Utama Destinasi Menarik Malaysia Destinasi Menarik Perak Meneroka Gua Tempurung: Keajaiban Semula Jadi di Perak

Meneroka Gua Tempurung: Keajaiban Semula Jadi di Perak

0
1093
gua tempurung
Kredit gambar: Instagram @xklotrien

Gua Tempurung, terletak di Gopeng, negeri Perak, adalah antara gua terbesar dan paling menakjubkan di Malaysia. Dengan keluasan yang mencapai 1,600 meter, gua ini menjadi tempat kegemaran para pelancong yang mencari pengalaman unik di dalam keajaiban alam semulajadi. Jika anda seorang yang sukakan cabaran dan pengembaraan yang lasak, Gua Tempurung adalah pilihan yang tepat!

Gua Tempurung yang merupakan sebuah gua dengan panjangnya meliputi 1.2 km terletak di Gunung Tempurung, iaitu sebuah bukit batu kapur di Lembah Kinta Perak, Malaysia, cukup dikenali kerana mempunyai keajaiban geologi yang menawan. Bukan sahaja disebabkan kecantikan dan keunikan yang membuatkan gua ini dikenali ramai, tetapi ia juga turut mempunyai sejarah pembangunan yang menarik yang sangat berkait rapat dengan evolusi landskap Lembah Kinta.

Bagi anda yang sememangnya sangat gemar dengan aktiviti meneroka gua, tidak dinafikan penerokaan gua adalah aktiviti yang menarik dan bermanfaat, tetapi sentiasa ingat untuk mendekatinya dengan mempertimbangkan soal keselamatan. Dengan mengikuti garis panduan yang turut kami sediakan dalam perkongsian ini, diharapkan anda dapat bersedia dengan baik, dan boleh menikmati keajaiban gua sambil meminimumkan risiko. Ingat, selain menikmati keunikan gua, keselamatan juga perlu menjadi keutamaan anda semasa setiap pengembaraan yang dilakukan.

Untuk mengetahui dengan lebih dekat dengan keajaiban alam yang penuh misteri ini dan bagaimana cara untuk anda menerokanya, teruskan membaca!

Mengenali Sejarah Gua Tempurung dengan Lebih Dekat


pemandangan gua tempurung

Selain menjadi mercu tumpuan alam semulajadi, Gua Tempurung juga mempunyai nilai sejarah yang penting dalam perkembangan Malaysia. Jika anda nak tahu, pada zaman penjajahan komunis di Malaysia dahulu, gua ini digunakan sebagai tempat persembunyian oleh komunis bermula dari tahun 1950 sehinggalah pada tahun 1960. Disebabkan sejarah ini juga, ia berjaya memikat penyelidik dan pengkaji sejarah dan juga menarik minat ramai pengembara untuk menikmati misteri-misteri yang tersembunyi di dalamnya.

Bahkan, setelah sekian lama menjadi tempat persembunyian, pada tahun 1970, Gua Tempurung kemudiannya mengalami transformasi apabila ia dibangukan untuk dijadikan sebagai lombong bijih timah. Lombong yang dibina ini akhirnya menjadi penanda sejarah perubahan Malaysia terutama dari aspek ekonomi, di mana ia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri negara.

Lokasi dan Pembentukan

Bagaimana Gua Tempurung boleh terbentuk? Kalau anda nak tahu, Gua Tempurung adalah gua batu kapur terbesar yang terletak di dalam Gunung Tempurung, yang merupakan jisim batu kapur yang mempunyai permukaan terbesar di Lembah Kinta. Ia terbentuk oleh aliran air yang berterusan dari timur, yang berasal dari kawasan granit dan berliku-liku yang dibentuk oleh Sungai Tempurung, iaitu sungai yang mengalir ke arah barat dari bukit granit utama dan mengukir jalan melalui gua. Anda boleh lihat aliran sungai yang jernih ini apabila memasuki Gua yang cukup indah ini.

Sungai bawah tanah ini secara konsisten memberi air ke dalam gua, menyumbang kepada pembentukannya dari masa ke masa. Dimensi gua, yang merangkumi panjang 1.2 km, termasuk pintu masuk timur yang terletak kira-kira 4 m di bawah paras tanah dan saluran keluar barat pada kira-kira 40 m di atas paras laut purata, menghasilkan garis lurus di dalamnya.

