24+ Tempat Menarik di Ipoh Perak – Destinasi Bercuti di Ipoh PALING BEST

Bandaraya Ipoh yang merupakan ibu negeri Perak sebenarnya mempunyai banyak khazanah pelancongan yang menarik untuk dilawati. Kalau anda orang KL atau JB, pasti akan rasa satu kelainan apabila pertama kali pusing-pusing Bandaraya Ipoh. Suasana, senibina & tempat menarik di Ipoh ada sesetengah destinasi memang tiada di bandaraya lain di Malaysia. Pendek cerita, kalau anda menginap & bercuti di Ipoh, anda boleh lawati pelbagai destinasi pelancongan yang pelbagai jenis, baik taman tema, kawasan sejarah, air terjun, gua batu kapur, taman rimba & sebagainya.


Semoga perkongsian destinasi pelancongan di bawah ini memberi anda idea untuk merancang percutian anda di Bandaraya Ipoh kelak. Untuk mengetahui lebih banyak destinasi pelancongan menarik di daerah selain Ipoh di Perak, sila ke senarai lengkap tempat menarik di Perak.



1. Movie Animations Park Studios (MAPS Ipoh Perak)

maps perak ipoh menarik

Satu tarikan pelancongan di Ipoh yang baru & akan mula dilancarkan pada Jun 2017 pada hari raya kedua. Destinasi ini merupakan taman tema yang lebih menjurus kepada pengembaraan watak-watak kartun animasi yang popular dalam & luar negara. Kalau anak-anak anda suka melihat kartun animasi Upin Ipin atau BoiBoiBoi, destinasi ini pasti membuatkan mereka senyum gembira kerana banyak aktiviti menarik yang berkaitan watak kartun tersebut boleh dilihat & dilakukan.

MAPS Ipoh merupakan taman tema animasi yang pertama di Asia & senang cerita, kalau di Singapore popular dengan Singapore Universal Studio, Malaysia pula akan terkenal dengan MAPS. Konsep tarikan pelancongan di sini memang sangat menarik baik aktiviti bersama kanak-kanak atau aktiviti yang memberi debaran jantung pada tahap maksimum dengan permainan-permaianan seperti roller coaster, space shuttle & sebagainya.

Memang tidak syak lagi, kehadiran MAPS di Ipoh bakal melonjakkan lagi negeri Perak sebagai salah satu tempat percutian di Malaysia bertaraf dunia. Harga tiket MAPS Ipoh boleh dibeli secara online atau walk-in dan setiap tiket sah untuk satu hari & boleh berseronok di mana-mana lokasi tanpa had. Walaupun harga tiket MAPS Ipoh ini lebih RM 100 seorang tetapi dengan tarikan taman tema yang hebat bertaraf dunia, anda sudah jimat untuk ke luar negara seperti di Singapore Universal Studio atau Disneyland di Hong Kong.

Alamat: 3, Jalan Meru Impian 4, Halaman Meru Impian, 30020 Ipoh, Perak

Harga Tiket: RM 144 (dewasa)| RM 114 (kanak-kanak/warga emas)

Waktu Operasi: 10.00 am – 6.00 pm

Peta Lokasi Jarak 605-501 5666 Facebook Website


2. Lost World of Tambun

lost world of tambun ipoh perak

Kalau bercuti ke Ipoh, destinasi Taman Tema Lost World Tambun boleh dikatakan tempat menarik di Ipoh yang paling popular dengan pelbagai pilihan permainan yang menyeronokkan. Taman tema ini merupakan satu-satunya penginapan & theme park yang dikelilingi oleh batu kapur. Satu tempat percutian berkeluarga yang sangat ideal untuk anda riang ria bersama anak-anak. Di sini, tarikan pelancongan terbahagi kepada beberapa bahagian utama seperti Theme Park, Hots Spring & Park dan juga Night Park. Dan setiap bahagian utama ini terbahagi pula kepada beberapa bahagian kecil lain seperti tema air, kolam air panas, amusement park, lost world petting zoo, tiger valley dan sebagainya.

Tarikan taman tema di sini memang cukup lengkap, kalau nak habiskan semua tarikan yang ada di Lost World Tambun anda perlu spend masa sekurang-kurangnya sehari setengah di sini. Kalau drive dari jauh, sebaiknya cari penginapan di sini kerana tidak penat & lebih mudah untuk anda berulang-alik ke setiap taman permainan di sini dengan anak-anak.

Umumnya, tarikan di sini bukannya khas untuk kanak-kanak & anak muda semata-mata. Ada juga tarikan yang mesra orang dewasa terutamanya mereka yang mungkin tidak suka dengan aktiviti-aktiviti lasak seperti bermain di amusement park. Anda boleh santai-santai di kolam air panas di sini atau mencuba spa untuk manjakan diri anda sekali sekala. Kalau anda suka mandi manda, jangan lupa untuk berendam di infinity pool, suasana di sini memang cantik !

