Pinjaman Peribadi, Loan 10K, dapat 10K!

Promo Raya dgn Kadar Terendah!

23+ Tempat Menarik di Cherating PALING POPULAR

Pantai Cherating merupakan sebuah pantai peranginan yang sangat popular di Negeri Pahang & terletak di dalam Daerah Kuantan. Seronok sebenarnya bercuti di Pantai Cherating ibarat ‘menyelam sambil minum air’ kerana anda bukan sahaja dapat melakukan aktiviti & melawat tempat menarik di Cherating sahaja, malah dapat juga ke beberapa destinasi menarik sekitar Bandar Chukai, Kemaman. Selain itu, sekitar Cherating juga terdapat banyak pilihan resort tepi pantai yang sangat menarik untuk bermalam seperti Holiday Villa Beach Cherating Resort, Lagend Cherating Beach Resort, Royale Chulan Cherating, Cherating Bayview Resort & sebagainya

Anda tahu tak ? Walaupun Pantai Cherating ini terletak dalam Daerah Kuantan, sebenarnya bandar atau pekan yang terdekat adalah Bandar Chukai, Kemaman & jaraknya hanya 5-8 minit memandu. Manakala jarak Bandar Kuantan ke Cherating pula sekitar 35 minit memandu. Sekiranya anda ingin menerokai apa yang menarik di Bandar Kuantan, silakan baca 27+ destinasi menarik di Kuantan untuk rujukan anda. Kalau anda bercuti di Cherating  selama 1-2 hari, senarai tempat-tempat menarik di Cherating seperti di bawah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk memenuhi jadual percutian anda nanti. Teruskan membaca supaya anda dapat merancang percutian di Cherating dengan lebih baik kelak.


23+ Destinasi & Aktiviti-Aktiviti Menarik di Cherating

1. Kam’s Surf Shack

aktiviti outdoor menarik cherating

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Pantai Cherating sangat popular di kalangan pelancong untuk melakukan aktiviti di pantai seperti bermain papan luncur, windsurfing & kite surfing. Pada musim tengkujuh, Pantai Cherating juga meriah dengan aktiviti sukan luncur sebegini memandangkan ombak & angin lebih kuat. Walaupun ombak kuat, kawasan pantai ini sangat landai & merupakan antara tempat terbaik di Malaysia untuk aktiviti sukan luncur air. Sekiranya anda berminat nak mencuba aktiviti sukan air yang mencabar ini, bolehlah datang & merasai sendiri pengalaman meluncur di Pantai Cherating.

Tidak banyak destinasi pantai percutian di Malaysia yang ada sukan luncur air sebegini. Jadi kalau anda bercuti di Cherating, mesti cuba aktiviti ini & bolehlah berangan-angan menjadi beach boy. Harga sewa papan luncur di sini juga sangat berpatutan & pemiliknya juga seorang yang sangat mesra. Terdapat beberapa pakej meluncur termasuk dengan kelas pembelajaran untuk mereka yang masih belum ada pengalaman mencuba aktiviti menarik ini.

Peta Lokasi | Jarak | 609-5819134 | Facebook

  • Jalan Kampung Cherating, Kampung Padang Lalang, 26080 Balok, Pahang

  • 8.00 am – 8.00 pm ( setiap hari)

Harga Sewa Peralatan di Kam’s Surf Shack

  • X-Sail
    • 30 minit: RM 60
    • 1 jam: RM 100
  • Kite
    • Full Set: RM 300 ( 1 hour)
    • Lesson, 1 hour: RM 300
  • Windsurfing:
    • Full Set, 60 minit: RM 80
    • Lesson, 60 minit: RM 150
  • Surfing:
    • Board,
      • separuh hari : RM 40
      • Satu hari: RM 70
  • Fibre Board
    • Lesson: RM 120
  • S.U.P
    • 1 hour: RM 50
    • 2 hour: RM 80
    • half day: RM 100


2. Pantai Cherating

pantai menarik di cherating

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Kalau sebut sahaja nama Pantai Cherating, ramai yang keliru di mana sebenarnya lokasi utama Pantai Cherating ini. Pantai Cherating sebenarnya sangat panjang & jaraknya menjangkau 7-8 kilometer. Setiap kawasan tumpuan di sepanjang Pantai Cherating mempunyai tarikannya yang tersendiri. Samaada anda menginap di hotel contohnya di Legend Cherating Beach Resort ataupun Royale Chulan Cherating, kedua-dua resort ini terletak di dalam kawasan Pantai Cherating walaupun jarak antara dua resort ini sejauh 3-4 km. Tambahan pula, ada sesetengah hotel seperti di Club Med, pantai sekitarnya hanya khas untuk tetamu yang menginap.

Jadi, untuk anda sebagai pelancong yang mungkin hanya nak bersantai petang tanpa menginap sekitar hotel di Cherating, lokasi yang paling menjadi tumpuan pengunjung adalah di sini ( rujuk butang Peta Lokasi di bawah). Pantai ini memang sangat lapang, berteluk besar serta sangat landai. Malah anda boleh berjalan kaki agak jauh dari pesisiran pantai ke kawasan air. Destinasi ini juga sering menjadi lokasi untuk pelancong melakukan aktiviti seperti windsurfing, kite surfing & sebagainya. Berdekatan dengan pantai utama ini, terdapat beberapa penginapan yang boleh jalan kaki sahaja seperti Cherating Bay View Resort, Tanjung Inn Resort, Cherating Cottage & banyak lagi. Di kawasan Pantai Cherating ini juga terdapat banyak papan-papan tanda & lot kedai yang masing-masing menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan untuk pelancong seperti mangrove tour, fireflies tour, fishing trip & sebagainya.