Pintu Masuk dan Keluar Gua

Pintu masuk ke gua tempurung berada di sebelah timur, menghadap Lebuhraya Utara-Selatan. Lantai pintu masuk adalah kira-kira 4 meter di bawah paras tanah, manakala ketinggian bumbung gua ini pula melonjak ke sekitar 7 meter. Manakala untuk pintu keluar, ia terletak di sebelah barat, dan mempunyai bumbung yang miring dan tajam yang mencapai ketinggian sehingga 17 meter. Struktur sistem gua ini membolehkan pengunjung meneroka biliknya dengan mudah, dengan kemudahan yang disediakan iaitu tangga dan sistem pencahayaan yang dipasang.

Bilik Gua

Gua Tempurung adalah sistem gua berbilang bilik, masing-masing dengan ciri dan formasi uniknya. Anda akan menjumpai bilik-bilik gua menunjukkan lengkung berbentuk busur yang mengarah ke utara, dengan jalan lurus dari pintu masuk di bahagian timur ke pintu keluar di bahagian barat.

Bilik-bilik yang terkenal ini dikenali sebagai “Gergasi Chambers”, “Alam Cavern”, dan “Fallen Warriors”, yang telah memperoleh nama-nama ini dari penjelajah terdahulu membolehkan anda untuk menyaksikan speleothems yang indah dan keajaiban geologi.

Evolusi Asal dan Landskap

Asal Gua Tempurung dipercayai dikaitkan dengan pembangunan landskap Lembah Kinta. Kajian menunjukkan  bahawa pembentukan gua mungkin bermula lebih dari satu juta tahun yang lalu ketika ia masih disambungkan ke jisim granit berdekatan dengan pengikis, kakisan pemeluwapan, dan keruntuhan batu telah memainkan peranan penting dalam membentuk ciri-ciri unik gua.

Sistem Gua dengan Lima Kubah Unik


keunikan gua tempurung

Sistem gua ini mempunyai lima kubah yang luar biasa, masing-masing dengan daya unik serta tarikan tersendiri. Jom selami ruang-ruang yang memukau ini:

1. Golden Flowstone Cavern

Pada ketinggian 90 meter yang menjulang tinggi, Golden Flowstone Cavern mempunyai formasi batuan yang menakjubkan yang akan berkilauan seperti emas apabila air sungai mengalir.

2. Gergasi (Giant) Cavern

Anda akan menyaksikan pemandangan yang menakjubkan sebaik sahaja melangkah ke Gergasi (Giant) Cavern dengan keunikan tiang besar yang mencapai ketinggian sehingga 15 meter, mendominasi ruang gua ini. Tiang-tiang besar ini adalah bukti keajaiban semula jadi yang tersembunyi di dalam Gua Tempurung yang unik ini.

3. Tin Mine Cavern

Di sini, anda dapat menyaksikan sisa-sisa perlombongan timah yang ditinggalkan oleh pelombong awal yang dapat membari gambaran menarik ke masa lalu, dan memberikan peringatan mengenai warisan perlombongan yang kaya yang pernah wujud di kawasan ini.

4. Alam (Universe) Cavern

Dengan ketinggian mencecah 72 meter, Universe Cavern menawarkan pengalaman yang mengagumkan, menyerupai katedral. Keluasan gua ini benar-benar menakjubkan dengan panorama yang menarik, menjadikannya destinasi yang mesti dikunjungi oleh anda.

5. Battlefield Cavern

Di Battlefield Cavern, anda akan menemui stalaktit yang jatuh dan formasi batu yang tersebar meluas. Anda boleh perhatikan pembentukan batu “Fallen Warrior” yang luar biasa yang merupakan keajaiban alam semula jadi yang sebenar.

Kemudahan yang Disediakan di Gua Tempurung


Jika anda datang berkunjung ke Gua Tempurung, anda akan dapat merasai keselesaan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri Perak sebagai salah satu usaha untuk pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan ini bagi menjadikannya kelihatan lebih menarik dan mesra pelancong. Kedatangan anda di sini akan dihidangkan dengan sistem lampu yang canggih, tangga dan titi yang memudahkan pergerakan anda di dalam gua serta kemudahan lain yang turut disediakan seperti tandas dan tempat rehat untuk kegunaan anda.