Alamat: No 2, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh, Perak

Peta Lokasi Jarak 605-540 8888 Facebook Website


3. Taman Rekreasi Gunung Lang

 taman rekreasi gunung lang ipoh

Hanya terletak kira-kira 6 km dari bandaraya Ipoh, taman rekreasi ini merupakan satu tempat menarik di Ipoh yang sesuai untuk mereka yang suka santai-santai di kawasan alam semulajadi. Tak perlu jauh-jauh nak masuk hutan. Di taman ini terdapat tasik dan landskap taman yang  cantik dikelilingi dengan bukit batu kapur. Pelancong boleh menaiki bot untuk bersiar dan beriadah di taman permainan yang disediakan. Ada juga beberapa kandang binatang yang pasti membuatkan anak-anak teruja. Kalau anda penat memandu di lebuhraya utara-selatan, bolehlah R&R dahulu di sini melihat keindahan alam.

Umumnya taman ini memang sangat besar tetapi kawasan landskapnya agak kecil & lokasi ini tidaklah terlalu sesak dengan orang ramai pada weekday. Nak ke sini juga mudah & tempat parking kereta juga besar serta tiada tiket masuk di kenakan. Cuma anda perlu menggunakan duit untuk menaiki bot di sini & dengan bot ini jugalah anda boleh ke seberang tasik yang menempatkan sebuah taman rekreasi mini yang tidak kurang menarik landskapnya. Anda juga boleh jumpa dengan sebuah gua batu kapur yang agak besar yang muat untuk kereta lalui di dalamnya.

Alamat: Off Jalan Kuala Kangsar, Jalan Damai, 30100 Ipoh, Perak.

Waktu Operasi: 8am – 12pm & 1.30pm – 7pm (Isnin-Khamis) | 8am – 12pm & 2.45pm – 4pm (Jumaat) |
8am – 6.30pm (Sabtu, Ahad & Cuti Umum)

Tambang Naik Bot: RM 3.00 (Dewasa) | RM 1.50 (Kanak-kanak/warga emas)

Peta Lokasi Jarak 605-5063088


 4. Gua Tempurung

gua tempurung gopeng ipoh

Destinasi ini bukannya terletak dalam Bandaraya Ipoh tetapi sangat dicadangkan untuk mereka yang sukakan aktiviti lasak & adventure. Lokasinya pula dari Bandaraya Ipoh hanya 18 km & satu-satunya tempat menarik bergua yang paling dekat yang boleh anda terjah. Kawasan dalam gua ini memang sangat luas & besar serta kemudahan pengunjung seperti platform jalan kaki & lampu turut disediakan untuk memudahkan anda menerokai gua batu kapur yang ribuan tahun usianya.

Kalau anda nak lebih rasa adventure, bolehlah menggunakan perkhidmatan tour guide di sini yang akan membawa anda menerokai gua ini sampai ke bahagian paling dalam. Tour guide di sini ada yang pakej untuk kawasan kering & basah, kalau anda nak betul-betul menguji tahap stamina anda, bolehlah ambik grand tour guide. Pengalaman menerokai gua sebegini memang sangat seronok & perlu anda cuba kerana nak mencari gua sebegini yang ada di Malaysia memang banyak tetapi bukan semuanya mudah untuk anda cuba kerana lokasinya yang pedalaman & bahkan ada yang perlu anda menaiki bot serta meredah hutan.

Jadi kalau anda ingin destinasi menerokai gua yang mudah untuk diakses dengan kenderaan tanpa perlu banyak cabaran di tengah jalan, bolehlah ke Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, Perak. Sebaiknya kalau bercadang melawat Gua Tempurung, datanglah waktu pagi atau awal kerana kerana setiap lawatan memang mengambil masa yang agak lama sehingga berjam lamanya, bergantung kepada jenis lawatan yang anda pilih. Minimum 3/4 orang untuk setiap lawatan.