Hotel Terdekat | Peta Lokasi | Jarak | Baca Lagi

  • Pantai Cherating, Kuantan, Pahang

  • Destinasi pantai peranginan ( Sepanjang tahun)


3. Legend Beach Resort Cherating

legend beach resort cherating pahang

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Anda mencari resort menarik di Cherating tepi pantai & ada kolam renang yang menarik ? Kalau ya, maka destinasi ini adalah antara yang paling disyorkan untuk anda bermalam di Cherating. Legend Beach Resort Cherating terletak betul-betul di tepi pantai yang sangat cantik & bolehlah anda bersuka ria dengan keluarga samaada bersantai atau melakukan aktiviti outdoor pada waktu petang.

Resort ini juga mempunyai 2 kolam renang yang besar & sesuai untuk golongan dewasa yang pandai berenang untuk riadah petang bersama keluarga. Walaupun 2 kolam renang ini bersebelahan namun warna airnya berbeza, satu berwarna biru & satu lagi berwarna hijau. Unik bukan ?  Selain itu, pihak resort juga ada menawarkan pelbagai aktiviti outdoor menarik yang boleh anda lakukan seperti ATV Ride, Banana Boat Ride, AirHead, Snorkeling, Island Tour dan Fishing Trip. Fasiliti di sini juga dalam keadaan yang baik & sangat ideal untuk anda anjurkan akitiviti seperti hari keluarga, kursus ataupun seminar syarikat.

Harga Hotel | Peta Lokasi | Jarak | 609-5819818 | Website

  • Mukim Sungai Karang, Kampung Baharu Cherating, 26080 Balok, Pahang

  • Destinasi penginapan ( sepanjang tahun)


4. Santuari Penyu Cherating

santuari penyu pantai cherating pahang

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Kalau bercuti di Cherating bersama anak-anak, salah satu destinasi menarik yang boleh anda bawa mereka adalah di Pusat Penerangan & Santuari Penyu Cherating yang terletak berhadapan dengan pintu masuk Club Med Cherating Beach Resort. Santuari ini tidaklah terlalu besar seperti di Zoo Negara & ianya hanya terletak di sebuah bangunan kecil yang mungkin anda boleh habiskan masa lawatan sekitar 10-15 minit sahaja. Di dalamnya terdapat galeri-galeri penerangan yang mempamerkan pelbagai informasi & infografik menarik berkaitan dunia penyu. Yang paling menarik di sini adalah di bahagian luar bangunannya di mana terdapat beberapa kolam yang menempatkan beberapa spesis penyu termasuk dengan tuntung & labi-labi.

Antara spesis penyu yang ada di sini ialah seperti leatherback turtle, green turtle, Hawks-bill turtle dan juga Olive Ridley turtle. Anda juga dapat melihat sangkar di dalam kolam yang dipenuhi dengan anak-anak penyu yang baru menetas. Kaget juga melihat betapa banyaknya anak penyu dalam kolam ini yang berenang-renang seperti anak berudu di dalam lopak air. Selain itu, di sini juga ada program-program menarik untuk pengunjung seperti melawat tapak penetasan telur penyu, melihat pelepasan anak-anak penyu ke laut & juga program turtle watching waktu malam. Masuk ke sini adalah percuma & pengunjung hanya perlu daftar diri di bahagian kaunter.

Hotel Terdekat | Peta Lokasi | Jarak | 609-5819087

  • Pusat Penerangan & Santuari Penyu Cherating, KM 45 Jalan Kuantan-Kemaman, 26080, Kuantan, Pahang

Waktu Operasi Santuari Penyu Cherating

  • Selasa-Ahad
    • 9.00 am- 5.00 pm

*musim penyu bertelur antara bulan April hingga Ogos

Harga Tiket Santuari Penyu Cherating

  • Percuma


5. Royale Chulan Cherating

royale chulan resort cherating pahang

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Ini adalah satu lagi destinasi penginapan yang sangat popular di kalangan pelancong apabila bercuti di Cherating. Resort mewah ini mempunyai 6 pilihan jenis penginapan yang berbeza harganya seperti Beach Chalets, Bedroom Villa with private pool, premier suites & sebagainya. Kolam mandi di sini juga sangat menarik untuk pengunjung yang bermalam di sini & bentuk kolamnya yang seperti infinity pool serta mengadap Laut China Selatan pasti akan memberi anda satu pengalaman yang menyeronokkan ketika berenang pada waktu petang.

Pihak resort juga ada menyediakan aktiviti percutian menarik untuk tetamu yang menginap di sini seperti ATV fun ride, yachting, kayaking, snorkeling, river cruising dan sebagainya. Lokasi resort ini juga sangat strategik & mudah untuk anda melawat ke beberapa tempat menarik sekitar Cherating & Kemaman. Sekiranya anda mencari destinasi penginapan yang sangat mewah & romantis untuk masa honeymoon anda di Cherating, Royale Chulan Cherating adalah destinasi yang paling tepat untuk dipilih.

