Pulau Pinang terkenal sebagai destinasi negeri pelancongan di Malaysia yang mempunyai banyak aneka makanan yang sedap dan menarik seperti nasi kandar, pasembur, laksa penang & sebagainya. Selain tarikan makanannya yang menarik, pelancong juga boleh melawat banyak tempat-tempat menarik di Pulau Pinang yang sesuai sebagai destinasi percutian berkeluarga, solo atau mungkin untuk berbulan madu. Di bawah disertakan lebih 37 destinasi tempat menarik di Penang yang popular yang boleh anda baca & jyga cari idea apa nak buat kalau bercuti di Penang kelak.



Umumnya Penang juga terkenal dengan tempat bersejarah & makanan-makanan yang dipengaruhi budaya Peranakan sama seperti di kebanyakan destinasi pelancongan di Melaka. Berikut merupakan tarikan setiap tempat percutian menarik di Penang yang dipecahkan dalam kategori masing-masing.

Tempat Menarik di Penang Yang Bersejarah Tarikan Zoo & Taman Haiwan di Penang Pantai Menarik & Alam Semulajadi di Pulau Pinang Taman Tema & Galeria di Pulau Pinang Mercu Tanda & Aktiviti Berkeluarga di Penang Tempat Membeli Belah di Penang Tempat Makan Best di Pulau Pinang



1. Tempat Menarik di Penang Yang Bersejarah

tempat menarik di penang yang bersejarah 2017

Kalau bercakap pasal tempat bersejarah di Penang, memang banyak dah macam melancong ke Melaka. Kalau anda merancang untuk buat lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang memang sangat sesuai untuk anda baca artikel ini.

“Bila Hidu Rasa Cerah Balik Mata…Dah TAK Ngantuk Drive Jauh-Jauh

Picit Butang Oren Di bawah Utk Info Lanjut

Baca Lagi >

Fort Cornwallis

Kubu pertahanan lama ini terletak bersebelahan Padang Kota Lama merupakan satu destinasi yang cukup bersejarah di Penang di mana lokasi inilah yang menjadi tempat pendaratan Sir Francis Light pada tahun 1876. Kubu ini masih dalam keadaan yang baik dan tembok batu bata yang mengelilingi kawasan ini masih utuh berdiri. Di dalam kubu ini terdapat beberapa bangunan yang merupakan sebahagian daripada fungsi kubu ini seperti bilik simpanan serbuk sejata api, van tentera, meriam, gereja lama & rumah api.

Muzium Perang

Muzium yang masih mengekalkan sentuhan bangunan lama dan terjaga ini merupakan satu lagi tempat bersejarah yang popular di Penang. Dahulunya lokasi ini merupakan kubu pertahanan & kem tentera British ketika era Perang Dunia Kedua yang berfungsi untuk menempatkan tentera & senjata api. Di dalam muzium ini terdapat bangunan-bangunan lama seperti bilik penyeksaan musuh, stor simpanan senjata api, kem tentera & sebagainya.

 

Rumah P. Ramlee

Di sinilah seniman agung tanah air yang banyak berbakti di dalam industri seni sekitar tahun 50-70 dilahirkan pada 22 Mac 1929. Rumah lama ini yang beratap nipah & berdinding kayu masih mengekalkan senibina & hiasan seperti rumah asalnya. Sebaik masuk ke dalam rumah ini sambil diiringi dengan lagu-lagu dendangan P. Ramlee anda akan melihat banyak informasi tentang kehidupan peribadi & perjalanan karier beliau.

Muzium Kamera

Satu-satunya muzium kamera yang ada di Asia Tenggara dan mula dibuka pada tahun 2013. Kini ia menjadi salah satu tarikan pelancong yang ingin lebih mendekati tentang sejarah kamera & aksesori dari dahulu sampai sekarang. Terdapat pelbagai koleksi kamera lama dengan informasi menarik yang boleh anda lihat di sini. Kalau anda kaki photografi memang wajib datang ke sini ketika bercuti ke Penang kerana tiada lagi muzium sebegini di negeri lain di Malaysia.