Alamat: Pusat Pelancongan Gua Tempurung, 31600 Gopeng, Perak

Waktu Operasi: 9.00 am – 6.00 pm

Harga Pakej Lawatan:

Pakej Golden Flawstone ( Kering) : RM 6 (dewasa) | RM 2.50 (kanak-kanak)

Pakej Top The World ( Kering) : RM 9 (dewasa) | RM 4.50 (kanak-kanak)

Pakej Top The World & Short River Adventure (Basah): RM 11 (dewasa) | RM 6 (kanak-kanak)

Pakej Grand Tour (Basah): RM 22 (dewasa) | RM 11 (kanak-kanak)

Peta Lokasi Jarak 60 5-359 1561 Website


5. Fantasy House Trick Art

funtasy house trick ipoh

Kalau bercuti di Ipoh dengan keluarga & bersama kumpulan, destinasi ini merupakan salah satu tempat yang ideal untuk waktu riang ria. Terdapat lebih 30 lukisan mural yang dipaparkan untuk pengunjung mengambil gambar. Seperti juga di beberapa lokasi 3D Art Museum yang lain, staff di sini akan membawa anda melawat setiap mural & menolong anda ambil gambar pada posisi yang betul untuk menghasilkan gambar yang timbul & menarik.

Memandangkan lukisan muralnya sangat banyak maka masa yang diperlukan untuk lawatan ke destinasi ini mungkin mengambil masa sehingga satu jam lamanya. Kalau anda bercadang untuk melawat banyak tempat-tempat menarik di Ipoh yang lain, sebaiknya datang ke sini pada waktu tengahari & pada waktu petang pula bolehlah melawat destinasi outdoor lain kerana sudah tidak panas.

Alamat: 16, Jalan Market, 30000 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 9.00 am – 6.00 pm | 9.00 am – 8.00 pm (hujung minggu)

Harga Tiket: RM 15 (dewasa) | RM 10 (kanak-kanak)

Peta Lokasi Jarak 605-255 0007 Facebook Website


6. Kledang Saiong Forest Eco Park

tempat menarik di ipoh perak

Beruntung sebenarnya jadi orang Ipoh sebab tarikan pelancongan yang berlatarkan alam semulajadi seperti air terjun, hutan rekreasi, taman rimba & gua sangat dekat jaraknya. Salah satu tempat pelancongan menarik di Ipoh untuk aktiviti riadah seperti mandi air terjun, junggle trekking atau berbasikal adalah di Taman Rimba Kledang Saiong yang hanya 5 km dari Bandaraya Ipoh.

Taman rimba ini terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong & merupakan hutan simpan yang dipelihara oleh kerajaan negeri & juga dikekalkan sebagai salah satu tarikan pelancongan air terjun untuk Negeri Perak. Kalau anda pencinta alam, sangat sesuai untuk ke sini untuk melakukan aktiviti perkelahan & melihat pelbagai tumbuhan menarik serta unggas-unggas hutan yang berwarna warni.

Alamat: Persiaran Meru Utama, Perak

Waktu Operasi: 7.00 am – 6.00 pm

Harga Tiket: Percuma

Peta Lokasi Jarak 605-3661 228 Website


7. Lata Ulu Chepor

air terjun ulu chepor ipoh

Masih cerita tentang air terjun yang dekat dengan Bandaraya Ipoh. Selain Taman Rimba Kledang Saiong, Lata Ulu Chepor juga merupakan salah satu tempat mandi manda air terjun di Ipoh yang sangat popular. Kawasan Perkhelahan Kampung Ulu Chepor yang merupakan sebahagian daripada Sungai Chepor memang mudah diakses dengan kenderaan & kawasan mandi manda juga sangat mesra keluarga. Samaada untuk aktiviti berkelah, bbq, family gathering & berkhemah, destinasi ini sangat ideal untuk mereka yang sedang bercuti di Ipoh.

Seperti di kebanyakan destinasi air terjun lain, kalau anda inginkan pemandangan air terjun & suasana yang lebih terasa hutan, bolehlah buat hiking ke kawasan atas dalam beberapa ratus meter. Kalau berkelah dengan keluarga terutamanya bersama anak-anak kecil, rasanya cukuplah sekadar mandi manda di kawasan tadahan bahagian bawah. Kemudahan pengunjung di sini baik gazebo, surau, dewan terbuka, kawasan perkhemahan, tempat bersalin pakaian & taman permainan kanak-kanak juga disediakan. Untuk orang dewasa yang suka terjun tiruk & berenang seperti di lautan, destinasi ini mungkin tidak sesuai untuk anda kerana banyak batu serta kawasan tadahan juga tidak terlalu dalam. Awas, kalau ke mana-mana destinasi air terjun, pastikan cuaca baik & langit cerah tidak bermendung kerana takut terjadi fenomena kepala air.

Alamat: Kampung Ulu Chepor, 31200 Chemor, Perak.

