Isi Kandungan
Pulau Perhentian adalah antara destinasi percutian yang cukup dikenali bukan sahaja di Malaysia, malahan di peringkat antarabangsa. Keindahan pulau ini dengan pasir yang memutih, air yang jernih membiru dan pelbagai spesies hidupan laut pastinya menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara. Tidak hairanlah pulau ini dikatakan antara yang tercantik di dunia. Tapi, tak lengkap bercuti tanpa makan-makan, kan? Jadi, di sini saya ingin kongsikan 8 tempat makan best yang ada di Pulau Perhentian Kecil!
Tempat Makan Mesti Cuba di Pulau Perhentian Kecil!
1. Medan Selera Kampung NelayanÂ
Sumber: chemiechemal.blogspot
Jika anda mencari tempat untuk menjamu selera di Pulau Perhentian, bolehlah singgah ke Medan Selera Kampung Nelayan yang terletak di Pulau Perhentian Kecil. Makanan dan minuman yang disediakan di sini adalah lebih murah berbanding tempat makan yang ada di kawasan lain. Seperti namanya, medan selera ini terletak di Kampung Nelayan, iaitu sebuah pekan kecil yang menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk beberapa kemudahan seperti sekolah, masjid, balai polis, tempat kediaman, restoran dan lain-lain. Ada beberapa kedai makan yang menyediakan nasi berlauk di sini jadi anda cuma perlu pilih lauk yang diingini dan terus mengisi perut yang lapar. Memandangkan anda berada di pulau, pasti cepat lapar lepas join aktiviti air, kan? Jadi bolehlah anda singgah ke Medan Selera Kampung Nelayan untuk menjamu selera.
Alamat: Pulau Perhentian Kecil, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (9 AM – 8 PM)
2. Awatif CafeÂ
Sumber: Amazing Terengganu
Awatif Café sering menjadi pilihan utama pengunjung yang datang bercuti ke Pulau Perhentian. Kafe ini terletak berhampiran dengan Awatif Campsite, di mana pengunjung yang inginkan pengalaman perkhemahan berhampiran dengan pantai boleh memilih untuk menetap di sini. Anda boleh mendapatkan pelbagai jenis hidangan dari sarapan pagi hingga ke makan malam di Awatif Café ini. Antara menu sarapan pagi di sini adalah nasi bungkus, roti titab, roti bakar dan juga minuman panas manakala untuk makan tengahari dan makan malam pula, kafe ini ada menyediakan makanan panas. Anda juga boleh mencuba menu istimewa seperti Ikan Siakap Tiga Rasa dan menu vegetarian seperti Roti Canai, Nasi Kukus atau Kentang Goreng dengan Sos Sayur.
Anda boleh memilih untuk makan di ruangan kafe ini atau makan di pesisiran Pantai Pasir Panjang atau Long Beach. Kafe ini terletak betul-betul berhadapan dengan Pantai Pasir Panjang dan pengalaman melihat keindahan di sekitar kawasan pantai ini pasti tidak dapat anda lupa. Pengalaman menjamu selera dengan pemandangan di persisiran pantai ini dengan air yang jernih membiru dan pasir yang memutih adalah sesuatu yang semestinya harus anda cuba apabila anda sampai di Pulau Perhentian.
Alamat: Long Beach, Pulau Perhentian Kecil.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9 AM-8 PM)
Lokasi |Â Facebook | Ulasan BisnesÂ
3. Bayu RestaurantÂ
Sumber: @travelistajen
Sekiranya anda ingin merasai hidangan kelas antarabangsa di Pulau Perhentian, Bayu Restaurant adalah lokasi wajib untuk anda singgah. Restoran ini merupakan sebahagian daripada Alunan Resort yang sering menjadi pilihan utama pelancong untuk menetap di sini. Menu yang disediakan di sini adalah terdiri daripada hidangan tempatan dan juga Western. Hidangan di Bayu Restaurant juga disediakan oleh chef profesional jadi anda pasti dapat merasai hidangan terbaik yang ada di Pulau Perhentian di sini.
