Pinjaman Peribadi, Loan 10K, dapat 10K!

Promo Raya dgn Kadar Terendah!

Taman Negara Pahang – 10+ Aktiviti Menarik yg KENA Cuba

Taman Negara merupakan satu tempat percutian di Pahang yang popular dan merupakan hutan simpan terbesar di Semenanjung Malaysia. Bercuti ke sini pasti menjanjikan aktiviti yang mencabar dengan tarikan alam flora dan fauna yang berusia lebih 150 juta tahun yang pasti membuatkan pelancong terpukau dengan keindahannya.

Pengunjung boleh ke Taman Negara Pahang ini sama ada melalui jalan darat ataupun merasai pengalaman menaiki bot menyusuri Sungai Kuala Tembeling. Perjalanan dengan bot sememangnya satu pengalaman yang lebih menarik untuk Taman Negara di Pahang ini dan kebiasaannya mengambil masa sehingga 3 jam lamanya.


Aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Taman Negara

1. Titian Kanopi

canopy walkway taman negara

Kalau datang ke Taman Negara jangan tak mencuba satu aktiviti menarik di sini yang paling popular iaitu menyusuri Titian Kanopi. Titian Kanopi ini merupakan yang paling tinggi dan juga yang terpanjang di dunia. Jarak keseluruhannya menjangkau 500 meter dan tergantung lebih kurang dalam 45 meter dari permukaan tanah.

Jom Baca: Senarai Padat Tempat Menarik di Pahang

Fakta yang  menarik tentang Titian Kanopi Taman Negara ini ialah, ianya dibina tanpa menggunakan sebatang paku dan hanya menggunakan teknik yang tidak mendatangkan kecederaaan kepada pokok-pokok besar di sini. Memang nampaklah yang mereka menitikberatkan pelindungan hutan simpan ini.

Bayaran: Rm 5 (dewasa), RM 3 (kanak-kanak)

2. Rapids Shooting

pakej aktiviti taman negara

Satu aktiviti menarik di Taman Negara yang mesti cuba dan sangat unik. Aktiviti ini kalau nak disenangkan ceritanya, pengunjung akan menaiki bot dan berlumba antara satu sama lain. Anda akan menyusuri sungai melawan arus dengan menaiki bot kayu panjang dan ‘cucuk-cucuk himpit-himpit’ antara bot sehingga basah penumpangnya, sememangnya satu pengalaman yang menyeronokkan. Anda jangan risau kerana ada jaket keselamatan yang anda perlu pakai agar anda tak lemas kalau-kalau terjatuh dalam sungai.

Kalau datang ke Taman Negara bersama rakan pejabat untuk hari keluarga dan team building, pastikan anda mencuba aktiviti ini! Jangan lupa untuk membawa beg plastik untuk elakkan telefon dan kamera basah. Anda pasti akan berasa teruja menaiki bot laju ni nanti.

Bayaran: bermula dari RM 180 per bot (12 orang masima)

3. Perkampungan Orang Asli

Salah satu perhentian kalau menaiki Rapids Shooting ialah di sebuah perkampungan orang asli yang terletak tidak jauh dari tebing sungai. Di sini pengunjung boleh melihat sendiri satu komuniti orang asli yang masih mengekalkan cara hidup ala-ala orang purba begitu. Kaum orang asli di sini dipanggil kaum Bateq dan mereka ni telah lama hidup secara nomad ataupun berpindah randah.

Yang paling seronok di sini, anda dapat mempelajari teknik-teknik menghidupkan api tanpa mancis dan dapat cuba menyumpit. Bagi yang tak tahu tu, menyumpit merupakan salah satu cara untuk memburu haiwan bagi dijadikanan juadah makan harian. Memang best melakukan aktiviti-aktiviti survival ni sambil melihat telatah kanak-kanak di sini dan mengenali budaya kehidupan orang asli dengan lebih dekat!