Penang Time Tunnel

Satu destinasi menarik untuk anda berkunjung dengan keluarga untuk lebih mengenali sejarah Pulau Pinang dalam pendekatan yang berbeza daripada biasa. Destinasi ini boleh dibahagikan kepada dua zon lawatan utama di mana zon pertama merupakan kawasan yang menceritakan perjalanan kemajuan Penang dari era penjajahan sehinggalah ke sekarang. Zon kedua pula merupakan kawasan yang lebih kepada tarikan santai untuk bergambar di mana terdapat beberapa lukisan mural 3D yang tidak kurang menariknya.

Muzium Pinang Peranakan

Seperti juga di Melaka, Penang merupakan tempat yang popular dengan budaya peranakan. Untuk lebih mengenali sejarah, budaya & adat resam masyarakat Peranakan Penang, apa kata anda ke rumah agam ini yang mempunyai banyak koleksi & perkakasan bersejarah seperti perabut lama, barang kemas, hiasan dalam & sebagainya. Senibina dekorasi di dalam bangunan ini juga sangat menarik seperti kembali ke zaman lampau.


2. Tarikan Zoo & Taman Haiwan di Pulau Pinang

Tarikan Zoo & Taman Haiwan penang

Pilihan destinasi percutian di Penang seperti di bawah ini pasti membuatkan kanak-kanak tersenyum riang melihat haiwan eksotik dan comel yang mencuit hati siapa-siapa.

Taman Rama-Rama (Entopia)

Taman Rama Rama Penang kini dikenali Entopia selepas proses naiktaraf fasiliti siap sepenuhnya pada 2016. Taman rama rama ini menempatkan pelbagai spesis rama-rama dan serangga yang unik untuk dilihat. Landskap tamannya sangat cantik dan sebaik masuk ke dalam, pengalaman yang pasti membuatkan anak-anak keriangan sudah tentu apabila melihat ratusan rama terbang bebas secara terbuka di atas kepala. Terdapat banyak infografik & video menarik tentang kitaran hidup rama-rama yang sangat bermanfaat untuk pengetahuan kanak-kanak.

Taman Burung Penang

Terletak di kawasan Butterworth, taman burung ini dibahagikan kepada dua zon berbeza iaitu zon bersangkar & zon terbuka. Zon terbuka adalah di mana spesis-spesis burung jinak di lepaskan secara bebas dan pengunjung boleh berikteraksi secara langsung tanpa sempadan pagar. Zon bersangkar pula menempatkan spesis-spesis burung yang lebih agresif.

 

 

Countryside Stables Penang

Bagi yang ingin melihat atau menunggang kuda, salah satu tempat menarik di Pulau Pinang yang boleh anda lawati adalah di Countryside Stables Penang yang terletak di Jalan Sungai Burung, Balik Pulau. Di sini pelancong berpeluang melihat pelbagai spesis kuda dari pelbagai negara samaada kuda kecil yang comel atau yang besar untuk berlumba.

Saanen Dairy Goat Farm

Destinasi ini terletak di kawasan yang landskap yang cantik dan menempatkan sebuah ladang ternak kambing biri-biri. Satu tempat menarik di Penang yang ideal untuk anak-anak lebih mendekati dan belajar tentang haiwan ini selain mereka juga boleh merasai pengalaman memberi makan dan memberi susu. Terdapat juga tempat untuk membeli susu kambing segar dan ais krim perisa susu kambing.

Pusat Konservasi Penyu

Destinasi yang diuruskan Jabatan Perikanan ini menempatkan penyu-penyu dari jenis Penyu Lipas & Penyu Agar. Pelancong boleh ke pusat ini yang terletak di Pantai Kerachut. Masa untuk lawatan dibuka antara 8.00 – 5.00 petang.

Tokong Ular

Destinasi ini merupakan sebuah tokong yang terletak di Bayan Lepas. Walaupun ianya sebuah tempat ibadat orang Cina, namun sering menjadi kunjungan pelancong untuk melihat keunikan tokong ini di mana ular tidak berbisa seperti ular sawa dibiarkan secara bebas di pokok-pokok.


3. Pantai Menarik & Alam Semulajadi di Pulau Pinang

tempat menarik di pulau pinang pantai

Walaupun negeri Penang pesat membangun namun tidak bermakna kalau bercuti ke Pulau Pinang tiada langsung tarikan yang lebih mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Berikut merupakan beberapa tempat pelancongan menarik di Penang yang popular yang boleh anda lawati untuk menenangkan jiwa dan menjauhkan diri dari hiruk pikuk keserabutan bandar.