Bagi anda yang sangat gemar melakukan aktiviti lasak selain aktiviti meneroka gua, di sini juga turut membolehkan anda merasai pengalaman unik iaitu meredah sungai di dalam gua. Kami yakin, dengan semua kemudahan dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini, pengembaraan ini pastinya akan menguji keberanian anda dan memberikan kenangan yang sukar untuk anda lupakan.

Waktu Operasi


Berikut merupakan waktu operasi untuk pengembaraan Gua Tempurung iaitu:

Lawatan kering: 9:00 pagi – 4:00 petang

  • Tiada min pax
  • Tiada Lawatan Berpandu (None guided)

Lawatan Basah: 9:00 pagi – 10.30 pagi (memerlukan slot tempahan)

  • Tour 3 – Minimum 10 Orang Dewasa
  • Tour 4 – Minimum 5 Orang Dewasa
  • Lawatan Berpandu (Guided)

Harga Tiket Masuk


Berikut merupakan bayaran tiket masuk yang perlu anda bayar mengikut kategori seperti yang dilampirkan di bawah iaitu:

Tour 1: Laluan kering sehingga Platform 3 Golden Flowtone

tour 1 platform 3 golden flowtone

Untuk Tour 1, anda akan dibawa memasuki gua melalui laluan kering yang mudah dan sepanjang laluan ini anda akan melihat pelbagai rupa bentuk gua yang sangat menarik dan penuh unik sehingga sampai ke Platform 3 sahaja. Anda akan menggunakan laluan konkrit dan juga perlu menaiki tangga besi untuk mendaki gua yang mempunyai permukaan tinggi dengan melalui ruang pameran gua sejauh 300 meter pergi dan balik.

Tour 2: Laluan kering sehingga Platform 5 Top of The World

tour 2 platform 5 top of the world

Untuk Tour 2 pula, perjalanan pergi dan balik mengambil jarak sejauh 600 meter. Melalui pakej ini, anda tidak akan disertakan dengan pemandu pelancong dan tiada had umur ditetapkan untuk meneroka gua melalui pakej ini. Waktu perjalanan yang diambil untuk menghabiskan jarak perjalanan ini pula lebih kurang satu jam. Jadi, dinasihatkan anda untuk sediakan sedikit makanan dan minuman sebagai pelapik perut ketika meneroka.

Tour 3: Laluan basah untuk Short River Adventure

tour 3 short river adventure gua tempurung

Berbeza dengan Tour 1 dan Tour 2, untuk pakej Tour 3 ini, anda perlu berjalan sepanjang 2.4km selama 2 jam. Jadi pastikan diri anda benar-benar mampu dan bersedia untuk melakukannya. Perlu diingat juga, untuk Tour 3, hanya peserta berumur 10 tahun ke atas sahaja dibenarkan untuk menyertainya. Selain itu, anda perlu membawa kelengkapan untuk memasuki gua seperti yang kami kongsikan dalam artikel ini di bahagian panduan keselamatan.

Menariknya Tour 3 ini, pelbagai aktiviti bakal anda lakukan sepanjang meneroka gua seperti meluncur, merangkak dan perlu meredah air sungai. Di sini, anda sudah boleh mula menguji keupayaan dan kecekalan anda untuk melakukannya dan kami pasti anda pasti boleh menyahut cabaran ini!

Tour 4: Laluan basah untuk Grand Tour

tour 4 grand tour gua tempurung

Yang terakhir sekali adalah Tour 4. Kalau sudah yang terakhir pastinya yang paling mencabar bukan? Melalui pakej ini, anda akan menyelusuri perjalanan sepanjang 3.8km dengan mengambil masa selama 4jam atau lebih. Sediakan semua kelengkapan gua seperti helmet, lampu suluh, makanan dan minuman serta lain-lain lagi yang dirasakan penting untuk anda menempuh perjalanan jauh lagi mencabar ini!

Cara ke Gua Tempurung


rupa bentuk gua tempurung

Bagi anda yang ingin melawat Gua Tempurung, terdapat beberapa pilihan laluan yang boleh digunakan untuk anda datang ke sini. Terdapat dua pilihan laluan sama ada anda mengambil Lebuh raya Utara Selatan atau pun menggunakan jalan Persekutuan, semua itu bergantung kepada lokasi asal anda sedang berada.

