Pinjaman Peribadi, Loan 10K, dapat 10K!

Promo Raya dgn Kadar Terendah!

Top 10 Tempat Menarik di Kluang yg Patut Dikunjungi

Kluang adalah salah sebuah daerah yang ada di Johor. Daerah Kluang bersempadan dengan Segamat di utara, Batu Pahat di barat dan Mersing di timur. Sempadan selatan daerah Kluang pula adalah Pontian, Kulai dan Kota Tinggi. Sebagai daerah tengah, ia bersempadan dengan kebanyakan daerah di Johor. Walaupun Kluang adalah daerah yang kecil tetapi banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi jika anda datang ke sini. Daripada tempat menarik di bandar kluang, alam semula jadi hinggalah restoran-restoran yang popular di Kluang pun ada. Jika anda sedang mencari tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati di Kluang, anda boleh ikuti senarai di bawah.

Top 10 Tempat Menarik di Kluang yg Patut Dikunjungi


1. Kluang Street Art @ Kampung Masjid Lama

KLUANG STREET ART
credit: @crimescenevegas

Kalau dah namanya ‘street art’ mestilah lorong-lorong belakang di situ dipenuhi dengan hasil-hasil seni yang dilukis oleh pelukis tempatan yang berbakat. Kalau anda datang ke Kluang, anda wajib singgah kesini kerana Kluang Street merupakan salah satu tempat tarikan pelancong. Rugi jika anda tidak singgah ke sini. Apa yang menariknya, hasil seni di sini juga bukanlah lukisan biasa tetapi ianya lukisan 3D. Memang sangat mengujakan. Pelukis juga memanfaatkan paip-paip atau wayar-wayar di belakang lorong sebagai ‘props’ dalam lukisan mereka. Ianya adalah tindakan yang sangat kreatif dan lukisan-lukisan di situ nampak lebih realistik.

Tambahan pula, anda juga akan melihat lebih 100 meter lukisan yang ada di kiri dan kanan dinding sepanjang lorong ini. Bukan sahaja di dinding malah pelukis-pelukis juga ada membuat lukisan 3D di tengah-tengah jalan lorong tersebut. Lukisannya pula sangat realistik dan sangat cantik kalau kita tangkap gambar disitu. Disebabkan ianya lukisan di lorong yang panjang, jadi ianya tidak sesak dengan orang ramai dan selamat untuk kanak-kanak kerana tiada kenderaan yang akan lalu lalang disitu. Selain daripada lukisan yang cantik, ada juga beberapa cafe yang dibuka di belakang lorong dan mereka menyajikan pelbagai jenis kopi dan hidangan pencuci mulut yang lain. Bolehlah anda melihat lukisan-lukisan mural sambil menikmati kopi yang dibeli di kafe tersebut.

Alamat: 25, Jalan Merdeka, Kampung Masjid Lama, 86000 Kluang, Johor

Lokasi | Ulasan Pelanggan


2. Laman Kreatif Kluang @ Kampung Masjid Lama

LAMAN KREATIF KLUANG

Selain daripada Kluang Street Art, Laman Kreatif Kluang juga merupakan salah satu galeri seni yang ada di lorong belakang. Kedua-dua tempat ini berdekatan sahaja, jadi kalau anda sudah pergi ke Kluang Street Art, singgahlah ke Laman Kreatif Kluang sekali. Sama seperti Kluang Street Art, lukisan daripada pelukis berbakat memenuhi dinding kiri dan kanan lorong tersebut. Memang sangat sesuai untuk membawa anak-anak datang ke sini kerana mereka boleh melihat lukisan-lukisan pelukis tempatan yang hebat-hebat.

Selain itu, Laman Kreatif Kluang juga sesuai untuk mereka yang suka tangkap gambar dan upload di media sosial kerana ianya memang sangat instagrammable worthy. Lukisan disini juga bukanlah lukisan biasa, ada juga beberapa lukisan 3D yang sangat kreatif. Sangat berbaloi untuk berjalan-jalan di sepanjang lorong untuk melihat mural-mural yang ada. Bukan sahaja dinding, malah di jalan pun ada lukisan mural. Sangat mengujakan untuk berjalan di atas lukisan 3D tersebut. Laman Kreatif juga tidak mempunyai waktu beroperasi. Ianya terbuka untuk orang ramai dan boleh masuk secara percuma.