Pantai Batu Feringgi

Merupakan pantai peranginan di Pulau Pinang yang paling popular dan di sini terdapat pelbagai aktiviti sukan air yang boleh dilakukan seperti parasailing, jetski, naik banana bot dan sebagainya. Pantai ini sentiasa penuh dengan pelancong untuk mandi manda dan beriadah. Pilihan penginapan yang ada baik resort atau hotel juga banyak di sini & di sekitar pantai ini juga terdapat banyak pilihan restoran atau warung yang menjual aneka jenis makanan popular Penang.

Bukit Bendera

Kalau tak pergi Bukit Bendera bukan bercuti ke Penang namanya. Bagi yang sukakan aktiviti santai melihat pemandangan yang cantik, anda boleh ajak anak-anak ke Bukti Bendera dan menaiki tren ke puncak. Di puncak Bukit Bendera bermacam aktiviti menarik boleh dilakukan yang lebih kepada aktiviti santai-santai. Pengalaman menaiki train menuju ke puncak Bukit Bendera memang best.

Taman Negara Pulau Pinang

Terletak di Teluk Bahang dan sesuai sebagai singgahan percutian kepada yang sukakan aktiviti seperti jungle tekking, berkhemah, berenang dan melihat hutan. Di sini juga terdapat titian kanopi (canopy walkway) dan yang paling menarik ialah di Tasik Meromiktik iaitu kawasan pertemuan air tasik yang tawar dan air laut yang masin. Di area sini juga terdapat empangan air yang sangat tinggi dan mempunyai pemandangan yang menakjubkan.

Taman Botani Penang

Satu tempat rekreasi warga setempat untuk beriadah/ jogging di waktu pagi dan petang & Penang Botanical Garden ini hanya terletak di kaki bukit Penang Hill. Landskap taman ini juga sangat mendamaikan dengan pelbagai jenis pokok-pokok yang redup dan menyejukkan pandangan mata. Taman ini juga lebih sinonim dengan nama Taman Monyet di kalangan penduduk setempat kerana mempunyai banyak monyet-monyet yang berkeliaran dengan gelagat yang melucukan.

Pantai Tanjung Bungah

Destinasi tepi pantai yang lebih kurang sibuk dan di sini juga mempunyai kawasan pantai yang agak lapang dan sesuai untuk bersiar-siar wantu petang sambil melihat sunset. Aktiviti mandi manda di sini tidak digalakkan kerana terdapat obor-obor. Sekitarnya ada resort yang mengadap pantai yang sesuai sebagai destinasi penginapan ketika honeymoon di Penang. Di sini juga terletak sebuah masjid yang kelihatan seakan terapung di atas air terutamanya ketika air pasang.

Tropical Spice Garden

Sebuah kebun dengan tumbuhan eksotik tropika yang berada dalam keluasan 8 ekar dan lebih 500 spesis ditanam. Pelancong boleh mengenali tumbuhan herba dan melawat taman ini yang agak besar. Ada juga ruangan memasak dan juga kedai untuk membeli herba serta cenderahati.

 

 


4. Taman Tema dan Hiburan di Pulau Pinang

Taman Tema menarik penang

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, destinasi percutian di Penang ala-ala hiburan keluarga ini memang banyak bercambah. Berikut merupakan beberapa tarikan pelancongan yang sesuai untuk datang bersama anak-anak dan rakan-rakan.

Escape Theme Park Penang

Kalau anda seorang yang gayat, apa kata ke sini untuk melatih diri membuang perasaan gayat. Tidak jauh dari kawasan peranginan Batu Feringgi terdapat sebuah taman tema darat yang mencabar dan lokasi tepatnya ialah di Teluk Bahang. Sesuai untuk mereka yang suka cabaran dan memanjat di tempat tinggi. Antara aktiviti yang ada di sini ialah permainan gelonsor tayar, flying fox, meniti titian tinggi dan sebagainya.

Toy Museum Heritage Garden

Satu tempat menarik di Pulau Pinang yang pasti membuatkan anak-anak teruja dengan himpunan koleksi patung dan permainan kartun animasi yang sangat banyak. Muzium permainan ini merupakan yang terbesar di Malaysia seperti dicatatkan di dalam Malaysia Book of Record. Terletak di Teluk Bahang.