Bayaran: RM 5 sekepala

4. Eksplorasi Hutan

ekplorasi hutan

Memang tak sah kalau datang ke Taman Negara kalau tak mencuba aktiviti menyusuri denai-denai hutan. Di sini ada kemudahan plaform dan denai jalan kaki khas untuk memudahkan pengunjung untuk meredah hutan serta melihat keindahan flora dan fauna. Anda hanya perlu ikut je laluan yang dah disediakan agar mudah untuk anda pergi dan juga balik. Lagipun dapat elak daripada sesat di dalam hutan belantara yang penuh misteri ini.

Ketika masuk hutan tu ingat untuk sentiasa berwaspada akan hidupan di dalam hutan yang sukar dijangka kedatangannya ini. Anda juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga kebersihan hutan agar dapat mengekalkan kelestarian hutan simpan yang menjadi rumah kepada pelbagai spesis flora dan fauna. Ingat bila masuk hutan tu jaga mulut dan jangan cakap perkara yang bukan-bukan.

5. Kembara Gua

gua taman negara

Satu lagi aktiviti mencabar yang boleh anda lakukan di sini ialah meneroka gua. Terdapat beberapa gua di Taman Negara yang menjadi kunjungan pelancong seperti Gua Telinga dan Gua Jinjang Pelamin. Gua Telinga terletak tidak jauh dari Taman Negara dan pengunjung perlu menaiki bot menyusuri sungai untuk sampai di sini. Gua ini diberi nama Gua Telinga kerana bentuknya seakan-akan telinga manusia. Anda diingatkan agar sama-sama membantu dalam memelihara kebersihan gua-gua batu kapur di Taman Negara ini.

Sebaik sampai di tebing sungai, pengunjung perlu meredah hutan sekitar 30-40 minit sebelum sampai di pintu masuk Gua Telinga. Di dalam gua ini permukaannya agak licin dan basah serta memerlukan tahap stamina dan ketangkasan kalau bercadang nak masuk. Memang banyak kelawar yang besar-besar di sini. Anda juga boleh menjumpai beberapa spesis hidupan yang tinggal di dalam gua ini selain daripada kelawar seperti katak, labah-labah dan ular.

6. Lawatan ke Lata Berkoh

lata-berkoh

Di Taman Negara terdapat beberapa lokasi air terjun yang menarik dan salah satunya di Lata Berkoh. Air terjun di sini memang sangat mencabar dan tidak digalakkan untuk anak-anak kecil. Airnya dalam dan pengunjung boleh menyelam dan spa percuma dengan menadahkan badan di aliran air terjun yang deras. Jadi, anda diingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan arus deras serta batu-batuan yang licin.

Lata Berkoh merupakan salah satu lokasi di taman negara Pahang yang anda boleh pergi untuk merasai keindahan alam semulajadi yang menenangkan. Anda boleh ke sini dengan meredah hutan daripada Kuala Tahan ataupun nak lebih cepat, anda boleh naik bot yang menelan masa 20 minit sahaja. Biasanya orang akan naik bot kerana pengalaman menaiki bot meredah sungai yang deras ini sangat mengujakan. Akan tetapi, bot akan berhenti lebih kurang 1 km sebelum sampai ke sini kerana keadaan sungai yang berbatu. Jadi, anda perlu berjalan lebih kurang 10 minit.

Bayaran: Bermula daripada RM160 per bot (4 orang maksima)

7. Lawatan ke Santuari Ikan Kelah

santuari ikan kelah

Di sini terdapat sebuah tempat pemuliharaan ikan kelah di Lubuk Tenor dan yang menariknya, ikan-ikan di sini sangat jinak. Pengunjung boleh merasai pengalaman memberi makan ikan ini dan berenang bersama mereka. Satu tarikan di Taman Negara yang unik untuk kerana dapat snorkeling bersama dengan ikan-ikan sungai yang besar-besar saiznya sehingga ada yang seberat 12-15 kg. Namun pengunjung tidak dibenarkan untuk memancing. Memang agak menyeramkan juga pengalaman ini kerana ikan yang besar-besar. Anda yang takut tu boleh cuba masuk perlahan-lahan.