Alamat: 1956, Jln. Dato Kaptain Ahmad, Kampung Masjid Lama, 86000 Kluang, Johor

Lokasi | Ulasan Pelanggan


3. The Original Kluang RailCoffee @ KTM

KLUANG RAIL COFFEE

Kluang Rail Coffee adalah sebuah kedai kopitiam kereta api di Kluang. Ianya mula beroperasi pada tahun 1938 dan sudah beroperasi hampir 85 tahun. Disebabkan Kluang Rail Coffee telah beroperasi dalam jangka masa yang lama, kedai ini telah memasuki Malaysia Book of Record sebagai kedai kopitiam kereta api yang tertua di Malaysia. Selain daripada kedainya di KTM, Kluang Rail Coffee juga mempunyai cawangan lain di Kluang seperti di Jalan Duku, Jalan Tasik, Sri Impian dan Kluang Perdana. Jadi, anda boleh pergi ke mana-mana cawangan yang berdekatan dengan anda.

Selain di Kluang, Johor, Kluang Rail Coffee juga telah membuka cawangan baru di Lembah Klang iaitu di Plaza Shah Alam. Jadi, kalau anda berada jauh dari Johor atau anda tinggal di kawasan Lembah Klang tetapi teringin nak rasa kopi asli dari kedai ini, anda boleh pergi ke Kluang Rail Coffee, Plaza Shah Alam. Kalau anda tertanya-tanya tentang jenis kopi yang dihidangkan dan terkenal disini ianya ialah kopi hainan yang diperbuat daripada kacang Liberica tempatan. Menu sarapan pagi yang terkenal disini pula ialah Roti Bakar iaitu roti yang dibakar selepas disapu dengan butter dan kaya. Kayanya pula dibuat menggunakan resipi tradisional Hainan. Sememangnya kedua-dua hidangan ini adalah pelengkap untuk hidangan sarapan pagi anda.

Menu lain yang dihidangkan disini pula ialah Nasi Lemak, Mee Kari dan banyak lagi. Memang sesuai untuk anda yang suka makan makanan berat pada waktu pagi. Walaupun kedai ini diusahakan oleh orang yang berketurunan cina, anda tidak perlu risau kerana kedai ini telah mendapat sijil Halal daripada JAKIM. Bagi anda yang berminat untuk datang ke kedai Kluang Rail Coffee di KTM ini, ianya dibuka setiap hari kecuali hari Isnin dan dibuka dari pukul 7 pagi hingga 6 petang. Waktu operasi untuk cawangan lain pula adalah berbeza-beza, jadi anda boleh menyemak sendiri di Facebook rasmi mereka untuk melihat waktu operasi setiap cawangan. 

Alamat: KTM, Jalan Station, 86000 Kluang, Johor

Lokasi | Facebook | Ulasan Pelanggan


4. Kluang Coffee Powder Factory Sdn Bhd @ Kampung Yap Tau Sah

KLUANG COFFEE FACTORY

Kalau anda peminat kopi, anda wajar datang kesini. Walaupun ianya hanya sebuah kilang kopi tetapi ianya telah menjadi tarikan kepada mereka yang datang ke Kluang. Apa yang bestnya, anda boleh melihat proses pembuatan kopi tempatan. Ianya satu aktiviti yang menyeronokkan bagi mereka yang berminat untuk mengetahui cara pembuatan kopi.

Jika anda sudah penat berjalan, bolehlah anda singgah ke kafe mereka. Kluang Coffee Powder Factory mempunyai sebuah kafe yang menyediakan kopi putih dan biskut kering percuma kepada pelanggan yang datang ke sini. Jadi, anda boleh merasai kopi buatan yang asli jika anda tertanya-tanya tentang rasanya.