Harga Tiket: RM 2.00 (parking kereta)

Peta Lokasi Jarak


8. Art of Old Town & Ipoh Heritage Trail

ipoh heritage trail menarik

Daripada bangunan lama yang kelihatan usang kini destinasi ini menjadi salah satu tempat tarikan pelancong di Ipoh untuk melihat keunikan mural-mural 3D yang dihasilkan oleh Ernest Zacharevic iaitu seorang pelukis mural yang turut menghasil karya popularnya di Penang, Johor Bahru, Kuala Lumpur & sehingga ke Singapura. Konsep Art of Old Town ini lebih kepada mural-mural yang banyak berkisarkan tentang kopi & bandar lama Ipoh. 2 benda ini memang berkait rapat & mempunyai sejarahnya yang tersendiri di Ipoh sehingga menaikkan jenama Old Town White Coffee Ipoh.

Lokasi 8 jenis mural utama yang dihasilkan di sini terletak di sekitar Jalan Panglima, Ipoh & lokasi setiap mural 3D ini tidak jauh antara satu sama lain. Yang lebih menarik, mural seni yang merupakan sebahagian daripada Ipoh Heritage Trail di sini memang sangat besar berbanding dengan kebanyakan mural di negeri lain yang pernah anda lihat.

Alamat: Jalan Bandar Timah, 30000 Ipoh, Perak, Malaysia

Peta Lokasi Jarak


9. Stesen Keretapi KTM Ipoh

stesen keretapi ipoh perak

Stesen Keratapi KTM di Ipoh bukan sahaja berperanan sebagai sebuah terminal keretapi malah turut menjadi salah satu tarikan pelancongan di Ipoh & mercu tanda utama Bandaraya Ipoh. Ini kerana, bangunannya sangat unik & mempunyai senibina orang Inggeris lama yang telah berpuluh tahun usianya. Di kalangan orang Ipoh, stesen keretapi ini dikenali sebagai Taj Mahal Ipoh kerana struktur, landskap taman & warna bangunannya yang seakan sama kalau dilihat dari sesuatu sudut hadapan.

Landskap taman persekitaran juga sangat terjaga & cantik untuk anda ronda-ronda ambil gambar yang akan memberi nostalgia kembali ke zaman sebelum kemerdekaan. Di perkarangan stesen keretapi Ipoh ini juga terdapat tugu peringatan Perang Dunia Kedua. Kerana lokasinya yang terletak di tengah Bandaraya Ipoh maka ramai juga pelancong yang datang pada waktu malam untuk bergambar kerana pemandangan tamannya lebih cantik dengan dilimpahi cahaya neon berwarna – warni.

Alamat: Stesen KTM Ipoh, 30000 Ipoh, Perak, 30100 Ipoh, Perak

Peta Lokasi Jarak Website


10. Kinta River Front

kinta river walk i city ipoh

Pada waktu malam, Kinta River Front sering menjadi kunjungan orang ramai untuk ambil angin malam secara santai bersama keluarga dengan menikmati keindahan lampu-lampu LED pokok ala-ala di I-City Shah Alam. Namun ianya tidaklah terlalu besar, cukup hanya sebagai destinasi lepak malam di Ipoh. Kinta River Walk ini juga mempunyai dataran memanjang di sepanjang Sungai Kinta yang sesuai untuk jalan kaki atau mungkin berbasikal.

Di sini ada juga pelbagai pilihan basikal unik & cantik yang boleh pengunjung sewa untuk bersiar-siar di sekitar Kinta River Front. Harganya bergantung pada jenis basikal & kadarnya sangat berpatutan sekitar RM 5-RM 10 untuk anda & anak-anak mencuba pengalaman mengambil angin malam di Ipoh dengan cara yang lebih sihat.

Alamat: Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap malam

Harga Tiket: Percuma masuk

Peta Lokasi Jarak


11. Dataran Medan Stesen/ Dataran KTM Ipoh

bercuti di ipoh menarik

Dahulu tempat ini hanya biasa-biasa sahaja tanpa tarikan pelancongan yang menarik. Sejak 2016, ada sesuatu yang telah menjadi tarikan pengunjung untuk lepak malam di Dataran Medan Stesen yang terletak di antara Bangunan Stesen Keretapi Ipoh & Dewan Bandaraya Ipoh. Dataran ini mempunyai air pancut warna warni yang sangat menarik & bergerak secara berirama.

Konsepnya sama seperti di hadapan KLCC tetapi pada skala yang lebih kecil. Kalau bawa anak-anak kecil di sini memang sangat seronok melihat mereka berlari berkejaran di celah-celah air pancut warna warni. Sekiranya anda inginkan aktiviti percutian di Ipoh pada waktu malam yang santai bersama anak-anak bolehlah ke sini. Ruangan parking pun mudah & lokasinya juga senang diakses dengan kereta.

