Tempat Menarik di Bukit Fraser – Destinasi Pilihan Pelancong

Kalau nak dibandingkan dengan kawasan peranginan berbukit lain seperti di Cameron Highland, memang tak dinafikan di Fraser’s Hill ini memang lebih kecil dan pilihan aktivitinya terhad, namun kalau anda nakkan percutian yang lebih privasi dan bertujuan nak ‘relaks’kan minda, sememangnya Bukit Fraser satu persinggahan percutian yang wajib anda cuba. Malah ada beberapa aktiviti di tempat menarik di Bukit Fraser yang TIADA di Cameron Highland mahupun di Genting Highland.


Bukit Fraser ni boleh dikatakan destinasi peranginan yang ‘santai’ dan berbukit yang terletak Banjaran Titiwangsa, Pahang dan suhunya di sini memang sejuk sekitar 17 darjah celsius. Memang sesuai juga sebagai destinasi berbulan madu. Memandangkan Bukit Fraser ini diberi nama sempena nama pengembara Bristish iaitu Louis James Fraser maka kebanyakan bangunan di Bukit Fraser dibina mengikut pengaruh kolonial era British dan Bukit Fraser juga dikenali dengan jolokan nama ‘The Little England of Malaysia’.



1. The Paddock Fraser Hill – 2 aktiviti di tempat menarik di Bukit Fraser yang tiada di Cameron Highland

senarai tempat menarik di bukit fraserDua aktiviti menarik di Bukit Fraser yang tiada di kawasan peranginan berbukit yang lain ialah berkuda dan memanah. Memang lain pengalaman memanah dan berkuda di kawasan yang sejuk.

Malah harga nak melakukan dua aktiviti ini pun murah dan berbaloi sekiranya anda nak mencuba.

  • Aktiviti Berkuda – satu pusingan RM 5 untuk dewasa dan RM 4 untuk kanak-kanak. Pusingan ini adalah di dalam bulatan gelanggang kecil yang sepanjang dalam 100 meter. Pergerakan anda dengan kuda akan sentiasa diawasi dan diiringi oleh staff yang bertugas.
  • Aktiviti Memanah – RM 8 untuk 10 anak panah.

2. Bird Interpretative Centre Fraser’s Hill

apa menarik di bukit fraserDi sinilah tempat atau ‘one stop centre’ untuk mendapatkan informasi berkenaan burung-burung liar yang ada di Bukit Fraser sebelum masuk ke dalam hutan.

Di sini juga ada galeri atau muzium kecil yang menempatkan informasi berkenaan burung seperti gambar, maklumat saintifik burung, rangka burung-burung, telur burung dan sebagainya.

Bukit Fraser memang cukup sinonim sebagai kawasan memerhati burung burung yang paling menarik di Malaysia dan sering menjadi tuan rumah acara tahunan Pertandingan Memerhati Burung Antarabangsa Bukit Fraser.

Jom Baca: Senarai Padat Tempat Menarik di Pahang


3. Allen’s Water

tempat menarik di fraser hillSatu-satunya tempat menarik di Bukit Fraser untuk aktiviti sukan air iaitu bermain paddling boat di tasik. Kadar sewaannya juga murah iaitu:

  • RM 6 untuk setiap 15 minit

Lokasinya hanya bersebelahan Taman Flora Bukit Fraser dan kalau nak tahu pada asalnya Allen’s Water ini merupakan kawasan tadahan air yang dibina bagi membekalkan air kepada masyarakat Inggeris yang pernah tinggal di sini.

Sesuai datang ke sini dengan anak-anak dan anda berpeluang memberi ikan makan dari atas paddling boat. Pasti akan membuat anak-anak teruja melihat kocakan air tasik dan ikan-ikan yang cantik berebut-rebut makanan.


4. Taman Flora Bukit Fraser (Fraser’s Hill Garden Center)

apa yang best di fraser hillSeperti juga di Cameron Highland, di sini juga ada menempatkan kebun strawberi yang terletak di dalam Taman Flora Bukit Fraser. Pelawat boleh membeli buah strawberi dalam kuantiti yang terhad. Di sini juga ada tanaman sayuran lain seperti kubis, keledek, kentang dan juga tomato.

Tanaman seperti pokok bunga ada di dalam sebuah rumah hijau yang agak besar manakala pokok sayuran ditanam dikawasan yang lebih terbuka dan berpagar. Taman ini dibuka setiap hari daripada pagi sampai ke petang dan kemasukan adalah percuma.

Di pintu masuk juga terletak sebuah kedai/kiosk yang menjadi tumpuan orang tempatan membeli sayur-sayuran seperti kentang, keledak, kubis, buah labu dan sebagainya.

Satu-satunya tempat menarik di Bukit Fraser untuk dilawati sekiranya anda nak membeli pokok bunga atau buah strawberi.


5. The Sport Complex

main golf di fraser hillKompleks sukan indoor yang hanya terletak berhadapan dengan bulatan jam di Bukit Fraser. Di sini terdapat kemudahan seperti court squash, gym, meja snooker, sauna dan juga sebuah cafe (Mimi Strawberi) dengan pemandangannya yang mengadap lapangan sukan golf.

Di sini juga terdapat kawasan pagar berbunga yang menjadi port terbaik untuk sesi photoshoot.