Selain daripada kopi, Kafe ini juga ada menyediakan pelbagai jenis pencuci mulut yang lain seperti kek dan waffle. Sebelum pulang, anda patut singgah ke kedai cenderahati bersebelahan dengan kafe. Kedai cenderahati ini menjual pelbagai jenis kopi daripada biji kopi, serbuk kopi hinggalah kopi 3 in 1 pun ada. Jangan lepaskan peluang untuk membeli kopi-kopi yang segar daripada kilang. Anda juga tidak perlu risau kerana produk-produk kopi disini telah mendapat sijil Halal daripada Jakim. Jika anda berminat untuk datang ke sini, kilang ini dibuka setiap hari dari pukul  8.30 pagi hingga 5:30 pagi.

Alamat: 76, Jalan Besar, Kampung Yap Tau Sah, 86000 Kluang, Johor

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelanggan


5. Kluang Mall @ Taman Suria

KLUANG MALL

Walaupun Kluang adalah bandar yang kecil tetapi ianya masih mempunyai sebuah shopping mall yang agak besar. Kluang Mall bukanlah pusat beli-belah yang terbiar atau tiada pengunjung kerana anda masih akan melihat ramai orang yang datang ke sini untuk berjalan-jalan dan membeli barang keperluan. Pusat beli-belah 4 tingkat di Kluang ini masih mampu menawarkan anda pelbagai pilihan barangan dan masih relevan untuk masa kini. Masih banyak kedai-kedai fesyen di pusat beli-belah ini seperti Brands Outlet, Uniqlo, H&M, Cotton On, PDI, Hush Puppies, Al-IkhsaN dan banyak lagi.

Kluang Mall juga mempunyai banyak pilihan kedai makan. Contohnya Dubuyo, Marrybrown, Mr.Dakgalbi, Secret Recipe, Pizzahut, Sushi King, Boat Noodles, Chicken Rice Shop, Subway, KFC dan banyak lagi. Pasti anda susah untuk membuat pilihan untuk makan di mana jika anda datang ke sini. Selain daripada itu, ada juga beberapa kedai makanan ringan yang popular seperti Aunties Anne’s, llaollao, Big Apple, Baskin Robbins, Boost, Hot & Rolls, Starbucks, Chatime dan banyak lagi.

Bukan kedai fesyen dan restoran sahaja malah beberapa pusat hiburan pun ada. Contohnya seperti GSC Cinemas, Ampang superbowl dan mini arcade. Bolehlah anda meluangkan masa dengan menonton wayang, bermain bowling anda bermain permainan di arcade. Tambahan pula, Kluang Mall juga mempunyai sebuah pasaraya iaitu Pacific Hypermarket di mana anda boleh membeli barangan keperluan dapur di situ. Antara kedai-kedai lain yang ada di Kluang Mall ialah seperti Mr.DIY, Wellness, Guardians, POPULAR, The Body Shop dan banyak lagi. Kalau anda berminat nak datang ke pusat beli-belah ini, ianya dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Alamat: Jln Rambutan, Taman Suria, 86000 Kluang, Johor

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelanggan


6. Gunung Belumut Kluang

GUNUNG BELUMUT
Credit: Facebook Kasmawati Bahtiar ; Roslan Kassim

Tempat tarikan pelancong di bandar sudah, di pusat beli-belah pun sudah. Seterusnya pula adalah salah satu tempat tarikan pelancong di Kluang yang anda patut singgah bagi anda yang suka mendaki. Ianya adalah Gunung Belumut yang mempunyai ketinggian setinggi 1,010 meter atau 3,314 kaki. Gunung Belumut merupakan salah sebuah gunung yang boleh didaki di Kluang. Rata-rata pendaki mengambil masak 4-6 jam untuk sampai ke puncak manakala 3-4 jam untuk turun dari gunung tersebut.