Harga Hotel | Peta Lokasi | Jarak | 609-5847333 | Facebook | Instagram | Website

  • Kampung Cherating Lama, Cherating, 26100 Kuantan, Pahang

  • Destinasi penginapan, sepanjang tahun


6. Kelip-Kelip Sungai Cherating

kelip kelip di sungai cherating

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Selain aktiviti di pantai, pelancong juga boleh melakukan aktiviti sekitar Sungai Cherating dengan melihat kelip-kelip pada waktu malam. Terdapat beberapa operator yang menyediakan pakej melihat kelip-kelip sekitar Sungai Cherating. Kalau anda beranggapan pada musim tengkujuh & waktu hujan, aktiviti melihat kelip-kelip tidak semeriah hari biasa, anda silap besar. Sebenarnya pada musim hujan atau musim tengkujuhlah aktiviti melihat kelip-kelip lebih menarik.

Ini kerana, kelip-kelip akan bertelur di bahagian tebing yang basah selepas hujan & secara tak langsung jumlah kelip-kelip untuk anda lihat pada musim ini juga lebih banyak. Sekiranya anda belum pernah melihat kelip-kelip, sangat disyorkan untuk melihat keindahan serangga eksotik yang cantik ini & pasti akan memberikan anda satu pengalaman yang menarik untuk dibawa pulang ke rumah nanti.

Peta Lokasi | Jarak | 6017-9789256 | Facebook | Website

  • Sungai Cherating, Kuantan, Pahang

Waktu Operasi Fireflies Tour Cherating

  • Bermula 7.30 malam & trip melihat kelip-kelip setiap 1 jam
  • Isnin tutup

*tempoh firefly tour antara 1 jam 30 minit ke 2 jam untuk satu trip.
*sebelum menaiki bot, ada penerangan ringkas tentang kelip-kelip Sungai Cherating

Bayaran Fireflies Tour Cherating

  • Dewasa: RM 35
  • Kanak-kanak: RM 25


7. Warung Otak-Otak Che Wan

warung otak otak che wan kemaman

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Anda seorang foodhunter & suka mencari makanan popular orang setempat? Apa kata ke sekitar Kampung Geliga, Kemaman yang terletak hanya 5 km dari Cherating. Kawasan Geliga terkenal dengan beberapa tempat makan menarik yang menyediakan menu makanan popular orang setempat seperti sata, otak-otak, pulut lepa (pulut panggang), pais ikan, keropok lekor & macam-macam lagi. Terdapat beberapa destinasi yang popular di sini & antara yang paling disyorkan adalah di Warung Otak-Otak Che Wan.

Ramai pelancong luar yang tak tahu akan kesedapan otak-otak & sata di kedai ini. Lokasinya sangat mudah diakses & berdekatan dengan simpang ke Pantai Teluk Mak Nik ( Monica Bay). Sekiranya ramai pengunjung di kedai ini ketika anda sampai, apa kata bungkus & makan di sekitar Pantai Monica Bay ini yang mempunyai banyak pondok-pondok rehat. Makan sata di tepi pantai sambil layan bayu laut, barulah bercuti ke pantai timur namanya.

Peta Lokasi | Jarak | 6014-8035777 | Facebook

  • Kampung Geliga, Chukai, Terengganu

  • 11.00 am – 7.00 pm ( setiap hari)

  • Destinasi makan


8. Rimbun Dahan Turtle Hatchery

Rimbun-Dahan-Turtle-Hatchery

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Selain Santuari Penyu Cherating, ada satu lagi destinasi untuk anda melihat anak-anak penyu yang comel-comel ini. Lokasinya hanya terletak di Pantai Chendor & bersempadanan dengan Negeri Terengganu. Bagi pelancong yang jarang melihat bintang eksotik ini, pengalaman apabila memegang & melihat anak-anak penyu berkejaran menuju ke pantai pasti akan menjadi satu memori yang menarik untuk percutian anda di sini.

Di sini juga, pelancong boleh mempelajari banyak informasi berguna dalam mendidik warga agar cakna akan kepentingan haiwan ini di dalam ekosistem perairan di negara kita. Pusat penetasan penyu ini diasas & diusahakan secara persendirian oleh Allahyarham Pak Su sebagai usaha beliau untuk menjaga pemuliharaan & pemeliharaan penyu. Setelah pemergian Pak Su pada 11.11.2018 , kini pusat penjagaan ini telah diambil alih oleh keluarganya.

Peta Lokasi | Jarak | 6013-9064828 | Facebook

  • jalan pantai chendor, chendor, 26080 chedor, Pahang

  • Musim tengkujuh ditutup & hanya dibuka pada musim bertelur.
  • Sila berhubung dengan pemilik sebelum datang ke sini

*musim penyu bertelur antara bulan April hingga Ogos

  • Sila berhubung dengan pemilik sebelum datang ke sini


9. Holiday Villa Beach Resort & Spa Cherating

hotel tepi pantai cherating pahang menarik

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Seronok sebenarnya kalau anda bercadang untuk bercuti ke Cherating kerana begitu banyak sekali pilihan penginapan & resort tepi pantai yang menarik. Salah satu destinasi resort yang disyorkan adalah di Holiday Villa Beach Resort & Spa Cherating yang mempunyai pilihan penginapan yang harganya lebih murah kalau nak dibandingkan dengan Royale Chulan Cherating. Sudah tentulah kalau bercuti dengan anak-anak terutamanya di destinasi seperti Cherating ini, kita inginkan penginapan yang ada kolam mandi bukan?

