Kalau anda sedang merancang percutian bersama keluarga, itinerari 4H3M Kota Kinabalu & Kundasang ini boleh jadi pilihan menarik! Sepanjang empat hari tiga malam di sini, anda sekeluarga berpeluang menikmati suasana bandar Kota Kinabalu, menikmati keindahan alam semula jadi Kundasang serta merasai pengalaman budaya warisan Sabah yang menarik.
Tanpa membuang masa, jom lihat itinerari lengkap ini yang sangat sesuai untuk anda sekeluarga yang mahukan percutian yang penuh dengan pengalaman menyeronokkan di Sabah.
Itinerari 4H3M Kota Kinabalu & Kundasang Lengkap yang Penuh Pengalaman Menarik
Hari 1: Tiba dan Bersantai
Hari pertama dimulakan sebaik sahaja anda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Anda akan disambut sebelum meneruskan perjalanan ke pusat bandar Kota Kinabalu untuk daftar masuk hotel.

Selepas selesai urusan daftar masuk, anda tidak perlu terus fikir tentang aktiviti yang padat. Ambil masa untuk berehat di bilik, mandi, tidur seketika atau sekadar bersantai sambil menikmati suasana hotel.

Jadual hari pertama memang sengaja dibuat lebih lapang supaya anda boleh memulihkan tenaga selepas penerbangan tanpa perlu tergesa-gesa.
Sepanjang berada di hotel, anda juga boleh melakukan beberapa aktiviti santai mengikut keselesaan sendiri.

Luangkan masa duduk bersantai di ruang lounge, menikmati minuman panas, membaca buku atau berbual bersama keluarga. Boleh juga manfaatkan kemudahan yang disediakan pihak hotel untuk mengisi masa lapang anda dengan aktiviti yang ringan.

Selepas badan terasa lebih segar, anda boleh berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel atau pusat bandar untuk mula mengenali suasana Kota Kinabalu.

Tak perlu aktiviti yang terlalu berat, sekadar menikmati pemandangan, mencari kedai makan tempatan untuk mencuba hidangan tradisi Sabah seperti Hinava, Ambuyat dan Mee Tuaran pun sudah cukup untuk melengkapkan hari pertama anda di sini.


Hari pertama di sini adalah masa terbaik untuk anda menikmati percutian dengan lebih santai sebelum jadual lawatan yang lebih menarik bermula pada hari berikutnya.
Ringkas Aktiviti Hari Pertama:
- Ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
- Bertemu dan beramah mesra semasa ketibaan
- Penghantaran ke bandar Kota Kinabalu
- Daftar masuk hotel
- Bebas & santai
- Pelan Makanan: Tanggungan sendiri
Hari 2: Jelajah Alam Semula Jadi
Hari kedua menjadi antara kemuncak perjalanan apabila anda sekeluarga akan bertolak seawal 7:30 pagi menuju ke Kundasang. Selepas sarapan, pemandu pelancong akan menjemput anda di lobi hotel untuk menerokai tempat-tempat menarik di Kundasang. Sepanjang perjalanan, anda boleh menikmati pemandangan kampung, bukit-bukau dan kehijauan alam Sabah sebelum singgah sebentar di Pasar Nabalu.

Pasar Nabalu merupakan lokasi persinggahan yang sesuai untuk anda membeli buah-buahan tempatan, makanan ringan serta cenderahati seperti kraf tangan, pakaian dan barangan tempatan. Harga barangan di sini juga agak berpatutan, jadi bolehlah anda sekeluarga meluangkan sedikit masa untuk melihat-lihat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Setelah puas meneroka Pasar Nabalu, perjalanan anda sekeluarga kemudiannya akan diteruskan ke Taman Kinabalu, sebuah kawasan yang terkenal dengan suasana sejuk, penuh kehijauan dengan pemandangan alam semula jadi yang sangat-sangat memukau.

Sebagai tapak warisan dunia, kawasan ini menawarkan anda pengalaman yang sangat dekat dengan alam, termasuk laluan hutan dan taman botani yang kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna. Jika anda sekeluarga gemarkan suasana tenang dan udara segar, tempat ini memang sesuai untuk menikmati keindahan Sabah.

Seterusnya, anda akan meneroka Canopy Walk, iaitu laluan jambatan gantung yang dibina tinggi di antara pokok-pokok hutan.

Berjalan di atas papan kayu sambil dikelilingi kehijauan hutan akan memberikan anda pengalaman yang cukup menarik dan sedikit mendebarkan. Bagi yang sukakan aktiviti santai tetapi mencabar, inilah antara tarikan yang tidak patut anda lepaskan.

Selepas itu, anda sekeluarga akan singgah pula di Poring Hot Spring untuk menikmati suasana lebih santai.