Alamat: Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh, Perak

Peta Lokasi Jarak


12. Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz ( Padang Polo)

padang polo ipoh perak

Destinasi taman rekreasi ini lebih dikenali di kalangan orang Ipoh sebagai Padang Polo. Kalau anda mungkin bercuti di Perak dalam satu jangka masa yang lama mungkin untuk meeting atau ada team building, bolehlah jengahkan diri untuk beriadah di sini pada waktu pagi atau petang & kalau malam minggu suasana juga agak meriah untuk aktiviti santai-santai malam.

Destinasi ini sering menjadi tumpuan orang Ipoh untuk beriadah kerana landskapnya yang cantik lengkap dengan pokok-pokok yang tinggi merimbun serta terdapat tasik di tengahnya yang menambahkan lagi rasa kedamaian kalau bersantai di sini. Pada waktu petang, terdapat foodcourt untuk anda makan-makan santai seperti laksa, keropok & sebagainya. Kemudahan trek jogging, padang bola, taman permainan & tandas turut disediakan untuk kegunaan pengunjung. Pada waktu malam terutamanya hujung minggu, orang berkeluarga tidak kurangnya datang ke sini bersama dengan anak-anak untuk bersantai di taman permainan kanak-kanak & di dataran untuk aktiviti main roller blade & sebagainya.

Alamat: 7, Jalan Brash, 30350 Ipoh, Perak

Peta Lokasi Jarak


13. Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam

 taman jepun ipoh menarik

Taman rekreasi ini merupakan satu lagi destinasi santai & riadah yang popular di Ipoh waktu pagi selepas Padang Polo. Juga dikenali oleh orang Ipoh sebagai Taman D.R, taman ini merupakan sebuah taman terbuka yang popular di kalangan warga Ipoh untuk beriadah atau berkelah bersama keluarga. Di dalam Taman DR ini ada beberapa taman mini yang berlainan konsep landskapnya & antara yang paling unik adalah Taman Jepun kerana binaan landskapnya adalah hampir sama dengan sebuah taman yang popular di Fukuoka, Jepun.

Taman ini dilengkapi dengan playground yang besar yang pasti membuatkan anak-anak teruja. Fasiliti lain yang ada di sini ialah tasik, trek jalan kaki, roller skate area, pondok rehat, tandas dan sebagainya. Sesuai untuk lepak-lepak pada waktu petang ataupun malam. Kalau hujung minggu, destinasi ini sering menjadi kunjungan warga setempat untuk santai malam & memandangkan landskapnya yang cantik Taman DR ini sering juga menjadi lokasi untuk pasangan pengantin ambil gambar.

Alamat: Jalan Keliling Dalam, 30300 Ipoh, Perak

Peta Lokasi Jarak


14. Pasar Gerbang Malam

gerbang malam ipoh

Gerbang Malam merupakan sebuah pasar malam yang berkonsepkan ala-ala ‘uptown’ yang menempatkan banyak gerai-gerai yang menjual barangan samaada pakaian, tali pinggang, baju, minyak wangi dan sebagainya. Harga di sini pun boleh dikatakan murah dan pengunjung boleh tawar menawar dengan penjual.

Memandangkan lokasinya strategik & mudah diakses maka memang ramai pelancong & orang Ipoh datang ke sini untuk sesi cuci-cuci mata melihat barangan menarik untuk dijadikan koleksi peribadi. Pilihan barangan vintage di sini tidak semeriah di Pasar Karat, tetapi kalau anda mencari tempat menarik di Ipoh pada waktu malam dengan suasana yang happening, inilah destinasinya. Anda boleh ke sini bermula pukul 6 petang & kebiasaannya menjelang pukul 8.30 malam ke atas baru suasana lebih meriah dengan pengunjung & penjual. Gerbang Malam di Ipoh ini dibuka setiap hari & hanya akan lengang pada waktu hujan lebat.

Alamat: Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 6.00 pm – 1.00 am (setiap hari)

Peta Lokasi Jarak Facebook


15. Pasar Karat Ipoh (Memory Lane Ipoh)

pasar karat ipoh perak loken

Mencari shopping mall di Ipoh yang besar & grand memang agak banyak pilihan tetapi kalau inginkan tempat membeli belah di Ipoh yang best serta unik, sangat dicadangkan untuk ke Pasar Karat yang terletak di Jalan Horley, Ipoh. Pasar Karat ini yang beroperasi setiap pagi mempunyai banyak nama panggilan seperti Memory Lane, Loken, Lokin, Pasar Lok Kin atau Pasar Barang Antik, semua nama tersebut merujuk kepada destinasi yang sama.