Jangan risau, walaupun harga penginapan di sini lebih berpatutan berbanding resort mewah yang lain, Holiday Villa Beach Resort juga tetap mempunyai kolam renang yang besar & sesuai untuk masa riang ria anak-anak anda. Kalau menginap di sini terutamanya di bilik yang mengadap laut, pasti membuatkan anda rasa macam tidak mahu keluar kerana terlalu asyik dengan keindahan panorama Laut China Selatan. Satu destinasi penginapan yang sangat ideal untuk dijadikan tempat bermalam bersama pasangan ketika berbulan madu di Cherating.

Harga Hotel | Peta Lokasi | Jarak | 609-5819500 | Website

  • Lot 1303, Mukim Sungai Karang, Kampung Baharu Cherating, 26080 Cherating, Pahang

  • Destinasi penginapan ( sepanjang tahun)


10. Mangrove Tour Sungai Cherating

mangrove tour sungai cherating

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Sungai Cherating mempunyai daya tarikan hutan paya bakau sekeliling yang sangat menarik untuk diterokai pelancong. Untuk melihat keindahan hutan paya bakau & hidupan liar di sini, pelancong boleh menaiki bot yang disediakan oleh beberapa operator di sini. Sekiranya anda menginap di hotel atau chalet berdekatan, pihak hotel boleh menguruskannya. Sekiranya anda ingin uruskan sendiri, boleh cari Hafiz’s Cherating Activities Centre yang terletak berdekatan dengan Pantai Cherating.

Perjalanan melihat hutan paya bakau menyusuri Sungai Cherating memang menyeronokkan. Sekiranya anda seorang yang sukakan aktiviti kembara, fotografi & mempunyai anak-anak yang mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, aktiviti ini sangat disyorkan untuk anda cuba. Selain melihat pokok bakau, terdapat banyak haiwan-haiwan di sini yang boleh anda nampak ketika menaiki bot seperti spider crab, monyet, biawak, ular, burung-burung hutan & sebagainya.

Peta Lokasi | Jarak | 6017-9789256 | Facebook

  • 7, 1156, Jalan Kampung Cherating Lama, Cherating, 26080 Kuantan, Pahang

Waktu Operasi Mangrove Tour Cherating 

  • 2 slot Mangrove Tour di Sungai Cherating setiap hari:
    • 9.00 pagi & 4.00 petang
    • Isnin tutup

*perjalanan setiap Mangrove Tour makan masa 1 jam 30 minit ke 2 jam

Harga Bayaran Mangrove Tour Cherating 

  • Dewasa: RM 35
  • Kanak-kanak: RM 25

*minimum 2 orang


11. Warung Satar Kak Nab Kuala Kemaman

kedai satar sedap kemaman

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Destinasi ini juga merupakan tempat makan yang sangat menarik untuk anda cuba menu makanan satar. Kalau datang ke sini kenalah awal sebab satarnya cepat habis. Selain itu terdapat macam-macam makanan santai orang pantai timur yang boleh anda dapatkan di sini seperti laksa Terengganu, laksam, keropok lekor, pulut lepa ( pulut panggang), kayu keramat & sebagainya.

Satu lagi menu makanan santai yang sangat unik & menjadi ‘trademark’ & signature dish di kedai ini adalah Paun Ubi Kayu. Bentuknya bulat seperti cokodok & ada inti ikan di dalamnya. Sekali makan, pasti nak tambah lagi & Paun Ubi Kayu ini memang sangat ‘berhantu’. Satu destinasi makan yang sangat menarik berdekatan Cherating untuk anda cuba pada waktu petang.

Peta Lokasi | Jarak | 6013-9198711 | Facebook

  • Kampung Geliga Cik Akob, 24000 Chukai, Terengganu

  • 7.30 am – 7.00 pm

  • Destinasi makan


12. Pantai Teluk Mak Nik ( Monica Bay)

pantai teluk mak nik kemaman

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Destinasi Pantai Teluk Mak Nik atau juga dikenali sebagai Monica Bay merupakan sebuah pantai rekreasi untuk lepak-lepak petang. Di sepanjang Pantai Teluk Mak Nik terdapat banyak wakaf-wakaf yang sangat redup kerana banyak pokok-pokok rhu yang tumbuh meninggi. Walaupun pada waktu tengahari kawasan di wakaf-wakaf ini memang nyaman tanpa pancaran terik matahari di atas kepala. Kombinasi terbaik kalau santai di pantai ini ialah sudah tentu makanan santai yang boleh anda beli di Warung Otak-Otak Che Wan. Dari pantai ini, anda boleh lihat banyak bot-bot atau barge nun jauh di tengah laut yang sedang berlabuh di Kemaman Supply Base.

Di Pantai Monica Bay ini juga terdapat sebuah litar terbuka motocross yang sering menjadi lokasi sukan perlumbaan samaada peringkat tempatan atau antarabangsa. Kalau berkelah di sini pada masa perlumbaan, suasana di sini sangat meriah dengan kebanjiran penonton & penjaja-penjaja jalanan.

Peta Lokasi | Jarak

  • Jalan Paksu, Kampung Geliga Besar, 24000 Chukai, Terengganu

  • Destinasi pantai awam ( 24 jam)

  • Destinasi pantai awam ( Percuma)


13. Zoo Kemaman

zoo sekitar cherating kemaman

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Destinasi yang pasti membuatkan anak-anak teruja melihat pelbagai spesis binatang eksotik yang ditempatkan di Zoo Kemaman yang hanya lebih kurang 15 km dari Pantai Cherating. Antara haiwan-haiwan liar yang menjadi tumpuan pengunjung adalah buaya, harimau, burung merak, gajah, tapir & pelbagai jenis reptilia eksotik lain. Zoo Kemaman tidaklah sebesar Zoo Negara namun, bilangan haiwan menarik di sini sudah lebih daripada mencukupi untuk menceriakan kanak-kanak yang berkunjung ke sini. Anda mungkin habiskan masa di sini sekitar 40 minit – 1 jam.