Kolam air panas semula jadi yang dikelilingi hutan hujan menjadikannya tempat yang sesuai untuk anda berehat dan melegakan badan selepas aktiviti berjalan kaki.

Anda juga boleh menikmati suasana alam sekitar yang nyaman sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi menarik seterusnya.
Selepas makan tengah hari di restoran tempatan, perjalanan diteruskan ke Desa Cattle Farm. Kawasan ladang yang luas, menghijau dan berlatarbelakangkan pergunungan. Suasananya yang memukau ini akan membuatkan anda terasa seakan-akan berada di New Zealand.
Bukan sahaja melihat pemandangan indah, di sini juga anda berpeluang melihat haiwan dari dekat, mencuba aktiviti memberi makan serta menikmati produk tenusu segar yang dijual di sini.

Ditambah dengan cuaca yang sejuk, pastinya menambahkan lagi keseronokan anda sekeluarga ketika berada di ladang ini.
Sebelum kembali ke hotel, anda sekeluarga berpeluang untuk singgah di Pasar Kundasang, sebuah pasar desa yang terletak di kaki Gunung Kinabalu.

Di sini, pelbagai gerai menjual buah-buahan, sayur-sayuran, makanan ringan tempatan, bunga dan tumbuhan hiasan seperti kaktus.


Suasananya lebih santai dan meriah, malah anda boleh bersembang mesra dengan penjual sambil mencari buah tangan untuk dibawa pulang.
Selepas seharian meneroka Kundasang, waktu terluang anda sekeluarga pada waktu petang boleh digunakan untuk berehat dan bersantai di hotel. Hari kedua yang dipenuhi pemandangan alam, udara sejuk dan pengalaman menarik ini pastinya menjadi antara kenangan paling manis anda sekeluarga sepanjang percutian di Sabah.
Ringkasan Aktiviti Hari Kedua:
- Sarapan Pagi
- 7:30 pagi: Jemput dari lobi hotel
- Bertolak ke Kundasang (±2 jam perjalanan)
- Lawatan ke Pasar Nabalu
- Canopy Walk + Poring Hot Spring
- Makan tengah hari di restoran tempatan (perbelanjaan sendiri)
- Lawatan ke Desa Cattle Farm
- Lawatan ke Pasar Kundasang
- Kembali ke hotel
- Masa bebas & santai
- Pelan Makanan: Sarapan
Hari 3: Kereta Api Warisan dan Bandar
Hari ketiga membawa anda menikmati pengalaman yang sedikit berbeza menerusi Cultural & Historical Papar Train Tour. Selepas sarapan pagi di hotel, anda akan dijemput sekitar pukul 6:30 pagi untuk menuju ke Stesen Kereta Api Tanjung Aru.

Bersedia untuk menaiki kereta api warisan yang menawarkan anda sekeluarga perjalanan santai sambil menikmati pemandangan menarik.
Perjalanan bermula dari Stesen Kereta Api Tanjung Aru, salah satu lokasi penting dalam laluan kereta api Sabah. Sekitar pukul 7:15 pagi, anda akan menaiki kereta api dengan tempat duduk bebas bersama pemandu warisan.

Laluan sepanjang kira-kira 36 batu ini menghubungkan Kota Kinabalu dengan Papar, sambil menyajikan anda sekeluarga pemandangan hijau, kampung-kampung kecil dan rumah tradisional yang memberikan gambaran suasana desa Borneo.

Sekitar jam 8:40 pagi, anda sekeluarga akan tiba di Stesen Papar dan disambut dengan persembahan muzik tradisional serta pengalaman budaya tempatan. Papar merupakan sebuah bandar kecil yang terkenal dengan suasana tenang dan kehidupan masyarakat tempatan yang masih dekat dengan budaya serta tradisi Sabah. Di sini, anda sekeluarga boleh berjalan-jalan sambil melihat suasana bandar yang lebih santai dan jauh berbeza daripada kesibukan yang anda lihat di Kota Kinabalu.
Jika lawatan anda ke Papar berlangsung pada hari Khamis, jangan lepaskan peluang singgah ke Tamu Market. Pasar tempatan ini meriah dengan pelbagai hasil kampung, makanan dan produk tempatan. Inilah masa yang sesuai untuk anda sekeluarga melihat sendiri kehidupan harian masyarakat setempat, sambil membeli buah-buahan atau hasil tempatan serta mencuba sesuatu yang baharu di sini.