Pasar ini memang sangat besar & pilihan barangan vintage atau antik di sini memang sangat banyak. Kalau pusing-pusing semua kawasan penjual di Pasar Karat boleh makan jam lama dia. Konsep barangan di sini memang sanga rare & kalau anda ingin mencari sesuatu barang yang menggamit nostalgia lama samaada pakaian, kasut, hiasan rumah, barangan elektrik, duit lama, setem lama & sebagainya, bolehlah jengah-jengahkan diri ke Pasar Karat Ipoh setiap pagi. Kalau hujung minggu memang lebih meriah dengan pelbagai golongan orang dalam & luar dari Ipoh.

Alamat: Jalan Horley, Kampung Jawa, 30300 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 6.30 am – 1.oo pm

Peta Lokasi Jarak


16. Bulatan Amanjaya

bulatan amanjaya merujaya ipoh

Kalau anda bercuti di Ipoh secara bajet bersama keluarga & anak-anak, apa kata bawa mereka Bulatan Amajaya yang merupakan satu tempat menarik di Ipoh yang baru diperkenalkan tahun 2016. Bulatan ini memang sangat besar & ianya lebih kepada tempat untuk pengunjung beriadah bersama keluarga. Kemudahan yang paling mencuri tumpuan adalah taman permainan air mini yang sesuai untuk kanak-kanak beriang-ria & yang paling best, ianya percuma.

Kawasan dataran di sini juga sangat besar & kalau untuk dijadikan tempat bersiar-siar petang atau malam, memang sangat sesuai. Pada waktu malam anda boleh lihat pancuran air berirama dihiasi dengan sinaran lampu LED warna warni yang akan bermula 8.00 malam – 11.00 malam setiap hari. Kemudahan untuk pengunjung memang lengkap di sini, maklumlah pembinaannya masih baru jadi semuanya berfungsi dengan baik. Jadi kalau anda mencari lokasi untuk jogging atau mencari tempat menarik di Ipoh pada waktu malam, sangat dicadangkan untuk santai-santai di sini bersama yang tersayang & anak-anak. Yang paling penting, kos parking kereta & harga tiket masuk ke sini adalah percuma. Jimat !

Alamat: Bulatan Meru Raya @ Bulatan Casuarina, 30020, Bandar Meru Raya, 31200 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 24 jam

Harga Tiket: Percuma

Peta Lokasi Jarak 605-501 9822


17. Ipoh World di Han Chin Pet So

muzium menarik di ipoh

Seperti yang tersedia maklum, Ipoh pada masa dahulu terkenal dengan aktiviti lombong bijih timah & kalau anda ingin lebih mendalami sejarah pelombongan bijih timah di Ipoh, destinasi ini adalah tempat yang wajib anda singgah. Dahulunya rumah agam ini merupakan tempat eksklusif untuk pelombong berbangsa Hakka.  Sekarang ianya dijadikan sebuah muzium yang memaparkan informasi dan bahan abstrak khususnya sejarah tentang kehidupan para pelombong bijih timah.

Sebaik masuk ke dalam, pelancong akan diceritkan oleh staff di sini tentang setiap informasi yang ada di dalam musium ini. Tour guide yang bertugas memang seorang yang sangat mendalami tentang budaya & kehidupan kaum masyarakat Hakka. Sepanjang di sini, anda juga boleh melihat satu video dokumentari yang menarik sejak era Perang Dunia Kedua tentang permulaan & perkembangan lombong bijih timah di Ipoh. Walaupun kemasukan ke sini adalah percuma tetapi pengunjung digalakkan untuk memberi sumbangan pada akhir lawatan sebagai sumber kewangan untuk penyelenggaraan muzium ini.

Alamat: 3, Jalan Bijeh Timah, 30100 Ipoh, Perak

Harga Tiket: Masuk Percuma tetapi sumbangan digalakkan ( RM 10 (dewasa) / RM 5 (kanak-kanak))

Peta Lokasi Jarak 605-241 4541 Facebook Website


18. Kek Long Tong Cave Temple & Zen Garden

 tarikan pelancongan di ipoh perak

Satu tarikan alam semulajadi yang sangat popular di Ipoh kerana di sini terdapat sebuah tokong di dalam gua & konsepnya lebih kurang macam di Batu Caves tetapi destinasi ini adalah untuk mereka yang beragama Buddha. Pemandangan struktur stalagtit/stalagmit di dalam gua di sini memang sangat mengagumkan & dianggarkan berusia ribuan tahun. Walaupun destinasi ini lebih kepada tempat ibadat kaum Buddha namun ramai pelancong yang datang ke sini untuk melihat keunikan landskap gua yang mungkin anda hanya boleh jumpa sepertinya di Sarawak. Di luarnya pula terdapat Taman Zen yang sangat menenangkan jiwa raga & lebih kepada lokasi untuk mereka bersenam atau jogging.