Sekiranya anda bercuti di Cherating & menginap di hotel yang tiada kolam mandi, bolehlah bawa anak ke sini kerana terdapat mini water park yang tidak kurang menariknya. Kolam mandi di sini hanya sesuai untuk anak-anak bersuka ria & bukannya untuk orang dewasa yang lebih gemarkan kolam mandi yang besar serta water slide yang tinggi. Di mini waterpark ini, terdapat juga water slide yang berliku yang pasti membuatkan anak-anak tidak sabar untuk mencubanya. Bagi mereka yang inginkan satu kelainan ketika melawat Zoo Kemaman, pengunjung juga boleh sewa kereta kuda yang ada disediakan di sini. Barulah terasa thrill seperti mengembara di dalam hutan seperti dalam babak movie Jurassic Parks.

Hotel Terdekat | Peta Lokasi | Jarak | 609-8596644 | Facebook | Instagram | Website

Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman,
Majlis Perbandaran Kemaman,
24000 Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Waktu Operasi Zoo Kemaman

  • 9.00 am – 5.00 pm

Harga Tiket Zoo Kemaman

  • Dewasa: RM 10.00
  • Kanak-Kanak(5-12 tahun): RM 7.00
  • Berkumpulan ( 20 orang): RM 5.00
  • Kanak-Kanak( 4 tahun & kebawah): Percuma


14. Limbong Art

limbong art cherating pahang

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Anda mencari tempat yang menarik di Cherating untuk beli cenderahati istimewa yang sinonim dengan negeri pantai timur? Apa kata singgah sebentar di Limbong Art. Destinasi ini menawarkan pelbagai pilihan barangan batik seperti baju, skaf, t-shirt, topi & sebagainya. Semua corak yang berwarna warni di sini dihasilkan sendiri oleh pemilik Limbong Arti. Sekiranya anda belum memiliki pakaian batik yang santai-santai, apa kata ke sini dahulu sebelum jalan-jalan sekitar Pantai Cherating.

Kalau bercuti tepi pantai mestilah ada pakaian batik yang ‘sempoi’ bukan ? Mengenakan pakaian santai sebegini baru bercuti di pantai namanya. Selain itu, di sini juga ada kelas untuk pelancong merasai pengalaman mewarna & mencanting batik. Tak perlu susah-susah nak ke Chendering, Kuala Terengganu untuk belajar mewarna batik, di Cherating pun ada. Kalau bercadang nak buat batik DIY anda sendiri, sebaiknya datang awal kerana tempoh batik DIY nak kering mengambil masa yang lama. Kalau anda datang waktu petang, bermaknanya esoklah baru boleh ambil batik DIY anda itu.

Peta Lokasi | Jarak | 609-5819134 | Facebook

  • Limbong Art, Kampung Cherating, 26080 Balok, Pahang

  • 10.00 am – 10.00 pm

  • Pengalaman mewarna batik
    • RM 30


15. Casa Itik

homestay di cherating pahang

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Ada bercadang untuk anjurkan family outing di Cherating dalam kumpulan yang agak besar? Apa kata menginap di Casa Itik yang merupakan sebuah rumah bungalow atau villa mewah yang mempunyai ciri-ciri senibina Sepanyol. Villa di tepi pantai ini memang ideal untuk pelancong yang inginkan penginapan yang lebih membuatkan diri terasa seperti tinggal di rumah ataupun homestay.

Bangunan utama Casa Itik ini mempunyai 10 bilik tetamu yang selesa & sebuah dewan serbaguna yang sesuai untuk mereka yang nak anjurkan aktiviti team building ataupun family day. Lebih menarik lagi, Casa Itik juga ada menempatkan dua buah kolam renang & sebuah jakuzi yang mengadap pantai yang pasti membuatkan anda terasa tak sabar-sabar untuk berendam & berenang. Dari Casa Itik ini juga, anda boleh berjalan kaki menuju ke pantai untuk aktiviti santai-santai samaada untuk jogging atau melihat matahari terbit pada waktu pagi.

Harga Hotel | Peta Lokasi | Jarak | 6019-9389620 | Facebook | Instagram | Website

  • Lot 27105, Jalan Kuantan-Kemaman, Sg. Baging, Mukim Sg. Karang, Cherating, 26080 Kuantan, Pahang

  • Destinasi penginapan ( sepanjang tahun)


16. Maggi Ketam Bistro Kemaman

maggi ketam bistro kemaman

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Anda mencari makan malam dengan menu yang lain daripada yang lain di Cherating? Apa kata cuba maggi ketam nipah yang terletak di Maggi Ketam Bistro berdekatan dengan Masjid Geliga. Seperti yang tersedia maklum, sekitar Kemaman & Cherating mempunyai beberapa lokasi paya bakau & sumber untuk mendapatkan ketam nipah di sini memang mudah. Kesegaran ketam nipah di Maggi Ketam Bistro ini memang dijamin segar kerana ketam nipah di sini sebenarnya masih hidup & diletakkan dalam balang khas. Anda boleh pilih ketam nipah yang berkenan di hati untuk dijadikan Maggi Ketam & harga Maggi Ketam adalah berbeza mengikut saiz ketam.