Semestinya trek laluan untuk sampai ke puncak bukanlah mudah dan ianya sedikit mencabar bagi yang pertama kali ingin mendaki kerana anda perlu menempuh sejauh 11.4 km untuk mendaki dan turun dari gunung tersebut. Anda juga akan melalui 4 checkpoint sebelum sampai ke puncak iaitu Jambatan Gantung, Air Terjun Lata Tengkorak, Batu Kerang dan Bukit Botak. Anda pasti tidak akan kecewa melihat pemandangan dari Gunung Belumut kerana ianya pasti pemandangan yang sangat cantik. Selain daripada pemandangan yang cantik, anda juga akan melihat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang tinggal di hutan.

Untuk anda yang ingin mendaki, anda dinasihatkan untuk membawa jaket atau baju hujan kerana cuaca di puncak gunung agak sejuk dan sentiasa memakai stokin kerana terdapat banyak lintah di trek mendaki. Bagi anda yang berminat untuk mendaki di Gunung Belumut ini, anda memerlukan guide bersama anda dan permit untuk sampai ke puncak.  Selain daripada gunung, anda juga boleh berkhemah di Air Terjun Gunung Belumut. Semestinya pengalaman yang tidak akan mengecewakan anda semasa anda bercuti di Kluang.

Alamat: Gunung Belumut Recreational Forest, Kluang, Johor

Lokasi | Ulasan Pelanggan 


7. Gunung Lambak Kluang

GUNUNG LAMBAK
Credit: Facebook Tourism Johor

Gunung Belumut terlalu mencabar untuk anda? Anda jangan risau kerana Kluang masih mempunyai satu lagi gunung yang kurang mencabar iaitu Gunung Lambak. Sebenarnya, ianya masih mencabar kerana perjalanan untuk mendaki mempunyai banyak cerun-cerun yang curam dan agak mencabar untuk mereka yang tidak mempunyai stamina yang tinggi. Akan tetapi, anda masih boleh cuba untuk mendaki kerana ianya tidak setinggi Gunung Belumut. Gunung Lambak mempunyai ketinggian setinggi 510 meter diatas paras laut atau 1670 kaki dan ianya hanya mengambil masa dalam 2-3 jam untuk sampai ke puncak.

Ada beberapa trek untuk sampai ke puncak dan anda boleh memilih mengikut kesesuaian stamina anda. Anda juga tidak memerlukan permit untuk memasuki tempat ini, jadi anda boleh terus mendaki tanpa perlu risau. Untuk pengetahuan anda, Gunung Lambak bukan sahaja tempat mendaki tapi ianya juga merupakan tempat rekreasi. Banyak kemudahan yang disediakan disini. Contohnya, tempat parking kereta, bangku, taman permainan kanak-kanak, tandas, chalet dan banyak lagi.

Untuk anda yang tidak mahu mendaki pun tidak mengapa kerana anda boleh ke kawasan tempat perkhelahan dengan melalui jambatan kayu yang telah dibina. Ianya akan memudahkan anda untuk menyeberangi tanpa perlu mendaki. Bukan sahaja berkelah tetapi anda juga boleh bercamping disini. Anda pasti terkejut apabila anda mengetahui bahawa gunung ini mempunyai sebuah swimming pool. Sangat menarik, bukan? Sangat sesuai untuk membawa anak-anak mandi-manda disini sambil menikmati alam semula jadi. 

Alamat: Gunung Lambak Recreational Forest, 86000 Kluang, Johor

Lokasi | Ulasan Pelanggan


8. Zenxin Organic Park @ Jalan Batu Pahat

ZENXIN ORGANIC PARK

Masih tidak puas untuk meneroka alam semula jadi? Kalau begitu, anda patut datang  ke Zenxin Organic Park pula. Zenxin Organic Park adalah sebuah ladang organik terbesar di Malaysia yang dibuka untuk orang awam. Mereka menyediakan pelbagai pakej tour untuk anda. Antara highlight tour yang ada ialah Organic Farm Tour, Noodle Master dan Banana Explorer. Organic Farm Tour adalah untuk mereka yang ingin mempelajari tentang pertanian organik dan mengetahui lebih lagi mengenai prinsip pertanian organik. Noodle Master adalah untuk mereka yang ingin cuba membuat mee sayur organik dengan menggunakan cara tradisional.