Pemandangan di sini memang lebih dekat kepada suasana flora & fauna namun sedikit lain perasaannya berbanding kalau anda pernah ke Taman Negara atau Taman Rimba. Ianya seperti berada di satu tempat yang bersuasanakan seperti dalam cerita-cerita Cina lama.

Alamat: Gunung Rapat, 31350 Ipoh, Perak

Peta Lokasi Jarak 605-312 8112


19. Perak Cave Temple

tempat percutian menarik di ipoh

Merupakan tempat penyembahan bagi orang Buddha yang terletak di dalam sebuah gua. Yang menariknya gua-gua di sini kelihatan seakan bertingkat-tingkat. Tangga yang agak curam disediakan untuk mereka yang ingin mendaki gua ini sehingga ke puncak untuk melihat pemandangan yang cantik. Di dalam guanya pula terdapat lukisan mural yang dilukis pada dinding gua yang bermotifkan ketuhanan penganut Buddha.

Destinasi ini kebiasaannya lebih dilawati oleh orang yang beragama Buddha untuk tujuan ibadat. Namun ada juga pelancong asing yang sukakan destinasi ini kerana keunikan gua batu kapurnya yang sangat luas & lapang seolah-olah anda sedang berada di dalam sebuah bangunan konkrit.

Alamat: Jalan Kuala Kangsar, Kawasan Perindustrian Tasek, 31400 Ipoh, Perak

Peta Lokasi Jarak


 20. Muzium Darul Ridzuan

darul ridzuan muzium perak

Bagi yang ingin lebih mengenali sejarah tentang negeri Perak dan Ipoh khususnya, bolehlah ke muzium negeri ini yang mempunyai pelbagai jenis artifak bersejarah dan sesuai sebagai destinasi lawatan sambil belajar untuk sekolah dan kolej. Muzium ini dipecahkana kepada beberap galeri utama bagi memudahkan pengunjung memahami sejarah Ipoh & Perak seperti Galeri Sejarah Bandaraya Ipoh, Sejarah Pelombongan Biji Timah, Perhutanan Negeri Perak & sebagainya.

Selain tarikan artifak & infografik sejarah di dalam muzium, bahagian luar juga tidak kurang menarik yang menyimpan pelbagai cerita sejarah yang telah berlalu sehingga tertubuhnya muzium ini. Bangunan muzium ini memang sangat lama & dibina pada tahun 1920 lagi & sebab itulah ciri-ciri bangunan ini lebih kepada senibina bangunan kolonial Inggeris.

Alamat: Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Perak, 30000 Ipoh, Perak.

Waktu Operasi: 9.30 am – 5.00 pm (Raya cuti)

Harga Tiket: Percuma

Peta Lokasi Jarak 605-241 0048 Website


21. Muzium Ho Yan Hor

muzium teh herba di ipoh

Merupakan sebuah muzium kecil yang terletak di sebuah rumah  kedai lama yang sesuai untuk mereka yang ingin lebih mengenali tentang sejarah teh herba di Ipoh. Perusahaan empayar teh herba ini diusahakan oleh seorang warga tempatan yang dikenali sebagai Dr Ho. Di dalam muzium ini terdapat pelbagai informasi & perkakasan lama yang pernah menjadi komponen utama dalam menghasilkan teh herba secara tradisional.

Berada di sini pengunjung bukan sahaja boleh mengenali pelbagai jenis serbuk teh herba yang popular & alatan yang digunakan bahkan boleh juga mendalami kesenian & kepercayaan teh herba tradisional yang sangat sinonim dengan orang Cina. Walaupun masuk ke sini adalah percuma, namun sumber infografik & video tontonan untuk pengunjung memang sangat lengkap seperti ke sebuah galeria yang berbayar.

Untuk mengenali bangunan muzium Ho Yan Hor di Ipoh memang sangat mudah kerana dinding hadapan di cat warna biru manakala sisi kiri bangunan pula terlukis satu mural besar yang merupakan salah satu daripada 8 hasil kerja Ernest Zacharevic di Ipoh.

Alamat: No. 1, Jalan Bijeh Timah (Treacher Street), Ipoh, Perak.

Waktu Operasi: 10.00 am – 4.00 pm ( Isnin cuti)

Harga Tiket: Percuma

Peta Lokasi Jarak 605-241 2048 Facebook


22. Muzium Geologi Ipoh

muzium geologi ipoh perak

Bagi yang bercadang mengadakan lawatan sambil belajar di Ipoh, Muzium Geologi merupakan destinasi yang ideal untuk anda terjah. Baik mereka dari sekolah atau institusi pengajian jurusan geologi / sivil, Muzium Geologi pasti memberi anda pendedahan yang lebih menarik dari sudut akademik dengan pelbagai pameran artifak yang berharga.