Sekali sekala makan dengan menu unik sebegini apabila bercuti bersama keluarga, baru lebih seronok. Kadang-kadang membuatkan kita terasa curious juga nak tahu macam mana rasanya ketam nipah kan? Namun jangan terkejut pula, walaupun menu makanannya hanya ‘maggi’, tidak bermakna harganya seperti maggi celup biasa. Sudah tentulah mahal sedikit daripada biasa. Apa salahnya sekali sekala mencuba menu eksotik sebegini bersama keluarga tersayang kan? Duit boleh dicari, masa berkualiti bersama keluarga waktu cuti, susah nak dicari ganti. Setuju? Bagi yang tak makan maggi, di sini juga ada menu hidangan lain seperti ikan bakar, masakan panas & goreng-gorengan.

Peta Lokasi | Jarak | 6019-9534125

  • No. 1 Gerai Pelbagai Geliga,, Geliga, Kampung Geliga Cik Akob, 24000 Chukai, Terengganu

  • 4.30 pm – 1.00 pm ( setiap hari)

  • Destinasi makan


17. Pulau Ular

pulau ular cherating pahang

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Anda tahu tak, yang sebenarnya di Cherating terdapat sebuah pulau kecil yang mempunyai hidupan marin warna warni & kompleks terumbu karang yang sangat menarik untuk aktiviti snorkeling & scuba diving. Lokasi pulau kecil berbatu dengan belukar kecil ini juga tidak jauh dari tanah besar sekitar 1.3 km & 10 minit sahaja masa menaiki bot. Destinasi pulau ini juga sering menjadi tempat kaki pancing melempias minat masing-masing untuk memancing ikan & juga sotong. Malah ada juga yang berkhemah di sini untuk merasai pengalaman yang lebih adventure.

Memandangkan jarak ke Pulau Ular di Cherating ini dekat,Pulau Ular juga sering menjadi destinasi untuk aktiviti renang bebas yang dianjurkan oleh kebanyakan kelab renang profesional dari seluruh Malaysia. Bagi pelancong pula, untuk ke sini anda boleh tanya pihak hotel yang berdekatan yang menyediakan trip untuk aktiviti snorkeling di Pulau Ular. Antara penginapan yang terdekat dengan lokasi Pulau Ular adalah Sanctury Resort. Kalau menginap di resort ini juga satu idea yang bagus kerana, selain lokasinya yang dekat dengan Pulau Ular resort ini sebenarnya berada di tengah-tengah antara Bandar Chukai & Bandar Kuantan.

Hotel Terdekat | Peta Lokasi | Jarak | 6019-9534125

  • Pulau Ular, Cherating, Kuantan, Pahang

  • tidak dikhususkan

  • Pakej Snorkeling: RM 45.00

* anda juga boleh sewa bot bersama tekong untuk ke pulau ini & kadar bayaran mengikut jam. Kebiasaannya sewa bot untuk 3 jam sekitar RM 180.

Lihat video kecantikan dasar lautnya di Pulau Ular


18. Warung Aziz Satar

warung aziz satar kemaman menarik

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Selain Warung Otak-Otak Che Wan, destinasi ini adalah satu lagi tempat makan menarik di Kemaman yang boleh anda mencari menu makanan santai seperti sata, otak-otak, keropok lekor & pais ikan. Terdapat 3 warung yang bernama Warung Aziz Satar di sepanjang jalan ini. Anda boleh singgah yang mana-mana warung memandangkan pemiliknya adalah yang sama.

Sekiranya anda ingin ke warung lama yang sering menjadi kunjungan pelancong, perlu menuju ke hilir Sungai Kemaman & lokasinya seperti pada butang Peta Lokasi di bawah ini. Kedai ini lebih terbuka, luas & ruang makannya juga lebih selesa walaupun waktu ramai orang. Konsep makan di sini adalah layan diri. Anda boleh pilih bermacam makanan popular orang setempat yang pasti membuatkan anda rambang mata tak tahu nak makan apa.

Peta Lokasi | Jarak | 6013-9346673 | Facebook

  • Kampung Geliga Cik Akob, 24000 Chukai, Terengganu

  • 9.00 am – 7.00 pm

  • Destinasi makan


19. River Cruise Sungai Yah Yah

river cruise di zoo kemaman

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Bagi yang ingin melihat keindahan hutan paya bakau & kawasan pokok nipah di dalam Kemaman, anda boleh melakukan aktiviti ini dengan River Cruise Sungai Yah Yah. Perjalanan dari Jeti Sungai Yah Yah ke Jambatan Bukit Kuang menyelusuri sungai ini akan mengambil masa sekitar 90 minit pergi & balik.

Servis ini diselenggarakan oleh Taman Rekreasi & Zoo Kemaman. Destinasi ini lebih sesuai untuk mereka yang mungkin bercuti di Cherating dalam kumpulan yang besar & inginkan pengalaman naik bot. Ini kerana bot yang ada di sini juga lebih besar & selesa untuk pelancong menerokai keindahan sekeliling di Sungai Kemaman.