Antara menu tempatan yang boleh anda cuba di sini ialah Nyonya Rissa Curry Chicken dan Rendang Chicken manakala hidangan Western pula ialah Grilled Salmon dan Pan Seared Rosemary Chicken. Hanya bahan-bahan segar yang digunakan untuk setiap hidangan di restoran ini jadi anda pasti akan berpuas hati menjamu selera di sini. Harga bagi menu di sini lebih tinggi jika dibandingkan dengan tempat makan lain di Pulau Perhentian akan tetapi, harga yang anda bayar pasti berbaloi kerana ramai pelancong dari dalam dan luar negara memuji kesedapan hidangan yang telah mereka cuba di sini.
Jadi, jika anda inginkan pengalaman merasai hidangan taraf antarabangsa di Pulau Perhentian, Bayu Restaurant adalah lokasi yang wajib anda cuba.
Nota untuk pengunjung: premis ini ada menyediakan minuman beralkohol.
Alamat: Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (8 AM- 8 PM)
Lokasi | Laman Web | Ulasan BisnesÂ
4. Santai Restaurant
Santai Restaurant menawarkan lokasi terbaik untuk anda jika ingin menjamu selera di pesisir Pantai Pasir Panjang atau Long Beach. Restoran ini merupakan sebahagian daripada BuBu Resort, di mana anda boleh menetap di sini dan terus ke Santai Restaurant untuk jalan-jalan cari makan anda di Pulau Perhentian. Restoran ini terkenal dengan menu yang pelbagai termasuklah BBQ di tepi pantai, di mana anda akan dihidangkan dengan pilihan makanan laut yang segar dan stik yang dipanggang di atas gril sambil anda menikmati pemandangan indah persisiran pantai bersama yang tersayang. Anda juga wajib mencuba menu lain yang tidak kurang hebatnya seperti Filet Mignon, Seafood Pasta, Phad Thai dan juga BuBu Nasi Goreng.
Jika anda mahu lokasi yang menarik dengan menu yang enak dan bertaraf antarabangsa, bolehlah singgah ke sini untuk hidangan yang sedap dan segar.
Nota buat para pengunjung, restoran ini ada menyediakan minuman beralkohol.
Alamat: Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (8 AM – 8 PM)
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan BisnesÂ
5. Crocodile Rock Bistro
Jika anda ingin menikmati pemandangan Pulau Perhentian sambil menikmati hidangan lazat tanpa gangguan daripada pengunjung lain, pastikan anda singgah ke Crocodile Rock Bistro. Lokasi ini merupakan sebahagian daripada Crocodile Rock Villas dan terletak di bahagian barat Pulau Perhentian Kecil yang tenang dan tidak dikerumuni pengunjung. Lokasi ini juga sering menjadi pilihan pelancong untuk menu vegetarian. Hidangan di sini juga diperbuat daripada bahan-bahan segar dan organik yang diperoleh dari kawasan sekitar.
Antara menu yang perlu anda cuba di sini ialah barbeku dengan pilihan makanan laut yang segar seperti udang, ikan dan sotong serta Turmeric Prawn dan Beef Rendang. Lokasi ini juga menyediakan konsep dining secara open-air atau kasual di mana anda boleh menikmati hidangan di balkoni terbuka dengan pemandangan pantai.
Pastikan anda singgah ke Crocodile Rock Bistro untuk merasai keenakan hidangan di sini sambil ditemani pemandangan lautan membiru serta melihat keindahan matahari terbenam.
Nota untuk pengunjung: premis ini ada menyediakan minuman beralkohol.