Di sini banyak koleksi bahan geologi untuk tatapan umum seperti mineral, batuan permata berharga, fosil & sebagainya. Persembahan informasi di sini bukan sahaja dalam bentuk bertulis atau lukisan bahkan ada dalam bentuk diorama yang menceritakan cara-cara lama & baru kaedah melombong bijih timah seperti mendulang, lombong dedah dan juga penggunaan teknologi kapal korekMalah anda juga boleh melihat sampel-sampel bijih timah Lembah Kinta yang real yang turut menjadi sebahagian daripada bahan pameran. Untuk lawatan berkumpulan sila berhubung dengan Jabatan Mineral & Geosains Malaysia seperti di bawah.

Alamat: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jalan Sultan Azlan Shah, 30820 Ipoh, Perak, Malaysia

Waktu Operasi:

9.00 am – 12.30 am & 2.00pm – 4.30 pm( Isnin-Khamis)

9.00 am – 12.00 am & 3.00pm – 4.30 pm( Jumaat)

Sabtu/Ahad/ Cuti Am (Tutup)

Harga Tiket: Percuma

Peta Lokasi Jarak 605-540 6000 Website


23. Tasik Cermin Gunung Rapat

tasik cermin ipoh gunung rapat

Tasik Cermin di Gunung Rapat ini merupakan sebuah tasik terpencil yang dikelilingi secara menyeluruh oleh bukit-bukit batu kapur. Maka kalau nak ke tasik ini, pengunjung perlu melalui sebuah terowong dengan berjalan kaki sejauh 30-40m. Sebaik menyeberangi pintu gua ini, anda seperti akan berada di dunia yang lain dengan keindahan tasik di kelilingi dengan pokok-pokok menghijau berdindingkan bukit batu kapur.

Di sini terdapat sebuah platform yang tidak terlalu besar yang disediakan untuk pengunjung melihat keindahan tasik cermin ini. Memandangkan tasik ini dikelilingi oleh bukit yang menghalang angin, maka permukaan airnya memang sangat tenang tidak bergelora. Sebab itulah, namanya Tasik Cermin kerana seolah-olah anda sedang melihat sebuah cermin yang besar dengan pantulan bukit batu kapur di atas permukaan air. Jalan menuju ke sini juga agak berdebu kerana banyak lori kuari & ianya bukanlah satu tempat menarik di Ipoh yang dikomersialkan secara meluas. Tasik Cermin ini berdekatan dengan kawasan kuari jadi kalau ke sini, sila berhati-hati.

Peta Lokasi Jarak


24. Muzium Yasmin Ahmad (Yasmin at Kong Heng)

muzium yasmin ahmad ipoh

Muzium kecil ini dibina khas untuk memperingati jasa-jasa Yasmin Ahmad yang banyak menghasilkan iklan-iklan yang melekat dalam sanubari jiwa rakyat Malaysia. Antara iklan-iklan di kaca tv yang banyak menyentuh jiwa adalah ketika hari kemerdekaan, hari raya & beberapa iklan Petronas.

Muzium kecil ini terletak di aras dua di Old Block Apartment di Jalan Sultan Yussof Ipoh. Muzium ini sangat simple tetapi mempunyai penceritaan hasil karya & sejarah beliau yang padat untuk tontonan umum. Masuk ke sini adalah percuma namun sumbangan derma RM 3 digalakkan untuk menanggung kos penyelian muzium ini.

Alamat: 89-91, Old Block Apartments, Jalan Sultan Yussuf, 30000 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 10.00 am – 4.00 pm ( Buka Sabtu & Ahad sahaja)

Harga Tiket: Percuma (Sumbangan RM 3 digalakkan)

Peta Lokasi Jarak Facebook


Cari Penginapan Terbaik di Ipoh

Tempat menarik di Ipoh untuk Jalan Jalan Cari Makan ?

Destinasi makan-makan untuk acara jalan jalan cari makan anda di Ipoh juga tidak kurang banyaknya & pilihan makanan tempatan juga banyak dipengaruhi makanan orang India & Cina. Anda boleh cari idea beberapa tempat makan best di Ipoh yang telah dikongsikan. Semoga perkongsian lebih 20+ destinasi tempat menarik di Ipoh seperti di atas akan membuka lagi pilihan-pilihan yang sedia anda apabila bercuti ke sini kelak. Wassalam.


6 Komen

  1. raz klb 15 Ogo, 2017
  2. nurul 25 Dis, 2016
    • raz klb 15 Ogo, 2017
  3. farid 27 Apr, 2016
  4. Noriza Rahman 24 Mac, 2016
    • raz klb 15 Ogo, 2017

Sila Komen

Senarai Hotel TERBAIK di Perak>>SEMAK HARGA<<

Sila SHARE