Banana Explorer pula sesuai untuk mereka yang berminat untuk melawat ladang pokok pisang, mempelajari tentang pisang, menanam pokok pisang, pengalaman membuat kek pisang daripada menguli tepung hinggalah membakar kek tersebut dan merasai milkshake pisang organik yang menyegarkan. Memang sebuah aktiviti yang sangat menyeronokkan untuk dilakukan bersama keluarga dan anak-anak. Sangat bagus untuk membawa anak-anak ke sini kerana ianya membantu perkembangan anak-anak dan menambahkan ilmu pengetahuan tentang tanaman organik.

Selain daripada berjalan-jalan melihat ladang sayur-sayuran organik, anda juga boleh menuai tanaman yang sudah masak. Sebelum pulang, pasti anda mencari buah tangan, bukan? Anda jangan risau kerana Zenxin Organic Farm ada menyediakan Farm Mart di mana anda boleh membeli sayur-sayuran dan produk yang dan organik. Di situ, terdapat pelbagai jenis sayur-sayuran segar yang sedia untuk dibeli. Kalau anda berminat untuk datang ke sini, Zenxin Organic Park dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Alamat: 47A & 47B, Batu 9, Jalan Batu Pahat, Kluang, 86000 Kluang, Johor

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelanggan


9. Cattle Queen Park Kluang

CATTLE QUEEN PARK

Jalan-jalan di bandar sudah, melihat alam semula jadi sudah, melawat ladang sayur-sayuran organik pun sudah. Sekarang, anda patut datang ke Cattle Queen Park. Untuk pengetahuan anda, Cattle Queen Park adalah taman ruminan pertama yang ada di Malaysia dan tempat ini telah memasuki The Malaysia Book of Records. Terdapat pelbagai jenis haiwan ruminan yang ada di sini seperti kambing, lembu, rusa, biri-biri, ayam, ikan, arnab, kerbau dan kuda.

Selain daripada melihat, anda boleh membelai dan memberi makan kepada haiwan-haiwan disini. Memang sebuah aktiviti yang sangat menyeronokkan untuk dilakukan bersama anak-anak. Tiket masuk pula hanya RM20 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak. Setiap tiket masuk sudah termasuk dengan makanan haiwan. Jadi, anda tidak perlu membeli makanan untuk memberi haiwan makan. Selain daripada memberi haiwan makan, anda juga boleh menunggang kuda dan menaiki kereta kerbau.

Cattle Queen Park juga mempunyai sebuah kedai makan yang dinamakan Kandang Kitchen. Kandang Kitchen menyediakan pelbagai menu masakan western seperti CQ Burger dan CQ Beef Balls. Cattle Queen Park juga ada menyediakan pakej tempat penginapan iaitu CQ Glamping. Harga untuk setiap pakej adalah berbeza dah RM45 hingga RM105 setiap orang. Harga setiap pax sudah termasuk tapak khemah, toilet, elektrik dan air, kemudahan dapur, tempat BBQ dan campfire. Antara kemudahan lain yang disediakan ialah surau dan tempat parking. Antara aktiviti yang anda boleh lakukan semasa camping disini pula ialah berbasikal dan melihat bintang pada waktu malam. Memang menyeronokkan. Untuk anda yang berminat untuk datang ke sini,  Cattle Queen Park dibuka setiap hari Selasa hingga Ahad dan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Alamat: Batu 14, Jalan Mersing, 86000 Kluang, Johor

Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelanggan


10. Talula Hill Farm Resort @ Jalan Padang Tembak

TALULA HILL FARM RESORT

Talula Hill Farm Resort, Kluang, Johor adalah salah sebuah resort yang ada di Kluang, Johor. Resort ini menawarkan pengalaman yang menarik dan tarikan yang tersendiri iaitu mereka mempunyai ladang sayur-sayuran, ladang buah-buahan dan ladang haiwan mereka sendiri. Yang menariknya, anda boleh memetik sayur-sayuran dan memberi makan haiwan-haiwan secara percuma jika anda menginap disini. Antara haiwan yang ada disini ialah ayam, itik, angsa, kambing dan arnab. Mereka yang sukakan haiwan dan alam semula jadi sangat sesuai menginap disini. Bahkan resort ini juga dikelilingi dengan tumbuh-tumbuhan dan gunung-ganang. 