Bayaran: Bermula daripada RM 160 per bot (4 orang maksima)

8. Bermalam di Bumbun

Taman Negara Kuala Tahan ada menyediakan kemudahan yang menarik untuk pengunjungnya iaitu bumbun yang boleh digunakan untuk melihat haiwan yang lalu lalang. Bumbun merupakan rumah atau pondok kecil yang boleh digunakan untuk mengintai kehadiran haiwan berhampiran. Antara haiwan yang anda mungkin akan bertuah untuk mengintai ialah tapir, rusa, landak, harimau dan macam-macam lagi. Ianya memang satu pengalaman yang berbeza yang sukar nak dapat di tempat lain. Anda juga boleh bermalam di bumbun untuk menunggu kehadiran haiwan-haiwan yang mungkin akan lalu di kawasan sekitar ini.

Bayaran: RM 5 satu malam bergantung kepada jenis bumbun

9. Memancing

Bagi kaki-kaki pancing, walaupun anda tak dapat memancing di Lata Berkoh, anda boleh ke Sungai Keniam untuk memancing ikan Kelah dan ikan Kelah Merah. Bukan mudah tau nak tangkap ikan ini lagi-lagi spesis merah. Mereka ni susah sikit nak makan umpat. Biasanya pamancing akan menggunakan umpan dari sawit peram untuk menggoda ikan tersebut. Bagi yang tak tahu, ikan Kelam Merah memang agak susah nak dapat. Jadi kalau anda berjaya dapat, anda mampu menjualnya pada harga yang tinggi. Jangan lupa untuk bayar permit masuk Taman Negara dan permit memancing dulu.

Bayaran: Permit memancing RM 10 per joran

10. Berkhemah

khemah

Di Taman Negara Pahang ni anda juga boleh datang untuk berkhemah dan meluangkan masa di dalam hutan. Aktiviti ni boleh dilakukan di tapak perkhemahan yang disediakan oleh pihak mereka. Anda jangan sesuka hati je pacak khemah di hutan simpan ini kerana hanya kawasan tertentu sahaja dibenarkan untuk berkhemah. Maklumlah, hutan ni kan luas terbentang jadi sudah tentu bahaya. Sambil berkhemah tu bolehlah anda buat bbq dan makan-makan bersama geng anda. Kalau nak buat unggun api juga boleh sambil-sambil bakar marshmallow ke kan.

Ada beberapa tapak perkhemahahan yang anda boleh pilih. Ada yang berdekatan dengan sungai dan restoran. Ada juga yang berdekatan dengan jeti Titian Kanopi. Tapak-tapak perkhemahan di sini dilengkapi dengan tempat mandi dan juga tandas. Memang selesa je kalau anda berkhemah di sini. Malam-malam mesti akan dengan bunyi cengkerik. Kalau dengan bunyi mengilai tu jangan risau, tu bunyi burung je.

Bayaran: RM 1 seorang bagi tapak perkhemahan kecuali yang diuruskan oleh Mutiara Resort berharga RM 5 seorang

11. Mendaki Gunung Tahan

gunung tahan

Gunung Tahan merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia yang memerlukan masa lebih kurang 7 hari untuk ditawan. Bukan sahaja gunung ini tinggi, malahan laluannya juga memang mencabar. Bagi kaki-kaki mendaki bolehlah mencabar diri dengan menawan Gunung Tahan ni. Kalau nak pergi mendaki, anda diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan pemandu arah dan tidak boleh sama sekali mendaki tanpa pemandu arah yang tahu selok belok gunung ini. Kalau bukit kecil pun orang boleh sesat, ni pulak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia. Anda disyorkan untuk datang pada bulan Mac hingga Ogos kerana mereka akan tutup pada musim monsun iaitu pada November hingga Januari.

Bayaran: Perkhidmatan pemandu arah bermula dari RM 1200 untuk maksimum 10 orang.

12. Pemerhatian Burung

pemerhatian burung

Memang ada banyak spesis burung liar yang wujud di dalam hutan ini. Terdapat kira-kira 479 spesis burung yang telah dikenal pasti tinggal di sini. Anda boleh membawa teropong untuk memerhati burung-burung yang ada kalau anda bernasib baik untuk jumpa. Ianya memang bergantung kepada nasib anda kerana mereka bukanya bertengek di satu tempat yang sama setiap hari. Dikatakan bulan Mei sehingga Ogos adalah bulan terbaik untuk melihat burung mungkin kerana bukan musim hujan.

Selain itu, anda juga boleh menangkap gambar burung yang ada di sini serta haiwan-haiwan lain. Akan tetapi anda memerlukan permit untuk membawa kamera. Permit tak mahal pun untuk satu kamera.

Bayaran: RM 5 per unit kamera

13. Restoran Terapung

restoran terapung

Antara yang uniknya di Taman Negara ini, pengunjung boleh merasai pengalaman makan pagi, makan tengah hari dan makan malam di restoran-restoran terapung yang menawarkan pelbagai hidangan masakan. Dan yang paling menarik di sini sudah tentu masakan ikan sungai yang segar dan sedap dari Sungai Pahang seperti ikan patin, jelawat dan sebagainya. Harus beringat, kalau nak mencuba ikan sungai di sini, tanya dahulu harganya sebab ikan sungai yang ditangkap di Sungai Pahang boleh mencecah ratusan ringgi untuk satu kg. Ikan di sini memang segar-segar belaka kerana ikanya baru ditangkap. Rasa memang manis isi ikan ni. Harga makanan juga boleh dikatakan murah juga.

Restoran-restoran ni bukanlah terapung di tengah sungai yang dalam pun. Ianya terapung di sungai cetek dan berhampiran dengan tebing. Anda memang tak perlu risau nak makan di sini kalau anda mabuk laut. Tapi ada kalanya restoran di ini tutup jika paras air sungai meningkat.


Penginapan di Taman Negara Pahang

Mutiara Taman Negara Resort

mutiara resort

Salah satu penginapan yang paling popular di sini ialah di Mutiara Taman Negara Resort. Manataknya, resort ini menjanjikan pengalaman yang pasti dapat memuaskan hati anda. Bilik-bilik yang disediakan mereka memang bersih dan cantik malah cukup luas juga. Staf mereka juga sangat peramah dan sentiasa melayan pertanyaan pelanggan. Dahlah memang dalam hutan yang memang memberikan udara segar kepada pelanggan. Anda juga berpeluang melihat haiwan lalu lalang terutama sekali burung-burung yang menjadikan hutan ini rumah mereka. Rata-rata pelanggan yang menginap disini memang berpuas hati dengan pengalaman yang mereka dapat.

Anda yang datang bersama kumpulan besar memang patut tidur di sini kerana mereka menyediakan penginapan yang boleh menempatkan kumpulan yang besar juga. Kalau nak melakukan aktiviti hari keluarga serta team building pun boleh juga buat di sini. Untuk makan, mereka ada menyediakan bufet yang sedap-sedap belaka. Mereka juga ada menyediakan perlbagai pakej di laman web Mutiara Taman Negara.

Danz Eco Resort

danz eco resort

Menginap di Danz Eco Resort pasti akan memberikan ada satu pengalaman baru yang menarik. Mereka ni terkenal dengan penginapan capsule yang sangat cantik dan lain dari lain. Walaupum dari luar macam nampak pelik, tapi di dalamnya memang macam dalam hotel je. Dikelilingi denga rumput hijau, campsule ini memberi bayangan yang ianya sebahagian daripada alam semula jadi. Kalau dapat tangkap gambar di sini memang cun lah tu.