 


6. Kelab Golf DiRaja Bukti Fraser

bercuti ke bukit fraserBagi kaki kayu golf, jangan lepaskan peluang untuk bermain golf di The Royal Fraser’s Hill Golf Club ( Kelab Golf DiRaja Bukti Fraser) yang merupakan salah satu destinasi lapangan golf yang tertua di Malaysia.

Lapangan 9 lubang berjalan kaki ini mungkin agak kecil, namun terdapat beberapa bahagian yang agak mencabar untuk mereka yang masih baru dalam dunia golf.

Seperti juga bermain golf di Cameron Highland, bermain di sini juga agak mencabar dari segi suhu. Dan kerana lapangan golf ini terletak di puncak Bukit Fraser, maka suhunya lebih sejuk dan lebih mencabar.

Kaunter untuk sesi golf hanya terletak di dalam Sport Complex berhampiran dengan bulatan jam. Selesai bermain golf jangan lupa untuk santai sembang bersama rakan-rakan di cafe di sini yang mempunyai pemandangan lapangan golf yang sangat cantik.

Sekiranya anda nak lapangan golf yang lebih banyak lubang, boleh mencuba di Fraser’s Hill Golf & Country Club yang mempunyai 18 lubang.


7. Air Terjun Jeriau

air terjun jeriau fraser hillTerletak kira-kira 4 km daripada pekan Bukit Fraser dan kena melalui jalan yang agak curam dan sempit ke sini menerusi Jalan Semantan. Memandangkan jalannya memang kecil dan muat hanya untuk satu kenderaan untuk satu-satu masa, jadi dinasihatkan untuk berhati-hati.

Kadang-kadang kalau berselisih anda kena ke ruangan tepi jalan yang lebih besar yang terdapat di selekoh-selekoh. Di penghujung jalan ini anda akan berjumpa dengan tempat letak kereta dan pintu masuk ke Air Terjun Jeriau.

Denai jalan ke Air Terjun Jeriau juga luas dan tersusun dengan kemudahan seperti bangku dan gazebo yang tersedia untuk pengunjung bersantai. Di sini juga terdapat sebuah playground yang kecil untuk kanak-kanak.


8. Taman Awam

Taman rekreasi yang popular di Bukit Fraser untuk aktiviti riadah bersama keluarga di hujung minggu. Di sini terdapat sebuah taman permainan (playground) yang sesuai untuk kanak-kanak dan kemudahan bersantai lain seperti gazebo juga tersedia.


Tempat menarik lain di sepanjang perjalanan ke Bukit Fraser

Sekiranya anda mempunyai lebihan masa, ada beberapa tarikan yang menarik di sepanjang jalan menuju ke Bukit Fraser (melalui Batang Kali/Kubu Bharu) seperti:

Santuari Ikan Sungai Chiling – Juga dikenali sebagai Air Terjun Sungai Chiling dan dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dari pintu masuk anda kena jalan kaki dalam 500 meter ke kawasan lapang berpadang/tapak perkhemahan. Setiap pelawat dikenakan bayaran RM 1 dan RM 3 seorang kalau nak berkhemah.

Empangan Kuala Kubu Bharu – Juga dikenali sebagai Empangan Sungai Selangor. Daripada pekan Kuala Kubu Baru menuju ke Bukit Fraser anda akan menemui empangan Kuala Kubu Baru. Tujuan empangan ini adalah sebagai bekalan air rawat kepada SYABAS. Tasik yang cantik ini juga merupakan ‘port’ terbaik di mana anda boleh melihat pemandangan matahari terbenam yang indah.

Kem Bina Semangat Ampang Pechah – salah satu kem bina semangat di Kuala Kubu Baru. Banyak kemudahan untuk aktiviti outdoor di sini sesuai untuk adakan kem bina semangat seperti jaccob ladder dan travelling walk yang setinggi 40 meter. Memang gayat melalui titian tangga setinggi 40 m, namun segala aspek keselamatan diutamakan oleh pegawai bertugas dengan tali keselamatan dan juga helmet.

Air Terjun Alor Lempah – air terjun buatan manusia dan daripada air terjun yang dulunya mengalir deras, kini ianya dilandskapkan menjadi landai.


>>Jom Tengok Penginapan Menarik di Bukit Fraser<<

Selain bercuti ke tempat menarik di Bukit Fraser, banyak juga aktiviti lain yang juga best untuk dilakukan di sepanjang perjalanan ke Bukit Fraser, Pahang. Semoga memberi anda seribu satu idea apa nak buat kalau menuju ke Bukit Fraser nanti. Sejarah Bukit Fraser anda boleh rujuk di Wikipedia di sini. Selamat Bercuti.

Tempat Menarik di Bukit Fraser – Destinasi Pilihan Pelancong
Info Ini Membantu Anda? Sila Undi :)
  • 35
    Shares

7 Komen

  1. MYSHA 13/06/2017
  2. Nieyza Masniza 02/01/2017
    • Raymie Mansor 04/04/2017
  3. Saiful akmal 01/11/2016
    • Saiful akmal 01/11/2016
  4. salfi 14/08/2016
    • lily 17/09/2016

Sila Komen

Sila SHARE