjejakkan kaki di sini. Marilah kita bersama-sama merancakkan lagi industri perlancongan di negara Malaysia.

4.1/5 - (7 votes)

Anda Mungkin Berminat

Top 5 Kereta Sewa di Port Dickson & Seremban yg Terbaik

Adakah anda ingin melancong ke negeri Sembilan dan ingin mencari kereta sewa di Port Dickson dan Seremban yang best? Jika ya, anda berada di...

8 Homestay Terbaik di Seremban untuk Pilihan Anda!

Negeri Sembilan terkenal dengan tempat pelancongan yang cantik dan menarik. Bertambah seronok apabila negeri ini mempunyai pantai yang cantik dan makanan yang pelbagai. Ianya...

10 Penginapan Keluarga Terbaik di Seremban – Back to Nature!

Apabila merancang untuk mengadakan weekend getaway berkonsepkan alam semulajadi bersama keluarga, pasti anda akan terfikirkan destinasi-destinasi yang menjadi pilihan ramai seperti Janda Baik &...

10 Kafe ‘Instagrammable’ Di Seremban!

Pada masa kini, kafe moden sudah banyak terdapat di setiap tempat dan tidak susah untuk anda mencarinya. Kebiasaan menu-menu di kafe ini berbentuk seperti...

37+ Tempat Makan Best di Seremban Paling POPULAR untuk Pelancong

Seremban terkenal sebagai destinasi terbaik untuk seorang pelancong menerokai majoriti makanan kenegerian orang Negeri Sembilan. Sekiranya anda baru pertama kali nak bercuti di Seremban,...
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Hubungi Kami

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x