Mereka juga ada je penginapan lain yang turut menarik perhatian dan cantik-cantik belaka. Antara yang anda boleh buat ialah berkhemah dan glamping. Glamping ni macam berkhemah cuma lebih selesa kerana ada katil dan tilam. Penyejuk udara dan kipas juga turut diberikan.


Permit ke Taman Negara Pahang yang WAJIB beli

Nak masuk ke dalam Taman Negara ini kena ada permit dan kosnya cuma RM 1 seorang. Permit ini boleh didapati di Kaunter Penerangan Pelancongan yang tidak jauh dari sini. Begitu juga kalau nak bawa kamera, pengunjung perlu dapatkan permit di sini dan harga untuk satu kamera cuma RM 5 dan kalau anda nak memancing di Taman Negara, harga permit dalam RM 10 per joran. Memang tak mahal pun bayaran untuk masuk ke Taman Negara ini kerana ianya satu usaha kerajaan dalam menggalakkan eco-pelancongan di Malaysia.


Cara ke Taman Negara Pahang

Jalan Air

Bagi anda yang nak tahu cara ke Taman Negara ni, anda sebenarnya boleh memilih untuk menggunakan jalan air ataupun jalan darat. Jika melalui jalan air, anda boleh ke Jeti Kuala Tembeling yang terletak lebih kurang 16 km daripada bandar terdekat iaitu Bandar Jerantut. Kemudian, dari sana, anda akan mengambil bot menyusuri Sungai Tembeling. Perjalanan mengambil masa dalam 3 jam untuk sampai ke Kuala Tahan.

Bayaran: bermula dari RM 55 seorang sehala

Jalan Darat

Kalau melalui jalan darat pula lagi mudah, anda boleh terus ke Taman Negara Pahang ni. Perjalanan biasanya mengambil masa tak lebih 2 jam dari Bandar Jerantut. Untuk laluan kereta api, anda boleh turun di Stesen Kereta Api Jerantut dan teruskan perjalanan ke Taman Negara menggunakan kereta sewa atau taxi.

Alamat: Taman Negara, 27000, Kuala Tahan, Pahang

Waktu Operasi: Isnin-Sabtu (9.00 am – 5.30 pm); Ahad (9.30. am – 5.30 pm)

Lokasi | Laman Web | Ulasan Pelancong 


Memang sangat seronok dapat lari daripada hutan konrit dan bau asap di bandar kan? Jadi, apa tunggu lagi? Rancanglah percutian anda ke Taman Negara Pahang. Anda pasti takkan menyesal dapat mendekatkan diri dengan alam semulajadi ciptaan tuhan yang tersergam indah ini.

4.8/5 - (53 votes)

Anda Mungkin Berminat

5 Taman Negara di Malaysia BEST & Penginapan Popular

Malaysia mempunyai banyak taman negara dan lebih 30 kesemuanya samaada di darat mahupun di laut/marin. Kebanyakan Taman Negara Malaysia yang popular seperti di bawah turut mempunyai kemudahan...

12 Penginapan Di Taman Negara Bertemakan Alam Yg Best & Menakjubkan

Taman Negara merupakan sebuah destinasi pelancongan yang sering mendapat perhatian daripada pengunjung luar dan dalam negara. Ramai yang memilih tempat yang indah ini sebagai...

2 KOMEN

Subscribe
Notify of
guest

2 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Hussain
6 months ago

Taman Negara is home to a wide range of flora and fauna, including tigers, elephants, rhinos, and many other rare and endangered species. 4. Cultural Experience: Taman Negara is also home to indigenous tribes, such as the Orang Asli, who have lived in the rainforest for thousands of years.

Zulkifli
Zulkifli
5 years ago

Bgmn kalau nak pergi cara berkumpulan dlm 30 org. Maksudnya dari segi aktiviti, makan dan penginapan.

Hubungi Kami

2
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x