Hotel Terdekat | Peta Lokasi | Jarak | 609-8596644 | Facebook | Instagram | Website

Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman,
Majlis Perbandaran Kemaman,
24000 Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Waktu Operasi River Cruise Sungai Yah Yah

  • Dibuka setiap hari kecuali Jumaat & Hari Raya Aidilfitri / Aidiladha
    • 11.00 am – 12.30 pm
    • 3.00 pm – 4.30 pm

*tempoh perjalanan bot 90 minit

Harga Tiket  River Cruise Sungai Yah Yah

  • Dewasa: RM 40.00
  • Kanak-Kanak: RM 40.00

*Boleh berurusan dengan kaunter di Taman Rekreasi & Zoo Kemaman


20. Restoran Ani Selera Kampung / Kedai Nasi Budu

tempat makan menarik di cherating

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Salah satu tempat makan yang menyediakan aneka masakan ala kampung di Kuala Kemaman. Banyak pilihan lauk pauk pantai timur yang ada di sini dan yang menjadi kegemaran pengunjung di sini semestinya ikan singgang, serta budu buatan yang sangat sedap dicicah dengan aneka pilihan ulam-ulaman.

Tidak kira hari cuti atau hari bekerja, destinasi makan ini tidak lekang dipenuhi dengan pengunjung terutamanya pada waktu tengahari. Sebaiknya, kalau anda ingin menikmati keenakan makanan di sini, datanglah sebelum pukul 12 tengahari atau selepas pukul 2 petang supaya tidak bersesak dengan orang.

Peta Lokasi | Jarak | 6013-9987465

  • Chukai, Kemaman, Terengganu

  • 10.00 am – 8.00 pm

  • Destinasi makan


21. Restoran Masakan Ibu

restoran masakan ibu cherating

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Di tepi jalan sekitar Cherating, terdapat sebuah warung yang pemiliknya berasal dari Kelantan dan menyediakan makanan pantai timur yang tidak kurang sedapnya. Sering menjadi singgahan bas-bas ekspress untuk menjamu selera. Harganya pun berpatutan dan antara menu lauk yang ada seperti gulai kawah, ayam percik, ayam panggang, nasi kerabu dan sebagainya.

Pilihan lauk pauk di sini juga sangat banyak & lokasinya juga lebih dekat dengan Pantai Cherating kalau nak dibandingkan dengan destinasi makan menarik lain seperti di atas. Satu tempat makan yang sangat menarik untuk anda lunch bersama keluarga di sini.

Peta Lokasi | Jarak | 6019-9879324

  • Jln Kuantan – Kemaman, Taman Chendor Utama, 26080 Balok, Pahang

  • 7.30 am – 5.30 pm ( setiap hari)

  • Destinasi makan


22. Kedai Keropok Lekor Cap Delima

keropok lekor sedap cherating

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Tak perlu jauh ke Kampung Seberang Takir atau Kampungg Losong untuk memborong keropok lekor. Di Kampung Geliga berdekatan dengan deretan kedai menjual sata ataupun di pintu gerbang sempadan daerah Kemaman dan Kuantan turut menawarkan pelbagai jenis keropok lekor atau keropok keping yang tidak kurang sedapnya. Antara destinasi kedai yang popular sekitar ini adalah Kedai Keropok Lekor Cap Delima.

Memandangkan destinasi ini popular makan kadang-kadang pengunjung perlu beratur panjang untuk beli keropok di sini terutamanya waktu cuti. Mujurlah, destinasi membeli keropok lain sangat banyak di kawasan ini. Bolehlah singgah di sini dahulu sebelum berangkat pulang ke KL untuk membeli keropok sebagai bekala dalam kereta atau sebagai buah tangan untuk jiran tetanga.

Peta Lokasi | Jarak | 6012-9620823

  • 3, 24000 Chukai, Terengganu

  • 9.30 am – 5.30 pm (setiap hari)

  • Destinasi beli keropok


23. Kedai Kopi Hai Peng Kemaman

kedai kopi hai peng kemaman

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Sekiranya anda seorang penggemar kopi asli, apa kata ke Kedai Kopi Hai Peng yang terletak di Bandar Chukai, Kemaman. Destinasi kedai ini sudah lama bertapak di Kemaman sejak 60 tahun lalu & mempunyai ramai peminat setia pelbagai bangsa samaada Cina, Melayu, India mahupun pelancong asing. Malah, orang dari Bandar Kuantan juga ada yang sanggup berkunjung ke sini pada setiap pagi hujung minggu untuk pekena secawan kopi segar di sini.

Selain terkenal dengan pelbagai pilihan kopi menarik, di sini juga terdapat pilihan menu sarapan pagi yang tidak kurang menariknya seperti roti bakar, nasi lemak, kuih muih & sebagainya. Walaupun kedai ini dikendalikan oleh orang Cina, namun mereka tidak menyediakan makanan-makanan yang tidak halal.

Peta Lokasi | Jarak

  • K-3753, Jalan Sulaimani,Chukai,Kemaman, 24000, Cukai, Terengganu, Kampung Gong Pauh, 24000 Chukai, Terengganu

  • 7.00 am – 6.00 pm
  • Jumaat tutup

  • Destinasi makan


24. eRYA by Suria Cherating Resort

hotel menarik di pantai cherating pahang

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Bagi yang mencari destinasi penginapan yang mesra keluarga & mungkin mahukan lokasi pantai yang agak jauh dari kesesakan pelancong, apa kata menginap di eRYA by Suria Cherating Resort. Destinasi resort tepi pantai ini menawarkan 9 jenis penginapan yang sesuai samaada untuk mereka yang bercuti secara solo ataupun bersama keluarga yang besar. Selain itu, resort ini juga mempunyai pelbagai kemudahan & fasiliti menarik untuk anda yang nak adakan aktiviti seperti family day, team building, seminar, kursus syarikat & sebagainya.

Resort ini juga mempunyai kolam renang tepi pantai yang menarik & cantik untuk kegunaan pengunjung. Bagi yang malas nak mencari operator yang menyediakan aktiviti outdoor menarik di luar, anda juga boleh berurusan dengan pihak hotel untuk mengaturkan pelbagai aktiviti sekitar Cherating samaada aktiviti di laut mahupun di darat.

Harga Hotel | Peta Lokasi | Jarak | 609-5847000 | Facebook | Instagram | Website

  • Jln Kuantan – Kemaman, Kampung Pak Siah, 26080 Kuantan, Pahang

  • Destinasi penginapan


25. Kelip-kelip Sungai Yah Yah

kelip kelip sungai yah yah kemaman

  • Info
  • Alamat
  • Waktu Operasi
  • Harga Tiket

Aktiviti ini sebenarnya anda boleh cuba di Sungai Cherating yang kebiasaannya pengusaha hotel boleh menguruskan bagaimana nak kesana. Selain di Sungai Cherating, satu lain tempat yang juga menarik untuk melihat kelip-kelip adalah di Kampung Yah Yah, di Sungai Kemaman yang hanya bersebelahan dengan Zoo Kemaman.

Pengunjung boleh merasai pengalaman melihat kelip-kelip di Sungai Yah Yah yang beroperasi antara 8.00 malam sehingga 10.00 malam. Kelip-kelip di sini memang banyak mengerumuni pokok-pokok di sepanjang sungai dan kebiasaannya membiak antara bulan Julai – Oktober.

Hotel Terdekat | Peta Lokasi | Jarak | 609-8596644 | Facebook | Instagram | Website

Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman,
Majlis Perbandaran Kemaman,
24000 Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Waktu Operasi Kelip-Kelip Sungai Yah Yah

  • 8.00 pm – 10.00 pm

*jangkasamasa 30 minit

Harga Tiket Kelip-Kelip Sungai Yah Yah

Warganegara

  • Dewasa: RM 15.00
  • Kanak-Kanak: RM 10.00

Pelancong Luar

  • Dewasa: RM 25.00
  • Kanak-Kanak: RM 15.00

*Boleh berurusan dengan pihak Taman Rekreasi & Zoo Kemaman


Shopping di Kemaman tidaklah semeriah di KL. Sekiranya anda sekadar nak membeli belah pakaian dan baju biasa, bandar Kemaman mempunyai beberapa destinasi tempat shopping seperti di Kemaman Centre Point dan Pasar Casa Limbong. Kemaman Centre Point merupakan shopping mall yang agak lama dan menempatkan pelbagai shoplot yang menjual pakaian, tudung dan barangan kraftangan.

Pada musim raya memang di sinilah orang Kemaman akan datang untuk membeli belah baju raya. Casa Limbong pula konsepnya lebih kepada pasar seperti di Pasar Kedai Payang namun ianya tidaklah terlalu besar. Ada beberapa deretan lot kedai yang juga menjual pakaian wanita, tudung, selipar dan baju kanak-kanak.

Kalau anda ingin menonton wayang pula, tempat terdekat ialah di Mesra Mall yang terletak di Kertih. Jarak perjalanan dari Cherating sekitar 40-45 minit. Mesra Mall merupakan shopping mall satu tingkat yang lebih moden dan menawarkan shoplot dengan fesyen yang lebih terkini. Di sini juga terdapat foodcourt yang mempunyai pilihan makanan yang tidak kurang menariknya. Kalau hari hujan ketika anda bercuti di Cherating, bolehlah juga bawa keluarga ke sini untuk main bowling bersama & menonton wayang.

Pilihan kedua untuk membeli belah adalah untuk terus ke Bandar Kuantan yang terletak kira-kira juga 30-40 minit memandu dari Pantai Cherating. Pilihan shopping mall, hiburan keluarga dan sebagainya lebih banyak di sini.

Cari Hotel di Cherating

Semoga cadangan aktiviti & tempat menarik di Cherating dan Kemaman ini memberi anda seribu satu idea untuk memenuhi jadual percutian anda di sini. Selamat cuti cuti Malaysia di Cherating, Pahang. Wassalam.

4.7/5 - (54 votes)

Anda Mungkin Berminat

12 Tempat Penginapan TERBAIK di Cherating – Cantik-Cantik Belaka

Pantai Cherating merupakan antara tempat pelancongan yang sangat popular terletak di pantai timur Malaysia. Cherating terletak di Kuantan, Pahang dan lokasinya yang berhampiran dengan...

4 KOMEN

Subscribe
Notify of
guest

4 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Rizal Reetz
Rizal Reetz
4 years ago

Perkongsian yg terbaik!! Sy Rizal dari Ampang & Kebetulan harini sy sdg bercuti di Erya by eyrasuria Cherating.. tetiba teringin & sdg mencari telur penyu sbb ngidam.. tp x jumpa huhuhu.. klu ada roger sy 011-1550 2505

Ab Aziz Muhammad
Ab Aziz Muhammad
4 years ago

Nice info.cuma no 15. Casa Titik bukan casa itik

John snake
John snake
5 years ago

Sekarang tgh bercuti di cherating.. boleh la explore tmpt2 yg dicadangkan dlm blog nii.. thks blogger..

Dhon
Dhon
7 years ago

Bagus blog ni..xda nak cite poyo2..goodjob

Hubungi Kami

4
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x