Seterusnya, anda sekeluarga akan meneruskan perjalanan dengan Heritage Walk untuk mengenali Papar dengan lebih dekat. Sambil berjalan, anda boleh menikmati suasana bandar kecil, melihat bangunan dan persekitaran tempatan serta mendengar kisah sejarah yang dikongsikan oleh pemandu. Selepas berjalan-jalan, anda akan menikmati makan tengah hari ringkas di kedai kopi tempatan sebelum mempunyai sedikit masa bebas.
Sekitar pukul 11:45 pagi, kereta api akan bertolak pulang ke Tanjung Aru dan dijangka tiba sekitar pukul 1:10 tengah hari. Selepas bertemu pemandu, perjalanan diteruskan dengan perkhidmatan kereta sewa selama enam jam untuk meneroka Kota Kinabalu mengikut masa dan minat anda.
Petang anda boleh diisi pula dengan aktiviti santai seperti membeli-belah di Gaya Street atau Pasar Filipina.

Gaya Street sangat terkenal dengan pelbagai barangan tempatan, kraftangan dan cenderahati yang sesuai dibawa pulang sebagai kenangan dari Sabah. Sementara itu, Pasar Filipina pula menawarkan pilihan cenderahati seperti magnet, hadiah, fabrik bercorak batik dan pelbagai barangan tempatan. Jangan lupa pula untuk cuba tawar-menawar, mana tahu dapat harga yang jauh lebih murah!
Selepas puas berjalan-jalan dan membeli-belah, anda boleh menikmati makan malam sebelum kembali ke hotel sekitar pukul 7:00 malam. Aktiviti pada hari ketiga ini memang sangat sesuai untuk anda menikmati Sabah bukan sahaja dari sudut pemandangan, tetapi juga melalui sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat tempatan.
Ringkasan Aktiviti Hari Ketiga:
- Sarapan pagi di hotel
- 6:30 pagi Jemputan untuk menyertai Lawatan Budaya & Sejarah dengan Kereta Api Papar
- Penghantaran ke Stesen Kereta Api Tanjung Aru
- 7:15 pagi Bersedia di Stesen Tanjung Aru
- Naik kereta api (tempat duduk bebas) bersama pemandu warisan
- 8:40 pagi Tiba di Stesen Papar
- Disambut dengan persembahan muzik tradisional dan pengalaman budaya
- Lawatan ke Tamu (pasar tempatan – hari Khamis sahaja)
- Meneruskan Heritage Walk
- Menikmati makan tengah hari ringkas di kedai kopi tempatan
- Masa bebas untuk membeli-belah sendiri
- 11:45 pagi Naik kereta api pulang ke Tanjung Aru
- 1:10 tengah hari Tiba di Stesen Tanjung Aru
- Bertemu dengan pemandu
- Nikmati perkhidmatan kereta sewa selama 6 jam
- Meneroka bandar Kota Kinabalu & membeli-belah di Gaya Street atau Pasar Filipina
- Makan malam atas perbelanjaan sendiri
- 7:00 malam Kembali ke hotel
- Pelan Makanan: Sarapan, Makan Tengah Hari
Hari 4: Masa Bebas dan Pulang
Setelah tiga hari perjalanan, aktiviti hari terakhir jauh lebih ringkas dan sesuai untuk anda sekeluarga menikmati pagi dengan tenang. Selepas sarapan, anda akan daftar keluar dari hotel dan mempunyai sedikit masa bebas untuk bersantai sebelum bertolak ke lapangan terbang.
Dengan jadual yang tidak terlalu padat pada hari terakhir, anda sekeluarga boleh menggunakan masa yang ada untuk berehat, mengemas barang dan membuat persediaan sebelum daftar masuk penerbangan. Selepas dihantar ke lapangan terbang, berakhirlah perjalanan empat hari tiga malam anda sekeluarga di Sabah.
Ringkasan Aktiviti Hari Keempat:
- Sarapan pagi di hotel
- Daftar keluar
- Bebas & santai
- Penghantaran ke lapangan terbang
- Daftar masuk penerbangan
- Tamat lawatan
- Pelan Makanan: Sarapan
Itinerari santai 4H3M Kota Kinabalu & Kundasang untuk percutian keluarga ini menawarkan anda pengalaman penuh makna di setiap tempat yang diterokai. Anda sekeluarga boleh menghayati keindahan Kota Kinabalu & panorama mengagumkan di Kundasang dengan santai dan tenang.
Bagi memudahkan serta melancarkan lagi percutian anda sekeluarga tanpa ada gangguan dan membuang waktu mengatur perjalanan, anda boleh semak pakej-pakej percutian menarik yang sangat berbaloi dan menyeronokkan di SINI!
Dengan adanya itinerari santai 4H3M Kota Kinabalu & Kundasang yang lengkap ini, percutian anda sekeluarga akan penuh dengan moment bahagia. Selamat bercuti!
Baca juga: 15+ Tempat Menarik di Kota Kinabalu – Panduan Bercuti di KK