Untuk pilihan laluan menggunakan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), anda perlu masuk ke susur keluar Plaza Tol Gopeng untuk datang ke gua ini. Setelah itu, pastikan anda membelok ke kiri dan teruskan pemanduan anda dengan jarak perjalanan lebih kurang 2 km sehinggalah anda menemui laluan untuk sampai ke Gua Tempurung yang terletak di sebelah kiri.

Untuk ke sini, anda boleh menaiki mana-mana pengangkutan sama ada bas, kereta, motosikal dan lain-lain lagi tanpa perlu risau kerana jalan di sini mempunyai akses laluan mudah untuk semua jenis kenderaan.

Peta Lokasi

Panduan Keselamatan Sebelum Mula Meneroka


Penerokaan gua adalah pengembaraan yang mendebarkan, tetapi ia juga boleh berisiko. Gua datang dengan cabaran dan bahaya unik yang tidak anda sangka-sangkakan. Untuk memastikan pengalaman anda sentiasa dalam keadaan selamat dan menyeronokkan, penyediaan keselamatan yang betul adalah penting.

Berikut adalah panduan ringkas untuk penerokaan gua yang selamat perlu anda titikberatkan iaitu:

1. Pergi dengan Kumpulan

Adalah lebih selamat untuk meneroka gua secara berkumpulan sekurang-kurangnya empat orang dan tidak lebih daripada lapan orang. Ingat, kanak-kanak tidak boleh memasuki gua tanpa pengawasan orang dewasa.

2. Maklumkan Orang Lain Rancangan Anda

Sebelum anda menuju ke dalam gua, pastikan seseorang di luar kumpulan anda mengetahui rancangan penerokaan anda. Maklumkan kepada keluarga dan rakan mengenai keberangkatan anda dan bila anda akan kembali. Langkah berjaga-jaga ini memastikan bahawa seseorang dapat memberi amaran kepada pihak berkuasa jika anda tidak kembali seperti yang dijadualkan.

3. Penyelidikan Gua

Walaupun sebahagian daripada keseronokan penerokaan gua adalah rasa penemuan, adalah penting untuk menyelidik gua terlebih dahulu. Memahami ciri unik gua dan potensi bahaya boleh membantu anda membuat persediaan yang lebih baik.

4. Peralatan Penting

Apabila bersiap sedia untuk penerokaan gua, pertimbangkan peralatan berikut yang disyorkan iaitu:

  • Helmet: Topi keledar yang kukuh dengan tali dagu adalah suatu keharusan. Sumber cahaya utama anda harus dipasang di atas untuk memastikan tangan anda bebas bergerak.
  • Lampu tambahan: Bawa sekurang-kurangnya dua sumber cahaya tambahan, sebaik-baiknya lampu suluh kalis air. Penyimpanan lampu tambahan ini adalah penting dalam kes kegagalan cahaya utama.
  • Sarung tangan: Lindungi tangan anda daripada luka dan calar dengan sarung tangan.
  • Pad lutut dan siku: Gua selalunya melibatkan aktiviti merangkak melalui ruang yang sempit, jadi pad ini boleh menjadi penyelamat untuk keselesaan dan perlindungan.
  • Pek gua: Gunakan pek fanny yang kukuh atau beg galas tentera lama untuk membawa peralatan tambahan, seperti air, makanan, bateri, beg plastik dan keperluan lain.
  • Makanan dan air: Pek padat, makanan bertenaga tinggi seperti bar kuasa. Pastikan anda mempunyai air yang mencukupi dan bekalan tambahan sekiranya penerokaan anda mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan atau jika anda tersesat.

Untuk meneroka destinasi popular ini, dapatkan maklumat di bawah!

Ulasan Destinasi


Gua Tempurung adalah destinasi yang menakjubkan di negeri Perak yang menggabungkan keindahan alam semulajadi dengan sejarah yang kaya. Anda tidak hanya dapat mengeksplorasi keajaiban bawah tanah yang menakjubkan, tetapi juga merasai sendiri jejak sejarah yang mempengaruhi Malaysia. Dengan kemudahan yang disediakan dan panduan arah yang jelas, lawatan ke Gua Tempurung adalah pengalaman yang memuaskan untuk semua jenis pengunjung. Jom terokai keunikan gua ini dan saksikan sendiri keajaiban alam Perak yang menakjubkan ini.

5/5 - (4 votes)
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x