Alamat: Near Rainforest Beach Pulau Perhentian Kecil, 22300 Kuala Besut, Terengganu
Waktu Operasi: Selasa (Tutup), Rabu – Isnin (6:30 PM – 10 PM)
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan BisnesÂ
6. Tiara Cafe
Sumber:TripAdvisor
Sekiranya anda ingin menjamu selera dengan makanan tradisional tempatan pada harga yang berpatutan, Tiara Café ada jawapannya. Lokasi ini nampak ringkas dari luar tapi jangan tertipu kerana di sini ada pelbagai menu istimewa menanti untuk dicuba. Antara menu yang wajib anda cuba sepanjang berada di sini ialah Sotong Masak Kunyit, Siakap 3 Rasa, Tomyam Seafood serta Barbecued King Fish. Hidangan barbeku di sini menggunakan hasil lautan dan bahan-bahan segar jadi kesedapannya pasti terjamin buat para pengunjung. Anda boleh menjamu selera bersama yang tersayang sambil ditemani pemandangan pantai yang cukup indah berserta hidangan yang enak dan berbaloi dengan harga.
Sampai saja di Pulau Perhentian, pastikan anda menjejakkan kaki ke Tiara Café untuk pengalaman jalan-jalan cari makan yang pasti berbaloi!
Alamat: Long Beach, Perhentian Island, 22300 Besut, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (8 AM – 8 PM)
7. Ombak Cafe
Ombak Café ialah destinasi yang wajib anda singgah di Pulau Perhentian Kecil jika anda ingin merasai pengalaman menjamu selera sambil menikmati pemandangan indah matahari terbenam. Ombak Café merupakan sebahagian daripada Ombak Dive Resort, di mana anda boleh mendapatkan pakej penginapan beserta sarapan yang disediakan di Ombak Café. Terdapat pelbagai variasi menu tempatan dan antarabangsa untuk sarapan, makan tengahari dan makan malam yang boleh anda cuba sepanjang berada di sini. Harga bagi menu di sini sedikit tinggi jika dibandingkan dengan lokasi lain akan tetapi saiz hidangan yang disediakan dan bahan-bahan segar yang digunakan adalah berbaloi dengan harga yang ditawarkan.
Anda juga boleh menikmati menu di sini sambil menonton filem terkini yang ditayangkan di skrin besar pada waktu malam dan juga ada pertunjukan api pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu pada jam 7:30 malam untuk para pengunjung.
Jadi, jangan lepaskan peluang menikmati pemandangan indah tepian pantai sambil menjamu selera dengan suasana yang cukup happening di Ombak Café.
Nota untuk pengunjung: premis ini ada menyediakan minuman beralkohol.
Alamat: Ombak Resort, Perhentian Kecil
Waktu Operasi: Setiap Hari (8 AM – 8 PM)
Lokasi |Â Facebook | Ulasan BisnesÂ
8. Ewan’s Cafe
Sumber: TripAdvisor
Mahu pilihan makanan dan minuman pada harga yang berbaloi dan berpatutan? Singgahlah ke Ewan Café yang terletak di Coral Bay, salah satu lokasi tumpuan di Pulau Perhentian. Ewan Café menawarkan masakan panas tempatan dan sering menjadi pilihan pengunjung untuk menjamu selera. Lokasi ini juga ada menawarkan khidmat WiFi yang pantas untuk para pelanggan.
Antara menu yang perlu anda cuba di sini ialah masakan panas seperti nasi dan mi goreng serta minuman pilihan pengunjung iaitu Banana Milkshake dan Mango Milkshake. Harga yang ditawarkan adalah sangat berbaloi dan lebih murah dari lokasi lain di sekitar Coral Bay. Layanan staf yang mesra serta hidangan yang murah dan enak pastinya membuatkan anda kembali lagi ke Ewan Café sepanjang percutian anda di Pulau Perhentian.
Alamat: Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (8 AM – 8 PM)
Bila-bila masa saja anda ingin bercuti dan bersantai ke Pulau Perhentian kecil, tak perlu lagi pening kepala mahu ke mana untuk makan-makan kerana di sini sudah ada 8 tempat makan wajib cuba di Pulau Perhentian kecil. Bila perut kenyang, anda pun happy! Selamat bercuti!