 

 

Made in Penang Interactive Museum

Merupakan sebuah galeri serba satu untuk mengenali dengan lebih dekat tentang sejarah Penang dari segi makanan, budaya dan sebagainya. Mempunyai beberapa tarikan di sini seperti mural 3D, beberapa arca ikonik Penang termasuk dengan waterfront jetty yang diperbuat dengan tangan.

Amazing World Studio

Sebuah lagi studio atau galeri di Penang yang menempatkan lukisan mural 3D yang bertemakan watak animasi Warner Bros. Satu tempat menarik di Pulau Pinang yang menyeronokkan untuk menghabiskan masa dengan anak-anak sambil-sambil ambil gambar dengan situasi yang unik sebagai kenang-kenangan.

Penang 3D Trick Art Museum

Sebuah galeri dalam bangunan 2 tingkat yang menempatkan lukisan mural 3D. Pengunjung boleh mengambil gambar dalam posisi tertentu untuk menjadikan hasil gambar menjadi seperti real. Pembantu yang bertugas akan membantu anda untuk mengambil gambar dengan cara & dari sudut yang betul.

Adventure Zone

Sebuah taman permainan kanak-kanak indoor di Penang yang lebih sesuai untuk kanak-kanak dewasa memandangkan gelongsornya yang tinggi dan memerlukan pengawasan orang dewasa. Terletak di Rasa Sayang Resort & Spa di Penang.


5. Mercu Tanda & Aktiviti Berkeluarga di Pulau Pinang

#4 mercu tanda pulau pinang

Masjid Kapitan Keling

Sebuah masjid ikonik di Pulau Pinang yang telah ada sejak tahun 1801 lagi. Senibina bangunan ini mempunyai pengaruh budaya Roman dan Timur Tengah. Masjid ini dulunya dibina untuk menampung masyarakat muslim terutamanya india muslim yang makin bertambah. Lokasinya hanya bersebelahan dengan Restoran Nasi Kandar Beratur. Lepas solat Isyak di masjid ini, bolehlah pula beratur di kedai nasi kandar ini yang dikatakan antara paling popular di Penang.

Padang Kota Lama

Merupakan sebuah taman terbuka di tepi laut yang menempatkan kemudahan awam yang lengkap baik taman permainan kanak-kanak, restoran, tandas & sebagainya. Sering menjadi lokasi untuk event-event komuniti seperti pesta makanan dan sebagainya. Lokasinya juga adalah bersebelahan dengan Kubu Cornwallis dan sesuai untuk anda datang bersantai di sini waktu petang sambil melayan angin bayu yang bertiup kencang.

Kek Lok Si Temple

Sebuah tokong di Georgetown yang menjadi kunjungan pelancong untuk melihat keunikan tempat keagamaan orang Buddha. Tokong ini sangat tinggi dan di kemuncak pengunjung boleh melihat beberapa statu patung buddha dan pagoda. Pemandangan bandaraya Georgetown dari puncak juga sangat menarik.

Masjid Terapung Tanjung Bugah

Bagi yang berada sekitar Pantai Tanjung Bungah, jangan lupa untuk bersolat di Masjid Terapung Tajung Bugah dan waktu terbaik untuk melihat masjid ini dalam keadaan terapung ialah ketika air laut sedang pasang. Ketika waktu senja pemandangan masjid ini sambil dilimpahi cahaya mentari jingga pasti memberi panorama yang cantik untuk photo anda.

Penang Street Art

Lukisan mural 3D di bangunan-bangunan luar di Jalan Seni Penang yang membuatkan jalan ini tidak boring walaupun ianya sebuah kawasan dengan bangunan yang lama. Sering menjadi tempat pengunjung mengambil gambar sambil-sambil berjalan cari makan di kawasan sekitarnya.

Feri Pulau Pinang

Perkhidmatan feri yang tertua di Malaysia dan kalau bercuti di Penang, kena cuba naik feri dengan kereta dari tanah besar ke Pulau Pinang. Satu pengalaman yang pasti anak-anak suka dengan kadar tambang yang sangat berpatutan.

Gurney Drive (Persiaran Gurney)

Destinasi lepak tepi pantai dan makan-makan di kawasan seperti dataran yang popular di Georgetown. Gerai makanan di sini kebanyakannya menyediakan makanan popular orang Penang seperti pasembur, rojak dan makanan santai lain. Waktu malam suasana di sini juga agak meriah dengan penjaja dan pengunjung yang lepak santai.

