Rumah Terbalik Melaka – Tempat Menarik di Melaka yg BEST

Salah satu tempat menarik di Melaka yang terbaru yang kini menjadi pilihan pelancong untuk merasai sendiri keunikan berada di dalam satu situasi yang ‘pelik tapi benar’ iaitu di Rumah Terbalik Melaka (upside down house).

Di Malaysia terdapat beberapa galeri rumah terbalik sebegini seperti di Johor, Tamparuli di Sabah dan Port Dickson di Negeri Sembilan. Rumah Terbalik ini (upside down house) tidaklah sebesar muzium lain di Melaka namun mempunyai ruangan dan dekorasi yang sangat menarik untuk dilawati bersama kawan-kawan atau keluarga.


Apa yang ada di dalam Rumah Terbalik di Melaka

rumah terbalik melakaRumah Terbalik Melaka ini dibuka secara rasmi pada 21 November 2014 dan masih belum sampai setahun beroperasi. Namun oleh kerana tarikannya yang unik dan menyeronokkan, destinasi ini terus menjadi kunjungan pelancong setiap kali musim cuti sekolah dan pada hujung minggu.

Konsepnya seperti namanya, semua benda dalam rumah ini dibina dalam keadaan tunggang terbalik (upside down). Dan kalau diambil gambar dari posisi terbalik gambar anda akan kelihatan pelik dan boleh ditakrifkan kepada macam-macam situasi yang menarik samaada seperti Spiderman, walk on the moon,zero graviti floating dan sebagainya.

Dari luar bangunan, ianya tidaklah kelihatan terbalik dan lebih tepatnya, hanya perkakasan dan hiasan dalaman yang kelihatan terbalik. Sebaik masuk ke dalam, anda boleh melihat ruang tamu sebuah rumah dengan perabot dan hiasannya dalam keadaan tunggang terbalik.

Samaada sofa, meja makan, meja hiasan, tandas, mangkuk jamban, katil, meja mekap dan sekecil-kecil gelas semuanya dalam keadaan terbalik. Bagi yang belum pernah melawat ke mana-mana rumah terbalik pasti terasa sedikit pening dengan keadaan sebegini, tetapi menyeronokkan.

galeri rumah terbalik di melakaSejak dibuka, banyak pelancong dalam dan luar negara yang datang ke sini untuk melihat sendiri keunikannya. Ada yang datang bersama rombongan sekolah/universiti dan tidak kurang juga pengantin baru yang datang ke sini untuk photoshoot dengan menggayakan pakaian persandingan masing-masing.

Kalau datang ke sini pastikan anda ambil gambar dari posisi yang betul bagi menampakkan ianya dalam keadaaan terbalik.

Anda boleh rujuk gambar-gambar di dalam video di bawah bagaimana pengunjung-pengunjung yang pernah photoshoot di Rumah Terbalik Melaka dalam aksi yang kreatif dan menarik. Adalah idea sikit macam mana nak beraksi bila dah sampai di sini kelak. Lihat video menarik daripada faza faizah untuk destinasi ini.


Harga Tiket Rumah Terbalik Melaka

Sejak pelancaran November 2014 lalu, tiket promosi yang ditawarkan sehingga akhir tahun 2014 atau penghabisan cuti sekolah hanya RM 13.50 untuk dewasa dan RM 9 untuk kanak-kanak. Harga tersebut adalah selepas 10% potongan daripada harga asal.

Harga asal tiket untuk ke Rumah Terbalik Melaka ini adalah seperti berikut:

  • Dewasa : RM 15 seorang
  • Kanak-kanak (<12 tahun): RM 10 Seorang
  • Warga emas (>60 tahun): RM 10 seorang
  • OKU: potongan 50% daripada harga asal
  • Kanak-kanak rendah <90cm: Percuma

Pengunjung boleh dapatkan tiket di kaunter tiket di pintu masuk hadapan sini.


Lokasi, alamat dan waktu operasi Melaka Upside Down House

harga tiket rumah terbalik melakaLokasi Rumah Terbalik Melaka – Terletak di Bandar Hilir Melaka dan tidak jauh dari Menara Taming Sari Melaka. Yang lebih tepat ianya terletak di deretan bangunan rumah kedai 2 tingkat di belakang Hotel Seri Costa. Sekiranya anda menggunakan Waze anda boleh terus mencari Upside Down House Melaka ataupun menggunakan Hotel Seri Costa sebagai rujukan. Rujuk koordinat GPS di dalam peta di bawah.

Waktu operasi:
Isnin – Khamis: 10.00 am – 6.00 pm
Jumaat – Ahad/Cuti umum/cuti sekolah : 10.00 am – 9.00 pm

Alamat Penuh G12 & G14, Jalan PM 7, Plaza Mahkota, Bandar Hilir Melaka, Melaka
No Telefon: 011-1072 2260

Memang seronok datang ke Rumah Terbalik Melaka sambil bergelak ketawa dengan kawan-kawan dan keluarga. Kalau datang pada hujung minggu atau waktu cuti sekolah kenalah sabar sedikit sebab ramai orang terutamanya ketika nak beli tiket dan juga menunggu giliran untuk masuk.

Bilangan untuk masuk ke dalam galeri Rumah Terbalik Melaka ini untuk sesuatu masa adalah terhad kerana ruangnya tidaklah begitu besar dan juga bertujuan untuk memberi keselesaan pengunjung untuk bebas bergerak dan mengambil gambar.

Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan promosi harga tiket pada musim cuti sekolah atau perkembangan terkini Rumah Terbalik di Melaka ini, sila rujuk di fanpage rasmi mereka.

3 Komen

  1. upside down 22 Okt, 2016
  2. Hamidi 28 Mei, 2016
  3. Noriza Rahman 17 Sep, 2015

Sila Komen

Tawaran Hotel di Melaka hari ini>>SEMAK HARGA<<

Sila SHARE