Resort ini mempunyai 16 cabin dan 4 jenis bilik cabin iaitu Standard Cabin tanpa pemandangan, Deluxe Cabin yang mempunyai pemandangan puncak banjaran gunung, Group Cabin yang boleh memuatkan 4 orang dengan pemandangan hutan Gunung Lambak dan Loft Cabin yang boleh memuatkan 5 orang sesuai untuk yang berkeluarga. Selain itu, anda akan melihat pemandangan panorama puncak gunung melalui sebuah balkoni dan tingkap besar jika anda menginap di Loft Cabin. Setiap biliknya pula dilengkapi dengan katil yang selesa, penghawa dingin, wifi percuma, pantri mini, dan bilik air persendirian. Harga yang ditawarkan pula sangat berpatutan kerana ianya termasuk dengan sarapan pagi dan segala aktiviti yang boleh dilakukan disana. Tambahan pula, banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan jika anda menginap disini seperti pingpong, mini billiard, carrom dan board games. Anda juga boleh merasai pengalaman merendam kaki dengan air yang mengalir daripada Gunung Lambak di ‘grotto’.

Sementara itu, anda juga boleh memancing di resort ini. Mereka juga ada menyediakan joran memancing untuk mereka yang tidak membawanya. Dalam pada itu, anda juga boleh cuba mendaki di Gunung Lambak. Gunung ini mempunyai trek laluan mendaki dan kesukarannya adalah sederhana dan mengambil masa 4-5 jam untuk naik dan turun. Jadi, ianya amat sesuai untuk mereka yang baru ingin mencuba aktiviti lasak. Selain daripada itu, resort ini juga mempunyai sebuah sunrise deck jadi, anda boleh melihat matahari yang terbit dari belakang gunung. Jika anda ingin merasai semua pengalaman ini, anda wajar datang menginap di Talula Hill Farm Resort kerana anda boleh melakukan pelbagai aktiviti di dalam tempat yang sama. 

Alamat: PTD 40612, Jln Padang Tembak, 86000 Kluang, Johor

Semak Harga | Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelanggan


Berikutlah senarai tempat-tempat menarik di Kluang yang boleh anda lawati jika anda berhasrat untuk bercuti bersama keluarga. Kebanyakan tempat-tempat ini memang sesuai untuk anda lawati bersama anak-anak ketika cuti sekolah. Semoga senarai tempat menarik kluang ini dapat membantu anda merancang percutian bersama keluarga ke Kluang.

5/5 - (7 votes)

Anda Mungkin Berminat

Top 10+ Homestay di Kluang yg Best & Murah

Kluang merupakan salah satu daerah yang ada di Johor. Lokasinya pula terletak betul-betul di tengah Johor dan menyebabkan ia bersempadan dengan banyak daerah lain...

Top 10 Kereta Sewa Johor Bharu & Kluang yg Terbaik

Adakah anda sedang bercuti di negeri Johor? Perlukan kenderaan dengan segera untuk mengunjungi tempat menarik di Johor atau anda ingin menuju ke tempat makan...

Kluang Container Hotel – Best untuk Family Day

Kluang Container Hotel adalah sebuah tempat penginapan kontena dengan pemandangan taman yang pertama di Kluang, Johor. Binaan bilik hotelnya adalah daripada 2 kontena yang...

10+ Tempat Makan Best di Kluang

Kluang adalah salah sebuah daerah yang ada di Johor. Daerah Kluang bersempadan dengan Segamat di utara, Batu Pahat di barat dan Mersing di timur....
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Hubungi Kami

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x