Tropical Fruit Farm

Sebuah ladang buah yang menempatkan pelbagai jenis pokok buah tropika. Waktu terbaik untuk datang ketika musim berbuah dan pengunjung boleh menikmati buah-buahan segar yang dipetik terus dari ladang. Pakej lawatan kebun buah ini disediakan oleh pemilik dengan harga berpatutan termasuk dengan pakej merasai buah dan jus-jus buahan segar.

Queen Street (Lebuh Queen)

Satu kawasan yang menarik di Penang untuk jalan-jalan menikmati persekitaran kawasan India Muslim. Di sini juga terdapat banyak gerai dan restoran yang menjual makanan-makanan popular orang India. Setiap kali bulan puasa, di sini sangat sesak dengan adanya bazar Ramadhan.


6. Tempat menarik di Pulau Pinang untuk shopping

tempat shopping menarik di penang

Pasar Malam Batu Feringgi

Sebuah pasar malam yang menjual pelbagai barangan cenderahati seperti keychain, pakaian, kraftangan dan sebagainya. Terletak di Batu Feringgi dan tidak jauh dari Pantai Tanjung Bungah. Satu tempat menarik di Pulau Pinang untuk shopping cenderahati sambil-sambil makan malam di sini.

 

 

Kedai Jeruk Madu Pak Ali

Jeruk dan jenama Pak Ali memang cukup popular di Penang. Kalau bercuti di Penang jangan lupa untuk mencari aneka pilihan jeruk yang sering menjadi buah tangan pelancong tempatan kalau bercuti ke sini. Selain jeruk, pengunjung juga boleh mendapatkan sos char kuey teaw, sos pencicah buah dalam botol dan macam-macam lagi.

 

 

Bazar Chowrasta

Bazar ini merupakan pasar yang menempatkan bahagian untuk pasar basah dan kering. Memandangkan lokasinya yang strategik dan mudah diakses orang ramai, ianya sentiasa dipenuhi pengunjung untuk mencari bahan mentah makanan. Selain itu, di sini juga terdapat bahagian yang menjual aneka pilihan jeruk seperti buah pala,betik, salak dan sebagainya. Di tingkat duanya pula lebih kepada tempat yang kering yang menjual barangan seperti buku, baju, aksesori dan sebagainya.

Pasar Pagi Stadium Negeri

Terletak di Jalan Stadium, pasar pagi ini seolah-olah seperti Memory Lane di Perak. Di sini terdapat gerai dan penjaja yang menjual makanan dan juga barangan fizikal lain seperti cd, dompet, novel lama, kasut lama, barangan antik dan sebagainya.

 

 

 

Shopping Mall di Penang

Sekiranya anda ingin shopping barangan berjenama seperti pakaian atau aksesori di pasaraya, Pulau Pinang mempunyai banyak pilihan destinasi yang menarik:

  • Gurney Paragon Mall
  • 1st Avenue Mall
  • Gurney Plaza
  • Staits Quay
  • Queensbay Mall
  • Komtar
  • Island Plaza
  • Penang Times Square
  • Penang Plaza


7. Tempat Menarik di Penang Untuk Makan Makantempat makan menarik di pulau pinang

Penang juga dikenali sebagai destinasi percutian syurga makanan kerana mempunyai banyak makanan yang best dan popular di seluruh Malaysia terutamanya Nasi Kandar.  Berikut merupakan beberapa tempat makan best & restoran menarik di Penang untuk anda terjah makan nasi kandar.

  • Restoran Nasi Kandar Kampung Melayu
  • Restoran Nasi Kandar Deen Maju
  • Nasi Kandar Beratur Original
  • Original Penang Kayu Nasi Kandar
  • Restoran Hameediyah
  • Restoran Nasi Kandar Line Clear

TAWARAN Penginapan Hari Ini di Penang >

Itulah dia senarai tempat pelancongan menarik di Penang yang boleh anda lawati. Semoga panduan ringkas ini memberi anda kemudahan untuk merancang perjalanan serta mencari penginapan di lokasi yang sesuai apabila bercuti ke tempat-tempat menarik di Pulau Pinang kelak. Wassalam.

Destinasi Menarik Penang Berkaitan: